5 Pasukan Yang Menjaringkan Lebih Dari 100 Gol Dalam Saingan Liga Eropah

Bagi peminat bola sepak, impian mereka ialah untuk melihat pasukan kegemaran memenangi kejuaraan. Ada yang tak kisah jika pasukan mereka bermain secara negative football, yang penting dapat keputusan yang positif.

Namun tipulah jika anda tidak mengidamkan pasukan kegemaran bermain dengan taktikal menyerang serta menjaringkan seberapa banyak gol yang boleh.

Baru-baru ini, Bayern Munich di bawah bimbingan Hansi Flick telah memenangi Bundesliga dengan menjaringkan 100 gol. Ini merupakan kali kedua Die Roten menamatkan saingan liga dengan tiga angka jaringan gol.

Mari bersama penulis kita lihat kembali pasukan yang berjaya menjaringkan lebih dari 100 gol seterusnya memenangi gelaran liga.

5. Chelsea 2009/2010 – 103 gol

Carlo Ancelloti menggantikan pengurus sementara, Guus Hiddink pada permulaan musim 2009/2010. Dibarisi pemain bintang seperti Didier Drogba, Frank Lampard, Micheal Ballack dan Nicholas Anelka, tidak hairan melihat mereka menjaringkan begitu banyak gol.

Penyokong Chelsea dikhabarkan letih meraikan gol pada musim ini.

The Blues menjaringkan 7 gol dalam 3 perlawanan iaitu ketika menentang Sunderland (7-2), Aston Villa (7-1) dan Stoke City (7-0). Turut menjaringkan 4 gol dalam 4 perlawanan dan 5 gol dalam 2 perlawanan.

Chelsea muncul sebagai pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang pertama menjaringkan lebih 100 gol dalam semusim. Juga merupakan pasukan pertama sejak Tottenham Hotspurs pada tahun 1961 untuk menjaringkan 100 gol dalam liga utama.

Menutup kempen liga dengan bergaya apabila membelasah Wigan Athletic 8-0 di Stamford Bridge untuk mengesahkan kejuaraan liga dengan Drogba muncul pemenang kasut emas dengan 29 gol.

4. Manchester City 2017/2018 – 106 gol

Dibawah bimbingan Pep Guardiola, Manchester City merupakan pasukan yang paling banyak menjaringkan gol dalam saingan EPL dengan Gabriel Jesus mencetak gol ke-106 mereka pada minit terakhir ketika menentang Southampton.

City menjaringkan lebih 5 dari gol dalam 6 perlawanan. Turut menjaringkan 4 gol dalam 5 perlawanan. Kemenangan terbesar mereka ialah ketika menentang Stoke City di Etihad apabila berkesudahan dengan keputusan 7-2.

Itu hanyalah satu dari senarai rekod EPL yang dipecahkan The Cityzens pada musim 2017/2018. Antara rekod lain ialah kutipan mata tertinggi (100), kemenangan berturut-turut (18) dan rekod kemenangan (32).

3. Paris Saint Germain 2017/2018 – 108 gol

Gud Ebening.

Kejayaan Unai Emery membawa PSG memenangi Ligue 1 bukanlah kejutan besar. Kemasukan Neymar dengan rekod pembelian termahal dunia serta wonderkid AS Monaco, Kylian Mbappe secara pinjaman memudahkan kerja beliau.

Menjaringkan lebih dari 5 gol dalam 6 perlawanan dengan kemenangan terbesar ialah ketika membenam Dijon 8-0. Neymar menjaringkan 4 gol dalam perlawanan yang berlangsung di Stade de France itu.

PSG turut menjaringkan 105 gol pada musim seterusnya dengan Mbappe mencetak 33 gol.

2. Barcelona 2013/2013 – 115 gol

Tito Villanova yang sebelum ini merupakan pembantu Guardiola mengambil alih tugas dari sahabatnya yang ingin berehat dari dunia bola sepak. Ini merupakan pengalaman pertama dan terakhir beliau sebagai pengurus.

Tito telah didiagnos menghidap kanser kelenjar parotid sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 25 April 2014 ketika berumur 45 tahun.

Antara detik menarik pada musim itu apabila Barca terpaksa berhempas pulas untuk menewaskan Deportiva La Coruna 5-4. Messi mencatat hatrik manakala Javier Mascherano dibuang padang setelah mengutip 2 kad kuning.

115 gol yang dihasilkan oleh skuad Blaugrana kebanyakannya dijaringkan oleh Lionel Messi dengan jumlah 46 gol.

Barcelona juga pernah menjaringkan 112 gol ketika memenangi La Liga pada musim 2015/2016, 110 gol pada musim 2014/2015 dan 105 gol pada 2008/2009 di bawah bimbingan Guardiola.

1. Real Madrid 2011/2012 – 121 gol

Jika ada orang bilang bekas pengurus Manchester United, Jose Mourinho hanya tahu memarkir bas, tunjukkan kepada mereka statistik ini. 121 gol dalam 38 perlawanan merupakan rekod gol terbanyak saingan La Liga. Secara purata, 3.2 gol dijaringkan dalam satu perlawanan. Menakjubkan!

6 gol dihasilkan dalam 3 perlawanan, 5 gol dalam 4 perlawanan dan 4 gol dalam 10 perlawanan. 7 gol  pula dijaringkan ketika menentang Osasuna di Santiago Bernabeu.

Cristiano Ronaldo menjaringkan 46 gol untuk muncul pemenang Pichichi (penjaring terbanyak La Liga) sambil Mesut Ozil melakukan 19 bantuan jaringan. Paling diingati ketika kombinasi ini bergabung untuk menewaskan Barcelona dengan pengenalan sambutan gol terkenal Ronaldo, Calma.

Real menjuarai La Liga musim 2016/2017 dengan menjaringkan 106 gol.

Baca yang lain