Statistik: 11 Pemain Yang Paling Banyak Bermain Untuk Malaysia 2019

Tahun 2019 merupakan antara tahun yang agak cemerlang bagi skuad negara.

Pasukan Harimau Malaya merekod 9 kemenangan dari 13 perlawanan.

5 kemenangan dalam kelayakan Piala Dunia/Asia termasuk pusingan kelayakan awal.

  • AMC: Singapura (0-1)
  • AMC: Afghanistan (2-1)
  • FRI: Nepal (2-0)
  • WCQ: Timor Leste (7-1)
  • WCQ: Afghanistan (5-1)
  • FRI: Jordan (0-1)
  • WCQ: Indonesia (3-2)
  • WCQ: UAE (1-2)
  • FRI: Sri Lanka (6-0)
  • WCQ: Vietnam (0-1)
  • FRI: Tajikistan (1-0)
  • WCQ: Thailand (2-1)
  • WCQ: Indonesia (2-0)

AMC: Piala Air Marine, FRI: Perlawanan persahabatan, WCQ: Kelayakan Piala Dunia/Asia

Salah satu faktor perkara ini berlaku kerana Tan Cheng Hoe hanya memilih pemain yang mempunyai merit yang cukup dalam saingan domestik bagi menggalas tugas negara.

Sudah semestinya pemain yang sering bermain di liga dan ianya berkesan.

Berikut adalah 11 pemain yang paling kerap bermain bersama Malaysia sepanjang 2019.

GK: Farizal Marlias (JDT), 7 (1) penampilan

Tidak dinafikan penjaga gol dari JDT ini sewajarnya layak untuk tampil dalam banyak perlawanan melibatkan Malaysia.

Farizal hanya terlepas 2 perlawanan sepanjang kempen kejuaraan ke-6 liga pada musim 2019.

Dia bermain 8 kali dalam 11 perlawanan Piala Malaysia yang menyaksikan JDT juga menjadi juara Piala ini.

Disamping itu penjaga gol kelahiran Pahang ini tampil 3 kali dari 6 perlawanan Liga Juara Asia.

Secara meritnya, Farizal terlalu layak untuk menjadi penjaga gol no.1 negara 2019. Merekod 10 clean sheet dalam 30 penampilannya bersama JDT.

Di peringkat antarabangsa pula, dia bermain sebanyak 8 kali. 4 (1) kali di kelayakan Piala Dunia/Asia dan 3 kali ketika perlawanan persahabatan menentang Nepal, Jordan dan Sri Lanka.

Penilaian: Cemerlang

DR: Matthew Davies (Pahang), 10 (2) penampilan

Davies hanya terlepas 1 perlawanan melibatkan jadual tugasan antarabangsa. Syahmi Safari digunakan ketika perlawanan menentang Indonesia ketika negara mencatat kemenangan 2-0, kemenangan ke-2 negara ke atas negara ini selepas menewaskan mereka 3-2 di Stadium Gelora Bung Karno pada 5 September 2019.

Pemain kacukan Australia ini terlepas perlawanan tersebut kerana sedang menjalani penggantungan kad kuning. Jika tidak sudah pasti dia akan bermain dalam semua 13 perlawanan itu.

Bagaimanapun, pertahanan kanan Malaysia kekal didominasikan oleh Davies sejak kejohanan Piala Airmarine, perlawanan persahabatan dan kelayakan Piala Dunia.

Dalam kancah saingan domestik pula, pemain ini bermain 33 kali sebagai pemain kesebelasan utama dan hanya terlepas 2 perlawanan bersama Pahang.

Pemain yang agak susah untuk cedera, tidak cergas dan dia mengumpul koleksi 2 jaringan peribadi apabila menjaringkan gol ketika Pahang menewaskan PKNS (3-2) dan UKM (1-0) dalam perlawanan Piala FA.

Penilaian: Cemerlang

DL: Lavere Corbin Ong (JDT), 10 Penampilan

Selepas sekian lama para penyokong Malaysia mahu melihat bekas pemain dari liga Belanda ini menyarung jersi Malaysia, akhirnya ia menjadi kenyataan.

Corbin Ong menjadi pemain utama selepas muncul 10 kali dari 13 perlawanan pada tahun lepas. Mengenepikan Syazwan Andik Ishak dan Nazirul Naim Hashim.

