30 Pertukaran Hantaran Dalam Binaan Gol Kedua Brighton Lawan Man United

Brighton telah membuktikan bahawa mereka adalah pasukan yang berani bermain dengan banyak penguasaan bola di kaki mereka.

Gaya permainan moden itu mulai diterapkan pada era Graham Potter dan diperkasakan lagi di bawah De Zerbi.

Menjadikan mereka kini sebagai salah satu pasukan yang sangat menyeronokkan untuk disaksikan.

Dalam aksi berdepan dengan Man United di Old Trafford hujung minggu lalu, Brighton mencatat satu lagi kemenangan ke atas Man United menjadikan ianya kemenangan keempat berturut turut mereka.

Hanya ada dua pasukan sebelum ini melakukannya iaitu Liverpool pada 2000-2002 dan Man City pada 2013-2014.

Kini Brighton menjadi yang ketiga berbuat demikian.

Brighton mendahului menerusi bekas pemain Man United sendiri iaitu Dani Welbeck. Sebelum Pascal Gross menjaringkan gol kedua.

Kemudian Joao Pedro memastikan pelawat membawa pulang 3 mata dengan gol ketiga. Gol saguhati Man United hanyalah menerusi Hannibal Mejbri.

Namun salah satu daripada gol Brighton itu dicipta dengan gaya De Zerbi Ball. Satu taktikal yang berasaskan permainan bola rendah dan pertukaran hantaran pendek yang pantas.

Saksikan di sini je:

Kita semua tahu De Zerbi merupakan peminat fanatik taktikal Guardiola. Ketika di Shakhtar Donetsk dia malah pernah melawat Guardiola di Man City untuk mendalami lagi ilmu pengurusan taktikal.

Dia malah sedar ramai yang menganggap dia seorang yang gila dalam taktikal.

“Orang akan ingat saya gila dan saya setuju, saya mungkingsalah seorang yang paling gila.”

“Apabila bercakap tentang gila, saya maksudkan, apa yang kamu nak bagi kepada pemain. Misalnya visi kerja kamu. Bielsa hidup dengan kerjanya, dan saya pun sama. Sangat hampir kepada obsesi.”

“Pep adalah luar biasa macam Bielsa. Mereka ada prinsip yang jelas.”

Ditanya adakah dia tidak malu untuk mengaku dia cuba mencedok idea Guardiola dan Bielsa. De Zerbi berkata: “Semua pengurus bola sepak itu pencuri, namun kami harus ada satu idea baru kami sendiri. Saya? Saya mahu memenangi perlawanan dengan bermain bola. Saya nak menikmatinya.”

De Zerbi sentiasa memilih bola sepak cantik berbanding bola sepak pragmatik.

“Saya sentiasa sukakan seni bola sepak. Jika kamu tanya antara Mourinho dan Van Gaal, maka saya akan pilih Van Gaal.”