Oleh: Afiq Rowley (Mohd Afiq Hafizuddin Bin Abd Halim)
Sepanjang perlawanan bola sepak membabitkan pasukan Kedah Darul Aman FC musim ini, penulis jarang melepaskan peluang untuk melihat aksi yang diperagakan oleh anak buah Aidil Sharin Sahak sertai menilai secara peribadi apa yang bagus dan apa yang perlu diperbaiki skuad ini pada pandangan peribadi.
Setakat 12 perlawanan yang diharungi KDA FC ini, pasukan dari utara ini telah mencatat 7 kemenangan, 2 seri, dan 3 kekalahan dengan mengumpul 23 mata untuk berada di kedudukan ke-3 terbaik.
Pasukan ini juga menjadi pasukan kedua menjaringkan gol terbanyak dengan mengumpul 20 gol dan hanya kurang 5 gol dari pendahulu liga, JDT FC. Yang agak menggusarkan, skuad ini juga telah menjadi antara pasukan yang kerap bolos dengan 11 gol sudah telah dibocori.
Terdapat 3 perkara yang penulis merasakan KDA FC sepatutnya lebih pertajamkan dan memperbaiki aspek kelemahan tersebut untuk meneruskan kelangsungan kedudukan terbaik dalam liga.
1. KDA FC amat lemah dalam tindakan berpasukan.
Skuad ini dilihat lebih kepada bergerak secara individu dan kesefahaman antara pemain juga lemah dalam berbalas hantaran. Misalnya, dalam mod serangan KDA FC lebih menggunakan kekuatan Kpah Sherman atau Tchetche Kipre dalam merencana gerakan dan tiada gerakan menonjol berpasukan dipamerkan sewaktu menyerang.
Bila 2 pemain ini diikat, maka KDA FC kehilangan punca mencipta ruang dan gerakan. Begitu juga di bahagian tengah, kadangkala Baddrol Bakhtiar dilihat berseorangan bergerak dan kedudukan bersama pemain tengah lain juga agak terasing sekaligus memudahkan ancaman lawan mencengkam bahagian tengah terlebih dahulu dalam perlawanan.
2. Taktikal yang terlalu ‘predictable’
Ok, ini sebenarnya yang membuatkan penulis sangat berkerut apabila jurulatih Kedah mengeluarkan kenyataan seperti, “kami akan mula dengan taktikal baru bila lawan pasukan berbeza. Dan kami kena tukar gaya permainan setiap kali bertemu lawan berbeza”.
Dan ya, setiap perlawanan itulah taktikal yang disajikan pasukan Kedah. Tiada sebarang perubahan yang penulis kesan dalam peralihan taktikal. Jika ada pun masih point pertama di atas membelenggu skuad ini untuk peralihan taktikal. Minit pertukaran pemain dan juga pemain mana yang bakal diturunkan juga hampir sama setiap perlawanan.
Penulis memuji dengan kemenangan yang kita kecapi musim ini dan kedudukan yang agak hebat sebagai ‘top 3’ tetapi dari segi aspek persembahan taktikal permainan, memang agak lemah. Kita lebih diselamatkan dengan individu pemain dan set pemain kita yang bagus dalam pasukan. Banyak yang ingin disentuh dalam point ini seperti taktikal mengambil sepakan percuma, taktik gerakan bola, dan kepincangan dalam barisan tengah dalam memberi kreativiti serangan juga antara yang menjadi perhatian penulis.
3. Minit permainan
Baik ini rasanya mesti ramai yang perasan juga. Rasanya penulis tak perlu menerangkan dengan lebih mendalam. Cukup jika setiap pemain itu perlu sekurangnya mendapat keseimbangan dalam minit permainan atau sekurangnya diberi peluang beraksi sebagai kesebelasan utama untuk beliau lebih bersedia dalam sebarang kemungkinan. Dalam skuad KDA FC, pasukan ini mempunyai set pemain utama dan simpanan yang seimbang untuk bersaing merebut tempat.
Namun setakat ini peluang pemain simpanan untuk mendapat peluang yang lebih sangat terhad kerana tiada sistem ‘rotary player’ dilakukan. Pemain seperti Zulkhairi, Loqman, Aiman Afif, Tam dan penjaga gol simpanan yang lain amat susah mendapat peluang bermain melainkan set pemain simpanan yang sama sahaja digunakan oleh Aidil setiap perlawanan.
Ini merupakan pemerhatian amatur penulis sahaja. Jadi jika ada percanggahan pendapat itu bukanlah suatu masalah kerana penulis meraikan semua pendapat semua.
Pendapat anda?