China satu ketika dahulu merevolusikan bola sepak mereka dengan menawarkan bintang bintang ternama Eropah dengan gaji luar biasa.
Kelab kelab ini boleh mendapatkan pemain yang mereka mahukan menerusi dana yang ditaja oleh syarikat yang memiliki kelab mereka.
Kerajaan akan memberikan pelepasan cukai khas kepada syarikat syarikat ini atas dasar misi nasional untuk memajukan bola sepak.
Maka berpusu pusu bintang dari kelab Eropah datang ke China pada masa itu. Ini senarai 10 penerima gaji tertinggi dalam sejarah CSL.
10. Marouane Felliani (Shandong Luneng) – £205k seminggu /RM1.2 juta je seminggu
Bekas pemain Man United dan Everton ini menyertai Shandong Luneng pada Februari 2019. Ketika itu dia masih di kemuncak prestasinya.
Dia bermain untuk kelab China tersebut dalam 150 perlawanan dengan sumbangan 62 gol dan assist dengan pecahan 50 gol dan 12 assist. Dia membantu Shandong Luneng memenangi 1 kejuaraan CSL dan 3 kejuaraan Piala FA China secara berturut turut.
9. Eder (Jiangsu) – £213k seminggu / RM1.25 juta seminggu
Bintang Itali berdarah Brazil ini sangat popular selepas aksi cemerlangnya dalam Euro 2016. Dan memutuskan untuk menyertai Jiangsu pada 2018 ketika dia masih lagi menjadi pemain sensasi di Eropah.
Alasan Eder hanya satu iaitu dia mahu mengaut wang sebanyak mungkin sebelum bersara. Dia menjaringkan 32 gol dan 18 assist dalam 62 penampilan.
Gol kemenangan yang dihasilkannya ke atas Guangzhou Evergrande telah membantu Jiangsu memenangi CSL pertama dalam sejarah kelab itu. Dia bermain di Jiangsu selama 2 musim dan berpindah ke Sao Paulo pada 2021.
8. Paulinho (Guangzhou Evergrande) – £230k seminggu / RM1.35 juta seminggu
Salah satu perpindahan sensasi di China satu ketika dahulu. Dia menyertau Evergrande dari Spurs.
Pemain yang cemerlang di kelab China tersebut dan menarik perhatian Barcelona untuk menandatanganinya dengan harga £40 juta.
Namun dia gagal untuk mengekalkan tempatnya di Barca dan kembali semula ke Guangzhou dua tahun kemudian.
Pandemik melanda membuatkan kelab Guangzhou Evergrande berdepan masalah kewangan dan dia menamatkan kariernya di sana. Tetapi dia diingati antara pemain terbaik dalam CSL.
Walaupun bermain di bahagian tengah dia masih mencetak 75 gol dan 29 assist 176 penampilan. Jelas dia pemain yang berbaloi untuk dibayar mahal.
7. Stephan El Shaarawy (Shanghai Shenhua) – £247k seminggu /RM1.45 juta seminggu
Pemain yang menyertai Shanghai Shenhua setelah memiliki karier di kelab besar Itali seperti Milan dan Roma. Dia menerima wang sangat banyak di sana.
Di mana dia mendapat RM1.45 juta seminggu.
Dia antara pembelian yang kurang berbaloi. Bermain hanya 19 perlawanan dalam 2 musim bersama kelab itu dan kembali semula ke Roma.
Sebagai rekod dia cuma menjaringkan 4 gol dan 3 assist bersama Shenhua.
6. Graziano Pelle (Shandong Luneng) – £263k seminggu / RM1.68 juta seminggu
Seorang lagi bekas bintang EPL yang ke CSL. Dia cemerlang bersama Southampton dan menjadi sasaran banyak kelab besar eropah lain.
Namun Pelle memilih wang berbanding dengan karier di peringkat tertinggi di Eropah. Dia menyertai Shandong Luneng beberapa tahun lebih awal daripada Fellaini.
Dia berjaya mencetak 63 gol dan 24 assist dalam 133 penampilan bersama kelab tersebut.
Media China selalu memujinya sebagai salah seorang pemain yang bukan datang semata mata untuk menapau wang semata mata di sana. Dia sentiasa komited setiap perlawanan dan memberikan aksi terbaiknya.
Selepas 4 musim bersama Shandong Luneng dia kembali ke Panama pada 2021. Enam bulan kemudian dia bersara.
5. Hulk (Shanghai SIPG) – £320k seminggu / RM1.89 juta seminggu
Seorang lagi bintang yang dianggap tidak datang semata mata menghabiskan wang kelab. Hulk seringkali menjadi pemain yang dibandingkan dengan beberapa pemain yang kurang menyerlah di Liga China.
