5 Pemain Terbaik Perak 2020

Ia mungkin bukan kedudukan sebaik musim 2018 tetapi ia kedudukan lebih baik dari musim 2016.

Selebihnya Perak sememangnya pasukan pertengahan atas liga sejak setengah dekad lalu.

Ini merupakan musim ke-4 Mehmet Durakovic bersama skuad Bos Gaurus selepas mengambil alih dari mendiang Karl Heinz Weigang pada 22 Februari 2017.

Sejak menggalas tugas tersebut Durakovic merekod 29 kemenangan liga dari 73 perlawanan.

Sekitar 39.7% kemenangan. 5 darinya dicatat pada musim ini. Adakah ia memadai?

Hanya para penyokong Perak layak menjawabnya.

PERSEDIAAN SKUAD

Perak mengekalkan 2 pemain importnya Careca, Leandro Dos Santos dan membawa masuk 3 muka baharu bagi memperkuatkan barisannya.

Namun Chanta Thierry Bin gagal mengekalkan tempatnya sehingga musim berakhir.

Durakovic tidak banyak mengubah senarai pemain tempatan apabila hanya menandatangi Shahrel Fikri secara kekal selepas pemain ini bermain semusim penuh pada tahun lepas sebagai pemain pinjaman.

Itupun kerana faktor PKNP sudah dijadikan feeder club.

Perak bermula agak baik pada 4 perlawanan awal sebelum tumbang 2 kali berturut-turut di tangan Melaka United (0-1) dan JDT (0-7).

Mereka menutup kempen dengan kekalahan di tangan Kedah (2-3) pada 10 Oktober lepas.

3 PEMAIN TERBAIK TEMPATAN

Musim 2020 melihat Nazirul Naim hilang status pemain utama dan tempatnya digalas oleh pemain Rafiuddin Roddin.

Namun untuk mengatakan Rafiuddin antara 3 pemain tempatan di Perak mungkin sukar kerana terdapat beberapa pemain lain yang lebih baik.

Saban musim nama Shahrul Saad terus menjadi pemain penting Perak, pada musim ini juga tidak terkecuali.

Pemain berusia 27 tahun ini tampil dalam kesemua 12 perlawanan termasuk Piala Malaysia kecuali menentang Kedah.

Shahrul digantung kerana mengumpul 3 kad kuning.

Jaringan Shahrul ketika menentang Petaling Jaya City pada 11 Mac memberi Perak kemenangan ke-2 musim ini.

Shahrul juga mencatat nama dalam senarai penjaring gol ketika menewaskan TFC pada perlawanan pembukaan liga.

Shahrel Fikri pula merupakan pemain tempatan ke-2 terbaik di Perak.

Bekas pemain PKNP ini merakam 10 gol dan menjadi pemain tempatan paling banyak menjaringkan gol.

Dia hanya tewas pada perlawanan terakhir kepada Ifedayo Olusegun dalam perebutan kasut emas.

Penyudah terbaiknya berlaku pada bulan September apabila meledak 7 gol dalam 4 perlawanan. Menjaringkan 4 gol ketika membelasah Felda United 5-1.

Pemain ini diberi peranan lebih di dalam kotak penalti. Kecemerlangannya juga mampu mengenepikan penyerang import, Raianderson Moraes atau lebih dikenali sebagai Careca.

Pada awal musim Chanta Thierry Bin dan Leandro dijangka akan menjadi nadi tengah penting dalam skuad Durakovic namun Kenny Pallraj lebih memikat hati ketua jurulatih dari Australia itu.

Selepas 2 perlawanan Kenny Pallraj sudah mengenepikan Thierry Bin dan menjadi pemain penting bersama Leandro.

Melalui 2 pemain ini Perak menjadi pasukan paling fizikal di Liga Super. 9 kad kuning dikumpul oleh kombinasi ini.

*Shahrul Saad, Shahrel Fikri, Kenny Pallraj

1 PEMAIN TERBAIK IMPORT

Tiada pemain import yang benar-benar memikat dari Perak musim ini.

Anthony Golec tidak memiliki sebarang gol dari situasi bola mati yang pada kebiasaannya menjadi makanan kepada pertahanan tengah.

Pemain tempatan seperti Shahrul lebih power.

Guilherme de Paula pula hanya menunjukkan ketajaman pada perlawanan pertama sebelum menjadi pasif dan kemarau jaringan.

Careca diketepikan oleh Shahrel dan Thierry Bin dihantar ke bangku simpanan oleh Kenny Pallraj.

Leandro yang terbaik dari senarai tersebut.

*Leandro Dos Santos

1 PEMAIN MUDA TERBAIK

Nasrullah Aziz, Farid Khazali dan Adip Raop merupakan pemain muda yang ditampilan Perak musim ini.

Namun nama Nasrullah sudah muncul pada musim lepas apabila tersenarai dalam 3 perlawanan, kesemuanya berada di bangku simpanan.

Nasrullah membuat debut liga pada perlawanan pembukaan dan dia terus kekal sebagai penjaga gol utama sehingga LS7 sebelum Hafizul Hakim Nizam Jothy mengambilnya semula.

Farid Khazali merupakan rentetan pemain sayap muda dilahirkan oleh Perak selepas Khairil Anuar Zamri, Firdaus Saiyadi dan mungkin Nurridzuan, Hafiz Ramdan satu masa dahulu.

Perak’s Farid Khazali celebrates after scoring against Kuala Lumpur in a friendly match at the Perak Stadium in Ipoh. – Photo by PERAK TBG

Farid muncul 8 kali termasuk sekali sebagai pemain kesebelasan utama ketika menewaskan PDRM 2-0 pada 20 September.

Adip Raop pula mendapat kepercayaan dari Durakovic dan pemain muda ini tampil 5 kali sebagai pemain simpanan yang digunakan.

*Farid Khazali

Secara keseluruhan Mehmet Durakovic menggunakan 23 pemain dalam 12 perlawanan domestik yang dihadapi.

Sathiya Kandasamy, Khairul Amri Salehuddin, Izzat Rali, Khairul Amizan dan Alif Zikri antara nama yang sempat berada di senarai simpanan tetapi tidak pernah bermain.