5 Pemain Pertahanan Paling Prolifik Sepanjang Zaman

Pada 22 Jun 2020, Sergio Ramos menjaringkan golnya yang ke-68 dalam saingan La Liga ketika menentang Real Sociedad. Gol itu membolehkan beliau memintas rekod penjaring terbanyak bagi pertahanan yang sebelum ini dipegang oleh Ronald Koeman.

Mari bersama penulis melihat kembali 5 pemain pertahanan yang paling prolifik dalam sejarah bola sepak dunia.

5. Graham Alexander – 130 gol

Pemain yang berasal dari Scotland ini bermain di posisi bek kanan. Beliau pernah bermain di beberapa kelab di Liga Inggeris seperti Scunthorpe United, Luton Town, Preston dan Burnley sebelum mengumukan persaraan pada 2012 ketika berusia 40 tahun.

Merupakan pakar sepakan percuma, dia juga merupakan pengambil sepakan penalti utama di setiap kelab yang diwakili. Kebanyakan gol yang dijaringkannya adalah melalui situasi bola mati.

Mempunyai 40 cap antarabangsa namun gagal menjaringkan sebarang gol.

4. Laurent Blanc – 153 gol

Pemenang Piala Dunia 1998 ini merupakan salah seorang sweeper terbaik yang pernah disaksikan. Namun tahukah anda beliau memulakan karier bola sepaknya dengan bermain di posisi tengah?

Masih memegang rekod sebagai penjaring terbanyak Montpellier dengan 83 gol dalam semua pertandingan. Pernah menjaringkan lebih dari 10 gol dalam 4 musim dalam ketika di sana.

Aksi ikonik mencium kepala Fabian Barthez sebelum perlawanan bermula sentiasa menjadi kenangan. Sempat menjaringkan 16 gol untuk Les Blues dan paling diingati, gol emasnya pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia 1998 ketika menentang Paraguay.

3. Fernando Hierro – 163 gol

Antara pertahanan terbaik yang pernah dihasilkan oleh Real Madrid dan Sepanyol. Kapten lagenda Real Madrid ini menjulang 3 kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) diantara tahun 1998 dan 2002.

Merupakan ancaman setiap kali Real mendapat sepakan penjuru, beliau juga menjaringkan gol melalui penalti dan sepakan percuma.

Kehebatannya sebagai penjaring terserlah apabila menamatkan musim 1991/1992 dengan menjaringkan 21 gol dari 44 penampilan. Secara keseluruhan beliau menjaringkan 126 gol dari 621 penampilan untuk Los Blancos.

2. Daniel Passarella – 175 gol

Pertahanan terbaik sepanjang zaman di Argentina dan Amerika Selatan ini mempunyai rekod jaringan yang sangat baik. Pada suatu ketika pernah memegang rekod pertahanan paling banyak memjaringkan gol dengan 134 gol dari 452 perlawanan.

Hanya berketinggian 173cm (sama tinggi dengan Sergio Aguero), Passarella sangat efektif di udara. Tidak kira di kedua-dua belah kotak penalti.

Ramai beranggapan jika tidak kerana Diego Maradona dan Lionel Messi, Passarella mungkin sudah dianggap sebagai pemain terbaik yang pernah menyarung jersi Argentina.

Merupakan kapten skuad Argentina ketika menjulang Piala Dunia 1978. El Gran Capitán turut berada dalam skuad yang menjulang Piala Dunia 1986.

1. Ronald Koeman – 253 gol

Rekod beliau seakan mustahil untuk dipecahkan. Pemain penyerang pon cemburu dengan rekod jaringan Koeman ni. Berkelana dari Groningen, Ajax, PSV Eindhoven, FC Barcelona dan Feyenoord.

Koeman pernah menjaringkan 26 gol pada musim 1987/1988, di mana dia membantu PSV memenangi treble. Menjuarai Piala Eropah (UCL), Eredivisie dan Piala KNVB.

Ketika di Barcelona, beliau merupakan pemain tunjang skuad “Dream Team” di bawah bimbingan Johan Cruyff. Koeman adalah penjaring terbanyak UCL pada musim 1993/1994, berkongsi kedudukan bersama Wysnton Rufer yang mewakili Werder Bremen dengan 8 gol.

Gol sepakan percuma pada perlawanan akhir UCL 1991/1992 menentang Sampdoria merupakan gol terpentingnya bersama Barcelona, membantu Blaugrana menjuarai Piala Eropah (UCL) buat kali pertama dalam sejarah.

Baca yang lain