5 Pemain Terbaik Pahang 2020

Pahang mengulangi apa yang dilakukannya pada tahun 2016, tidak mengekalkan pemain terbaiknya pada musim sebelumnya.

Safuwan Baharuddin, Matthew Davies, Wan Zahrulnizam, Norshahrul Idlan Talaha dan R.Kogileswaran keluar meninggalkan skuad Dollah Salleh.

Pahang menurun dengan agak ketara apabila tewas 5 kali dalam 11 perlawanan liga. Pada musim sebelumnya Pahang menang 7 kali tanpa kalah dalam tempoh yang sama.

Semasa musim sedang berlangsung mereka sekali lagi menerima tamparan apabila Mamadou Sumareh juga keluar dan menyertai kelab Thailand, Police Tero.

Akhirnya Pahang menamatkan musim ditangga ke-6 dibelakang pasukan UiTM dan Petaling Jaya City, musim ke-2 terburuk sejak 2016 selepas menjadi naib juara 2 kali selepas itu.

PERSEDIAAN SKUAD

Pahang agak lambat membina skuadnya dan hanya membawa masuk beberapa pemain sederhana.

Sharbinee Allawee (Kuala Lumpur) dan Hardee Shamsuri menyertai Pahang, Adam Reed (Chainat Hornbill), Khalil Khamis (Al Ahed) dan Ivan Carlos (AEL Limassol) menjadi import terbaharunya.

Setup tersebut agak mengejutkan kerana mereka sudah mempunyai Muslim Ahmad yang sudah stabil bersama Goulon di pertahanan tengah.

Ia menjadi kenyataan apabila Khalil ‘hilang’ selepas beberapa perlawanan dan posisi tersebut kembali menjadi milik Muslim.

Selebihnya Pahang hanya meminjam 2 pemain dari JDT bagi memenuhi skuad kecilnya.

3 PEMAIN TERBAIK TEMPATAN

Nor Azam Azih terus menjadi pemain penting buat skuad Tok Gajah selepas mula stabil sebagai pemain utama sejak 2017. Dia merupakan baki pemain dari skuad lemah 2016 yang dikekalkan.

Azam tampil dalam kesemua 12 perlawanan musim ini. Sejak 2016, pemain berusia 25 tahun ini telah tampil 76 kali di Liga Super dan 70 kali darinya bermula di kesebelasan utama.

Mahu atau tidak peminat Pahang perlu bersetuju Faisal Halim pemain penting dalam pasukan kali ini. Mereka tidak mempunyai ramai pemain bernama besar untuk dipilih.

Pemain sayap yang berketinggian 158 sentimeter juga muncul dalam kesemua perlawanan dan menjaringkan 2 gol.

Pemain tempatan terakhir ialah Muslim Ahmad. Dia seperti Faisal, sebetulnya bukan yang terbaik tapi pemain penting sepanjang musim.

Kemampuan Muslim menjadi pertahanan tengah yang boleh menjaringkan gol diteruskan selama 3 musim berturut-turut sepanjang 4 musim berada di Kuantan.

Muslim merekod 2 gol dan salah satunya terhasil ketika Pahang cuba membuat kebangkitan dramatik ketika tewas kepada Kedah 2-3 di pusingan 16 Piala Malaysia.

Tidak ramai pertahanan tempatan mempunyai keupayaan sebegini kecuali Aidil Zafuan (JDT), Shahrul Saad (Perak) dan Muslim Ahmad.

*Azam Azih, Faisal Halim, Muslim Ahmad.

1 PEMAIN IMPORT TERAIK

Kegerunan tentang Dickson Nwakaeme hanya terletak pada nama tidak lagi kepada kemampuannya, Adam Reed tidak terlalu mengagumkan, Khalil Khamil gagal serta merta.

Import terbaik dimiliki Pahang hanya melibatkan Herald Goulon atau Ivan Carlos. Kedua-duanya layak dan Carlos mungkin lebih disukai oleh para penyokongnya.

Pemain berkepala botak itu mengumpul 6 jaringan termasuk 1 penalti ketika menentang Felda United.

Apa yang kurang adalah nilai jaringannya tidak tinggi kerana kesemuanya bukanlah gol kemenangan pasukan. Pahang gagal meraih kemenangan ketika Carlos mencetak gol dalam 4 perlawanan.

*Ivan Carlos

1 PEMAIN MUDA TERBAIK

Nik Sharif Haseefy mendapat debut ketika Dollah Salleh merombak pasukannya pada 25 Jun 2019. Itulah satu-satunya kesebelasan utama diperolehinya pada musim lepas.

Tahun ini pemain berusia 23 tahun ini meraih 10 penampilan, 6 kali sebagai pemain kesebelasan utama. Menjaringkan 3 gol berturut-turut pada 3 perlawanan terakhir liga ketika mengisi tempat Dickson Nwakaeme yang tidak cergas dan Mamadou Sumareh yang keluar.

*Nik Sharif Haseefy Lazim