Kedutaan AS Iktiraf Betapa Pentingnya Malaysia Kepada Dunia Ketika Ini

Kedutaan Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, telah memberikan tabik hormat kepada Malaysia ketika dunia sedang berperang dengan Covid-19 / koronavirus.

Satu perkara yang ramai tak tahu adalah sumbangan Malaysia kepada dunia dalam membantu petugas perubatan dan juga manusia di dunia ini ketika koronavirus.

Pejabat Kedutaan AS tersebut memuat naik kiriman di Twitter rasmi mereka dengan berkata:

“Tahukah ada 65% daripada sarung tangan medikal yang digunakan oleh hero kita seperti di Amerika dan beberapa tempat di seluruh dunia adalah buatan Malaysia?”

“Menerusi pembuatan sarung tangan medikan dan beberapa produk perubatan lain, dunia bergantung kepada Malaysia untuk menentang COVID-19.”

Ianya satu kebangaan untuk Malaysia sebagai sebuah negara yang kecil namun sangat besar sumbangannya kepada manusia sejagat.

Selain itu, Kedutaan AS turut berkongsi laporan Malay Mail bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memilih Malaysia sebagai salah satu negara, bagi menjalankan penyelidikan bersama mengenai ubat Remdesivir yang digunakan untuk merawat jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Malaysia terpilih kerana keupayaannya menjalankan penyelidikan dan juga kerana adanya kemudahan penyelidikan perubatan yang baik.

“Malam ini kita akan mengadakan perbincangan dengan WHO dan agenda yang akan dibincangkan dalam mesyuarat itu adalah penyelidikan bersama oleh WHO dan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya semasa sidang akhbar petang semalam.

Dr Noor Hisham berkata Malaysia sudah mempunyai platform yang baik bagi penyelidikan yang akan dijalankan. Ini ditambah dengan pakar penyelidik di negara kita yang diperakui dan berkepakaran dalam bidang perubatan.

Beliau juga berkata kementerian akan menjalankan penyelidikan sebaik sahaja ubat-ubatan itu disediakan oleh WHO.

“Ubat tersebut telah dikenalpasti oleh WHO. Sama ada ubat itu berkesan atau tidak secara saintifik, kita harus terlebih dahulu menjalankan penyelidikan.”

“Kami akan mengumpulkan pesakit, memberi mereka ubat dan memantau kesan sampingan dan juga keberkesanannya,” katanya.

Dr Noor Hisham juga berkata penyelidikan itu akan diadakan di Hospital Sungai Buloh serta hospital-hospital yang telah dikenalpasti sebagai Hospital Covid-19.

Remdesivir adalah ubat antivirus baru yang digunakan sebagai rawatan untuk virus Ebola dan jangkitan virus Marburg.

Ia kemudiannya didapati menunjukkan aktiviti antivirus menentang virus RNA terkandas yang lain seperti  respiratory syncytial virus, virus Junin, virus demam Lassa, virus Nipah, virus Hendra, dan koronavirus, termasuk virus MERS dan SARS.

Dr Noor Hisham juga berkata kementerian telah menjalankan ujian antigen pantas dari syarikat China. Namun mendapati bahawa tahap ketepatan ujian itu tidak mencukupi.

“Oleh itu, Institut Penyelidikan Perubatan telah mengenal pasti ujian dari syarikat atau jenama itu tidak sesuai.”

“Kami telah membaca laporan dari Sepanyol bahawa, meskipun membeli 3,400 kit ujian antigen, mereka tidak menggunakannya kerana tahap ketepatan hanya 30 hingga 40 peratus.”

“Oleh itu, apabila kita mahu melaksanakan ujian, kita perlu memastikan sensitiviti yang tinggi supaya kita dapat mengesan penyakit ini. ”

“Jika kepekaannya rendah, maka ujian itu tidak boleh digunakan, “jelasnya lagi.

Baca yang lain