Dalam saingan domestik dia semestinya pemain utama pasukan JDT, dan dia sememangnya layak mendapat status pemain utama negara.

Tampil 18 kali di Liga Super, 10 kali dalam pertandingan piala domestik dan kesemua 6 perlawanan Liga Juara Asia.

Penilaian: Cemerlang

DC: Shahrul Saad (Perak), 13 Penampilan

Shahrul muncul pemain tunggal yang bermain dalam kesemua 13 perlawanan Malaysia. Hanya terlepas 30 minit selepas dikeluarkan dan digantikan Adam Nor Azlin ketika membelasah Sri Lanka 6-0.

Dia merekodkan 2 jaringan bersama Harimau Malaya, jaringannya hadir ketika menewaskan Sri Lanka dan Nepal.

Shahrul juga agak ‘gila’ di Perak, bermain 37 kali dari 38 perlawanan. 1 perlawanan yang terlepas itu disebabkan 3 kad kuning yang dikumpulnya dan dia digantung pada LS14 .

Mempunyai 3 jaringan peribadi bersama Perak pada musim 2019.

Pemain ini menjadi pertahanan tengah paling banyak bermain dalam kancah saingan tempatan, tiada pemain dari pasukan lain yang berada di diatasnya.

Penilaian: Cemerlang

DC: Adam Nor Azlin (JDT), 6 (2) penampilan

Pada permulaan tahun 2019, Tan Cheng Hoe menggunakan Irfan Zakaria sebagai pasangan Shahrul Saad di posisi pertahanan tengah.

Menjelang Julai Adam Nor Azlin diberi kepercayaan. Peluang itu wajar diberikan kerana sepanjang LS1-LS15, Adam tampil 14 kali dari 15 perlawanan JDT. 10 darinya merupakan pemain kesebelasan utama.

Sejajar dengan perkembangan pemain di kelab, Adam mula hilang tempat kepada Aidil Zafuan dan Aidil merampas 2 ‘kerja’ dari Adam.

Pemain utama JDT dan pemain utama Malaysia. Aidil tampil dalam 5 perlawanan terakhir Malaysia dan pada ketika itu Malaysia mencatat 4 kemenangan (3 clean sheet).

Penilaian: Sederhana

MC: Nor Azam Azih (Pahang), 9 (1) penampilan

Jika penyokong mahu melihat pemain dari skuad Malaysia B-23 yang cemerlang dalam perlawanan antarabangsa dikembangkan ke dalam skuad utama, Azam Azih adalah jawapannya.

Azam merupakan pemain dari skuad itu yang sudah mencapai pemain penting dalam kancah domestik bersama Pahang.

Pemain berusia 24 tahun ini menjadi tunjang Pahang bersama Safuwan Baharuddin meletakkan pasukannya menjadi 4 pasukan terbaik di liga, Piala FA dan Piala Malaysia.

Azam bermain 26 kali, Cuma pemain ini perlu mengurangkan jumlah kutipan kad, dia menerima 2 kad merah di Liga Super.

Penilaian: Baik

MC: Akram Mahinan (PKNS), 6 (1) penampilan

Mungkin akan ada peminat mengatakan pemain ini tidak layak mewakili negara tetapi Tan Cheng Hoe melakukannya dengan baik.

Akram adalah pemain utama ketika Malaysia bermain di kejohanan AFF pada tahun sebelumnya. Cheng Hoe membuat perubahan secara lembut.

Ketika Malaysia bertemu Afghanistan (5-1), Akram dikeluarkan dan digantikan dengan Brendan Gan. Perlawanan seterusnya lawan Jordan (0-1) Gan bermula dan dikeluarkan, Akram masuk menggantikannya.

Selepas itu Akram mula kehilangan status pemain utama negara. Namun dia masih merupakan pemain domestik yang kerap bermain.

Tampil 28 kali dari 32 perlawanan PKNS.

Penilaian: Sederhana

MC: Brendan Gan (Perak), 7 (1) penampilan

Gan hanya muncul selepas Ogos 2019, tetapi sejak kali pertama dia tampil, dia terus menjadi pemain penting negara.