Terutama sekali bintang seperti Tevez yang kerap buat hal dan diva. Hulk sentiasa memberikan terbaik di atas padang.
Dia merupakan pemain yang menarik perhatian banyak kelab besar setelah cemerlang bersama Porto dan Zenit. Dia juga pemain kebangsaan Brazil pada masa itu.
Sepanjang di China dia menjaringkan 76 gol dan 54 assist dalam 145 perlawanan. Statistik yang sangat luar biasa.
Dia meninggalkan kelab itu pada 2021 dan kembali ke Brazil menyertai Atletico Mineiro
4. Cedric Bakambu (Beijing Guoan) £341k seminggu /RM2 juta seminggu
Bakat yang dianggap bakat masa depan ketika di Villarreal. Yang mengejutkan dia menyertai CSL pada usianya baru 24 tahun. Mana tidaknya dia menerima gaji £350k seminggu.
Ketika di Beijing dia menjaringkan 58 gol dan mencipta 21 assist daripada hanya 87 perlawanan sahaja. Dia kemudian berpindah ke beberapa pasukan sebelum menyertai Galatasaray.
3. Oscar (Shanghai SIPG) – £500k seminggu / RM2.95 juta seminggu
Oscar menikmati karier terbaiknya ketika bersama Chelsea. Dan dianggap Kaka baharu di dalam skuad Brazil. Namun pemain itu telah meminta untuk dilepaskan ke China setela menerima tawaran setengah juta pound sterling seminggu atau sekitar RM2.95 juta seminggu.
Oscar antara pemain yang lantang mengakui dia datang ke China kerana wang. Ianya respon kepada pengurus Brazil pada masa itu yang memberikan dia amaran bahawa jika dia ke China dia akan kehilangan tempat dalam skuad kebangsaan Brazil.
Oscar membalas: “Wang adalah lebih penting untuk saya. Kerana saya mahu mengubah nasib keluarga saya. Saya nak mereka senang. Apabila saya tua nanti, sekeping medal Piala Dunia tak akan mampu beri saya dan keluarga saya makan.”
Oscar antara bintang terbaik yang datang ke China pada era CSL masa itu. Bermain di posisi no.10, dia masih menjaringkan 61 gol dan melakukan 110 assist daripada 208 penampilan.
2. Carlos Tevez (Shanghai Shenhua) – £635k seminggu / RM3.74 juta seminggu
Selepas musim cemerlang bersama kelab seperti United, City dan Juventus, Carlos Tevez kemudian menyatakan sudah tiba masanya dia pulang ke Argentina kerana dia terlalu rindu dengan kampung halamannya.
Dia kembali menyertai Boca Juniors. Tetapi Tevez kemudian meninggalkan Argentina sekali lagi apabila tawaran luar biasa daripada Shanghai Shenhua tiba.
Namun prestasi dia di CSL tidak mencapai harapan yang diletakkan ke atasnya. Seringkali ponteng latihan dan pulang ke kampung halaman tanpa izin kelabnya.
Dia juga pernah mencipta kontroversi apabila pergi ke Disneyland China membawa keluarga dan anak anaknya ketika dia menyatakan dia cedera tidak boleh bermain. Dia ketika itu sepatutnya menjalani pemulihan. Kecederaan dia mulai diragui peminat.
Tevez bermain hanya 20 perlawanan dalam 2 musim di sana. Dan hanya menjaringkan 4 gol dan 5 assist sahaja.
1. Ezequiel Lavezzi (Hebei China Fortune) – £798k seminggu / RM4.7 juta
Sebenarnya ramai yang menyangka Tevez adalah penerima gaji tertinggi. Namun satu dokumen didedahkan penerima gaji tertinggi adalah rakan senegaranya iaitu Ezequil Lavezzi.
Lavezzi antara pemain bintang ketika di Eropah bermain untuk kelab seperti Napoli dan PSG.
Dia mengejutkan ramai pihak ketika diumumkan menerima gaji £798,000 seminggu atau RM4.7 juta seminggu. Ya betul la tu.
Namun Lavezzi berbeza dengan Tevez. Dia seorang yang profesional. Tak pernah ponteng latihan. Malah pernah menyembunyikan kecederaannya untuk bermain di atas padang. Dia bermain 75 perlawanan untuk Hebei China Fortune. Menjaringkan 32 gol dan 32 assist.
Tetapi harus diakui ianya masih tidak berbaloi untuk pemain RM4.7 seminggu.