Insiden 19 Mei: Detik China Dimalukan Hong Kong Dan Gagal Ke Piala Dunia

Pada tahun 1985, Beijing masih lagi berada di dalam proses pemulihan daripada Revolusi Kebudayaan.

China ketika itu juga baru sahaja membuka pintu negara mereka kepada dunia luar, dan Hong Kong datang ke sana untuk beraksi dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 1986.

China kembali muncul dalam kelayakan Piala Dunia ketika kejohanan 1982 selepas hampir suku abad dan mereka juga hampir layak ke Sepanyol.

Malangnya, perjalanan ke kejohanan terbesar bola sepak dunia itu disekat oleh New Zealand.

Edisi seterusnya, China adalah pasukan pilihan bagi memenuhi slot dua pasukan terbaik Asia ke Mexico pada tahun 1986.

Cerita China ke Piala Dunia terhalang lagi pada 19 Mei 1985. Mereka ditewaskan oleh Hong Kong yang ketika itu berada di bawah pentadbiran British dengan keputusan 2-1.

Malam itu menjadi detik yang akan terus diingat dalam sejarah bola sepak sama ada kepada China atau Hong Kong sendiri.

Ia bukan semata-mata kerana China tewas kepada Hong Kong (sudah tentu salah satu sebab yang besar juga) tetapi keadaan selepas tamat perlawanan menjadi rumusan kepada keseluruhan.

Rusuhan besar telah berlaku di Beijing, dengan bas dirosakkan, kenderaan dihancurkan, serta serangan kepada wartawan dan diplomat luar.

Hong Kong mengikut konteks sejarah merupakan salah sebuah kawasan yang pernah dimiliki Dinasti Qing (kuasa sebelum wujudnya negara China).

Kesan daripada Perang Candu telah meletakkan Hong Kong di bawah pentadbiran British dengan perjanjian selama 99 tahun bermula pada 9 Jun 1898.

CHINA DAN HONG KONG REBUT TEMPAT KE MEXICO 1986

Pertemuan di antara China dan Hong Kong pada 19 Mei 1985 adalah perlawanan terakhir peringkat kumpulan bagi kelayakan Piala Dunia 1986.

Kedua-dua pasukan telah menewaskan Brunei dan Macau, masing-masing sebanyak dua kali. Perlawanan pertama di antara China dan Hong Kong yang berlangsung di Hong Kong sebelum itu berakhir dengan keputusan seri.

Walaupun berkongsi kedudukan di tempat pertama, China adalah pasukan pilihan, hanya memerlukan keputusan seri kerana memiliki perbezaan jaringan yang agak besar berbanding Hong Kong yang memerlukan kemenangan.

19 MEI 1985, DETIK KECEWA CHINA

China turun dengan kesebelasan utama yang dianggap sebagai skuad terbaik sejak 40 tahun lepas.

Mendapat sokongan padu daripada 80,000 penyokong di halaman sendiri, China bermula positif, sentiasa menyerang, bermain untuk menang, dan layak ke peringkat seterusnya dengan selesa.

Namun begitu, Hong Kong terlebih dahulu mendahului perlawanan pada minit ke 19 hasil jaringan Cheung Chi Tak.

Tersentak dengan gol pertama, China bereaksi dengan lebih garang, dan ia berhasil apabila tendangan Li Hui berjaya menewaskan penjaga gol Hong Kong, Chan Wan Ngok.

Separuh masa pertama, kedua-dua pasukan terikat dengan seri 1-1.

China yang giat melakukan serangan bertubi-tubi ke kubu untuk mencari gol kedua, secara tidak langsung membuka ruang kepada pemain Hong Kong untuk melakukan serangan balas. Minit ke 60, Ku Kam Fai merosakkan hari China dengan jaringannya, sekali lagi meletakkan Hong Kong berada di hadapan.

Puluhan ribu penyokong China berteriak memaki pemain Hong Kong yang bermain secara ‘memarkir bas’ dan tidak mahu menyerang.

30 minit masa berbaki, China bersungguh-sungguh cuba mencari gol untuk menyamakan kedudukan, tetapi segalanya berakhir dengan hampa.

RUSUHAN DI AKHIR PERLAWANAN

Menurut laporan akhbar South China Morning Post, kekalahan China itu mencetuskan ketegangan dan rusuhan selepas perlawanan.

Kemarahan dituju kepada orang-orang luar terutamanya wartawan asing. Botol dan batu dilemparkan ke arah mereka, selain kata-kata kesat dan kejian.

Di luar stadium, ratusan penyokong China memberhentikan bas, memecahkan cermin, dan memaksa penumpang untuk keluar.

Gazizulla Arslanov, seorang wartawan bagi agensi berita Soviet Tass berhadapan dengan trauma apabila keretanya ditahan di tengah jalan, sebelum dilontarkan dengan batu dan botol.

Media juga melaporkan selepas itu bahawa 30 orang polis dipukul dan 25 buah kereta dirosakkan.

Lebih 120 orang ditangkap susulan insiden itu. Keganasan yang berlaku telah merosakkan reputasi China di mata antarabangsa.

Di Hong Kong, auranya berbeza. Penyokong mereka menunggu di lapangan terbang untuk menyambut kepulangan hero negara.

Walaupun berjaya meletakkan diri sebagai pendahulu peringkat kumpulan, Hong Kong tewas juga kemudian ketika menentang Jepun pada aksi kelayakan yang seterusnya.

RUMUSAN

Hingga ke hari ini, kedua-dua pasukan masih lagi berseteru setiap kali bertemu di atas padang walaupun selepas penyerahan Hong Kong kembali kepada China pada 1 Julai 1997.

Walaupun kini sudah menjadi sebahagian daripada negara China, Hong Kong masih lagi boleh meneruskan aktiviti di dalam sukan dunia seperti biasa.

Ini kerana mereka mengamalkan dasar ‘satu negara, dua sistem’, dan sukan juga termasuk di dalam hal tersebut.

Perlawanan yang mempertemukan kedua-dua pasukan ini selalunya tidak berlangsung dengan aman. Kedua-dua pasukan mempunyai sentimen yang tersendiri.

Tetapi tiada yang boleh melawan kemuncak, ketika Hong Kong membenam China di hadapan 80,000 penyokong dalam Stadium Pekerja di Beijing.

Rujukan:

FIFA. (2015, February 2). The “19 May Incident” that rocked Chinese football [Video]. YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=kiA_AseXiZ8.

Legge, J. (2022). The ‘May 19 Incident’: When Hong Kong football sparked a riot in Beijing – SupChina. Retrieved 30 June 2022, from https://supchina.com/2020/08/26/when-hong-kong-football-sparked-a-riot-in-beijing/

May 19 Incident: Chinese soccer’s darkest day – Taipei Times. (2022). Retrieved 30 June 2022, from https://www.taipeitimes.com/News/sport/archives/2020/05/19/2003736668

Baca yang lain

Michael Edwards Setuju Kembali Ke Liverpool

Pengarah Sukan bertaraf legenda kelab iaitu Michael Edwards dilaporkan telah mencapai kesepakatan dengan Liverpool untuk kepulangan semula. Edwards sebelum ini menjadi tulang