3 Sebab Kita Perlu Terus Memberi Sokongan Kepada DOKS Berbanding Kritikan

Malaysia mungkin tersingkir di peringkat kumpulan. Selepas hanya mengutip 1 mata dari 2 perlawanan. Malaysia mungkin juga boleh melepasi peringkat ini, jika mampu menang baki 2 perlawanan dengan jaringan besar.

Dato Ong Kim Swee (D’OKS) sedar tentang peluang tersebut, walaupun sedikit tipis jika dilihat dengan corak permainan anak buahnya sebelum ini.

“Apa yang paling penting sekarang, adalah kita fokus daripada memikirkan perkara negatif yang mana saya percaya dengan kemampuan pemain kita.

“Perkara yang tidak difikirkan langsung (letak jawatan terus) kerana kita masih ada dua lagi perlawanan dan masih berpeluang untuk layak ke peringkat seterusnya jika mampu catat dua kemenangan dengan gol yang selesa. – Berita Harian, 30 November.

Sehingga jam 8 malam ini, Malaysia masih belum tersingkir. Kami memberi 3 sebab mengapa kita perlu terus memberi sokongan kepada D’OKS.

D’OKS sudah membayangkan akan berundur

Selepas kekalahan di tangan Filipina, D’OKS sudah membuat kenyataan bahawa ini merupakan Sukan SEA terakhirnya.

D’OKS mula menerima kritikan. Segelintir penyokong sudah mula bercakap tentang #OKSout ketika pertandingan sedang berlangsung. Media sudah mula meragui kemampuan pasukan ini.

“Apa yang boleh saya maklumkan di sini, apa jua keputusan sama ada kita layak atau tidak (ke separuh akhir), ini pasti akan menjadi Sukan SEA yang terakhir untuk saya. – Berita Harian, 30 November

Selepas kenyataan ini, seharusnya ia sudah menjadi jawapan kepada yang sudah meragui kemampuannya. Biarkan beliau menghabiskan tugasan ini dan berundur. Tidak kira apa keputusan dalam 2 perlawanan nanti. Beliau sudah berjanji.

Sukan SEA cuma pertandingan 10 hari

Semua pasukan hanya bermain dalam tempoh 10 hari pada peringkat kumpulan. Tambahan 5 hari jika mara ke peringkat separuh akhir.

Di peringkat kumpulan jarak perlawanan hanya antara 2 hari. Apa yang boleh dilakukan dalam tempoh ini jika penyokong mahu D’OKS keluar?

Tempoh paling sesuai adalah selepas tugasan ini selesai. Jawapan sudah ada, rujuk sebab 1.

Adakah dalam tempoh kurang 10 hari tersebut akan membantu pasukan berubah menjadi lebih baik dengan memberi tekanan dan kritikan atau melakukan perubahan jurulatih? Jika tiada, teruskan beri sokongan.

Kejohanan B-23 hanya pertandingan pembangunan

Semua peminat mahu melihat permainan menarik, keputusan baik, dan kejuaraan. Bagi pertandingan yang bertujuan membangunkan pemain, 3 kemahuan tersebut tidak boleh terlalu mandatori.

Majoriti pemain masih belum menjadi pemain kunci di persaingan domestik. Mereka masih belajar. Mereka sedang membina kekuatan mental sebelum menjadi pemain penting pada masa hadapan.

Kritikan kepada pasukan senior dan bawah umur tidak boleh sama. Pemain bawah umur masih dalam proses pembelajaran untuk berkembang. Ketika mereka sudah berusia 26 tahun, itulah masa yang sesuai untuk kritikan.

Dalam kejohanan peringkat senior mungkin kita pernah melihat jurulatih berundur atau dipecat. Seperti Piala Dunia atau Piala Asia. Tetapi agak jarang perkara ini berlaku di kejohanan bawah umur.

Terus beri sokongan kepada D’OKS

Ia cuma sokongan 10 hari, dan tambahan 5 hari. Bukan sesuatu yang sukar untuk para peminat untuk berikan.

Sama ada sokongan itu membantu atau tidak, sekurang-kurangnya para penyokong sudah menyelesaikan bahagiannya. D’OKS perlu selesaikan bahagiannya. Para pemain perlu selesaikan bahagiannya.

Semoga berjaya menewaskan Timor Leste pada malam ini.

Baca yang lain