Gan menyelesaikan kekurangan yang dihadapi oleh Cheng Hoe yang mahu membentuk trio yang ampuh di bahagian tengah.

Pada satu ketika jurulatih ini menggunakan Syafiq Ahmad sebagai pemain tengah ‘menyerang’. Gan memberi impak yang besar ketika Malaysia menumbangkan Indonesia dan Thailand

Penilaian: Cemerlang

FR: Mamadou Sumareh (Pahang), 8 (1) penampilan

Daripada 9 penampilan Sumareh, dia bermula sebagai penyerang kanan sebanyak 7 kali dan 1 kali di bahagian serangan tengah. Sumareh dimasukan ketika bertemu Indonesia, juga diberi peranan sebagai penyerang sisi.

Sumareh menjadi pemain penting ketika Malaysia menewaskan Indonesia 3-2 dan Thailand 2-1. Menjaringkan gol penting pada perlawanan besar.

Tidak boleh dinafikan peranannya bersama Pahang, atas merit tersebut sememangnya pemain kelahiran Gambia ini layak memakai jersi Malaysia terutamanya tahun 2019.

Penilaian: Cemerlang

FL: Safawi Rashid (JDT), 9 (1) penampilan

Satu perkara yang memeningkan kepala Tan Cheng Hoe pada musim lepas adalah dia mempunyai 2 pemain terbaik di posisi yang sama. Kedua-dua tidak menjadi jika diletakan sebagai penyerang tengah.

Malahan tidak menunjukan permainan efektif jika dialihkan ke sebelah kiri. Apa boleh buat, kena try juga.

Daripada 10 penampilan Safawi, dia terpaksa bermula sebagai pemain serangan kiri negara. Ia berlaku ketika Malaysia bertemu Timor Leste, UAE, Vietnam, Thailand dan Indonesia.

Perubahan hanya dilakukan ketika permainan dengan bertukar-tukar posisi.

Penjaringa 19 gol JDT ini menyumbang 4 gol kepada Malaysia, angka yang sama yang dilakukan oleh Sumareh.

Penilaian: Baik

SC: Norshahrul Idlan Talaha (Pahang), 10 (2) perlawanan

Statistik ini mungkin tidak sama dengan apa yang kita bayangkan. Mungkin kita bayangkan Syafiq Ahmad lebih kerap bermain tetapi sebenarnya Norshahrul.

Walau bagaimanapun, posisi ini sedang ditransisikan oleh Tan Cheng Hoe. Norshahrul telah hilang tempat kepada Syafiq sejak 3 perlawanan terakhir lepas.

Prestasi baik Norshahrul pada kejohanan AFF dibawa ke depan oleh Cheng Hoe. Seni transisi pemain Cheng Hoe berada di kelas yang tersendiri. Itu yang dilakukannya ketika bersama Kedah.

TIdak terlalu bereksperimen seperti Dato K.Rajagopal yang menukar pemain seperti baju. Jurulatih ini akan memberi peluang kepada skuad asalnya membuktikan mereka terus kekal relevan.

Kecemerlangan Syafiq mula menghakis peluang Norshahrul sebagai ahli tetap, lebih-lebih lagi selepas Syafiq menjaringa 5 gol dalam 3 perlawanan antarabangsanya.

Norshahrul kini berhijrah ke Liga Thailang bagi mencari peluang terus bermain, dan mungkin kekal di dalam skuad negara walaupun sebagai pemain simpanan.

Penilaian: Sederhana

Rumusan

Sebelum ini, setiap kali panggilan antarabangsa, Malaysia sering bertukar pemain. Malaysia tidak mempunyai pemain asas.

Namun selepas Tan Chen Hoe mula mengemudi Harimau Malaya, dia akan mengekalkan pemain terbaiknya pada panggilan sebelumnya.

Apa yang penting, majoriti pemainnya mempunyai minit permainan yang cukup dalam kancah saingan tempatan. Mungkin ada beberapa pemain yang tidak mencapai merit tersebut tetapi statistik pemain yang paling kerap digunakannya adalah pemain utama bersama pasukan masing-masing.

Jika situasi ini terus kekal, masa hadapan Malaysia lebih cerah dan hanya pemain yang layak sahaja mendapat status pemain utama negara.

 

 

Baca yang lain