18 Penampilan dan 7 Jaringan Antarabangsa Sumareh, Adakah Malaysia Bertambah Baik

Sebelum kehadiran Mamadou Sumareh, Malaysia melalui fasa yang agak tenat. Tidak pernah menang dalam 12 perlawanan bagi tempoh setahun bermula pada November 2016 sehingga Mac 2018.

Penghujung 2017 Tan Cheng Hoe dibawa masuk mengendalikan skuad utama Harimau Malaya. Jurulatih ini mula mengenalpasti pemain yang dimahukannya bagi menggalas cabaran Malaysia.

Sementara itu sekitar jendela perpindahan pemain 2018 di saingan domestik cerita Mamadou Sumareh akan dinaturalisasikan menjadi kenyataan, ketika Tan Cheng Hoe mula menunjukkan perkembangan positif dengan mencatat 3 kemenangan dari 4 perlawanan sebelum Sumareh membuat debut antarabangsanya bersama skuad negara.

Sumareh menapilkan debut yang meyakinkan

Pada panggilan antarabangsa Oktober 2018 nama Sumareh mula berada dalam skuad Malaysia. Malaysia dalam persiapan untuk mengharungi Kejohanan AFF 2018 yang akan berlangsung pada November pada tahun tersebut.

Sumareh membuat debut ketika bertemu Sri Lanka, menyumbang 2 gol dalam kemenangan 4-1. Sumareh terus diuji dalam 2 perlawanan persahabatan selepas itu.

Sumareh di kejohanan AFF

Sumareh mula mendapat kepercayaan dari Tan Cheng Hoe bagi mengisi posisi sayap kanan Malaysia. Pemain kelahiran Gambia ini muncul 7 dari 8 perlawanan yang menyaksikan Malaysia mara ke perlawanan akhir sebelum tewas kepada Vietnam 2-3 melalui kiraan agregat.

Pemain ini sentiasa bermula di sebelah sayap kanan dalam 7 penampilan, kesemuanya dalam senarai pemain kesebelasan utama. Safawi Rashid dan Akhyar Rashid bergilir untuk berada di sayap kiri.

Sumareh sudah menandakan posisi sayap kanan adalah miliknya.

Dalam kejohanan itu Sumareh gagal menyumbangkan sebarang jaringan tetapi prestasi Norshahrul Idlan Talaha dan Zaquan Abdul Radzak sudah mencukupi membawa Malaysia ke pentas akhir. 7 jaringan dari 2 penyerang veteran ini merumuskan negara tidak mempunyai isu penyerang pada ketika itu.

Panggilan pertama minggu antarabangsa 2019, Sumareh terus diberi kepercayaan bagi menghadapi Piala Airmarine. Pemain ini tampil 2 perlawanan dalam pertandingan yang menyaksikan Malaysia tewas kepada Singapura 0-1, menang 2-1 dalam penentuan tempat ke-3 menewaskan Afghanistan.

Sumareh mula yakin, Tan Cheng Hoe mula menyimpannya bagi perlawanan penting

Kalendar pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bermula pada Jun 2019. Malaysia mula menyusun persiapan rapi dengan mengatur 1 perlawanan persahabatan setiap kali menjelang minggu antarabangsa.

Sumareh berada dalam skuad Tan Cheng Hoe dalam 4 panggilan antarabangsa yang berlangsung pada Julai, September, Oktober dan November. Menariknya Sumareh tidak pernah diturunkan di kesemua 4 perlawanan persahabatan, tetapi akan membarisi kesebelasan utama pasukan ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia/Asia.

Bermakna Tan Cheng Hoe sudah yakin dengan pemain ini dan menyimpannya untuk perlawanan besar.

Sepanjang sesi kelayakan pusingan ke-2 dan ke-3 Sumareh menyumbang 4 jaringan dan muncul kesemua 6 perlawanan melibatkan Malaysia. Sehingga kini pemain ini telah muncul 18 kali dari 27 perlawanan negara selepas membuat debut.

Malaysia keluar dari tempoh buruk tidak pernah menang sepanjang 2017 dengan mencatat 8 kemenangan sepanjang 2018 dan pada tahun ini Malaysia terus mencatat 8 kemenangan lagi.

Adakah Sumareh satu penambahbaikan skuad negara?

Siapa pemain sayap kanan sebelum Sumareh

Apa yang anda fikirkan sebenarnya tidak. Bukan Safawi Rashid. Sebelum Sumareh, pemain yang sering digunakan adalah Wan Zack Haikal.

Pemain ini mendapat kepercayaan Nelo Viganda. 4 perlawanan sebelum kehadiran Sumareh Wan Zack merupakan pemain sayap kanan negara, ada kalanya Syahmi Safari akan menyokong posisi ini.

Safawi mula membarisi skuad utama ketika Sumareh sudah mula mendapat kepercayaan Tan Cheng Hoe di sayap kanan. Tetapi Tan Cheng Hoe memberi ruang kepada Safawi berfungsi disebelah sayap kiri Malaysia. Dan Safawi sering mendapat tempat di posisi itu berbanding pemain lain yang dipanggil.

Safawi harus lebih cepat membiasakan diri menjadi pemain penyerang sayap kirir apabila dipanggil oleh Tan Cheng Hoe, posisi yang dilihat masih lemah dalam skuad ini.

 

Sama ada Safawi atau Sumareh kedua-dua pemain ini merupakan pemain penting Malaysia dalam tempoh kempen kelayakan Piala Dunia/Asia kali ini. Tan perlu mencari formula bagaimana mahu meraih maksima dari 2 pemain yang berposisi sama dalam pasukan masing-masing di saingan domestik.

Rumusan

Kehadiran Sumareh selari dengan dengan keputusan-keputusan positif yang dicatatkan oleh Malaysia. 13 kemenangan sejak pemain ini muncul menghasilkan hampir 50% nisbah kemenangan Malaysia. Satu angka yang tidak pernah berlaku sejak lebih 2 dekad lepas.

Tan Cheng Hoe melalui fasa terbaiknya, keputusan Malaysia tidak pernah baik dalam tempoh 20 tahun dan Sumareh berada dalam kisah ini. Lebih manis ia berlaku ketika dia mula dipanggil.

Adakah Malaysia mampu ke Piala Asia 2023 selepas berjaya keluar dari keputusan suram yang agak panjang ini?

Baca yang lain