Everton berjaya menandatangani Carlo Ancelotti, seorang pengurus yang mempunyai reputasi besar dalam dunia bola sepak. Pengurus berusia 60 tahun ini pernah mengurus kelab gergasi di 5 liga tertinggi Eropah.
Real Madrid, Bayern Munich, Paris Saint Germain, Chelsea dan Juventus antara kelab yang pernah diuruskan oleh beliau.
Pengurus berbangsa Itali ini diikat selama 4 tahun setengah, menyaksikan musim 2014/15 adalah musim terakhirnya di Goodison Park.
Everton sebelum ini telah memecat Marco Silva selepas beberapa siri keputusan mengecewakan. The Toffees telah mengeluarkan lebih £100 juta, bajet pra musim bagi membawa masuk pemain baharu.
Keputusan mengecewakan yang membawa kelab menghampiri zon penyingkiran bukan sesuatu yang baik untuk Silva dan kelab.
Sementara itu Ancelotti dipecat oleh Napoli kerana masalah dalaman walaupun berjaya membawa kelab itu mara ke pusingan ke-2 Liga Juara Eropah.
Pada 2 musim sebelumnya, Napoli tersingkir 2 kali di peringkat kumpulan Liga Juara Eropah.
Everton dibawah pengendali sementara, Duncan Ferguson mencatat beberapa keputusan cemerlang. Menewaskan Chelsea 3-1, seri dengan 2 lagi kelab besar iaitu Manchester Utd dan Arsenal.
Ferguson berjaya membantu The Toffees meraih 5 mata penting buat pasukan ketika bertemu 3 kelab besar. Everton akan menunggu Burnley di Goodison Park pada 26 Disember ini, perlawanan pertama di bawah pengurusan Ancelotti.
Sesuatu yang lebih besar ditagih oleh kelab dari Ancelotti iaitu layak ke Liga Juara Eropah, perkara yang sering dilakukan oleh pengurus ini dalam kariernya.
5 perkara yang perlu diberi perhatian oleh Ancelotti sejurus melangkah masuk ke pejabat di Goodison Park.
1. Menyusun kembali barisan pertahanan
Jurulatih Itali ini terkenal dengan pendekatan pragmatik dalam permainan, Ancelotti memerlukan semua pengalamannya untuk membawa Everton ke tahap itu.
Di bawah Marco Silva, The Toffees bolos sebanyak 27 gol dalam 15 perlawanan-hampir 2 jaringan setiap perlawanan.
Michael Keane dan Yerry Mina terlalu selesa tanpa persaingan di posisi pertahanan tengah, kedua-duanya bernilai sekitar £30 juta. Mungkin lebih banyak pelaburan diperlukan pada Januari ini, dengan membawa masuk 1 pertahanan baharu.
2. Mengeluarkan potensi Moise Kean
Kean masih mencari rentak di England. Pemain ini masih belum melakukan debut gol sejak berpindah ke Goodison Park.
Tetapi perlu diingat, dia hanya berumur 19 tahun. Dia sangat berbakat dan Ancelotti akan mendapat manfaat daripada pemain ini jika mampu mengeluarkan potensinya , seperti yang dilakukan Kean di Juventus musim lalu.
Kean mencetak 7 jaringan dalam 14 perlawanan bersama Juventus sebagai pemain simpanan. Pada usia itu juga Kean juga telah merekod 2 jaringan bersama skuad kebangsaan Itali.
3. Mencari jalan untuk Richarlison menjadi pemain yang cemerlang
Everton menjadi kelab yang istimewa kerana mempunyai pemain kebangsaan Brazil iaitu Richarlison, walaupun kelab kini sedang menghampiri zon penyingkiran.
Richarlison sebenarnya mampu membantu kelab meraih beberapa keputusan positif. Pemain berusia 22 tahun ini adalah penjaring utama Everton.
Everton berpotensi memiliki salah seorang pemain terbaik di dunia, jika boleh meletakan pemain yang betul di sekelilingnya. Ancelotti perlu mencari jalan untuk menyesuaian Richarlison bersama Kean.
Pilihan pertama mungkin mengembalikannya kembali ke posisi penyerang sisi kiri yang mana sebelum ini Mauro Silva kerap menggunakan Bernard dengan mengalihkan Richarlison ke kanan.
4. Tidak meminggirkan bakat kelab
Walaupun sudah menghabiskan beratus juta pound bagi membawa masuk pemain terbaik dari pelusuk dunia, beberapa pemain kelab juga boleh diangkat ke tahap lebih tinggi seperti Mason Holgate, Dominic Calvert-Lewin dan Tom Davies.
Kesemua pemain ini pernah menunjukan potensi untuk berkembang, jika Ancelotti meletakkan kepercayaan kepada mereka, mungkin sesuatu yang lebih baik boleh diraih.
Dijangka lebih banyak pelaburan daripada pemilik kelab, Farhad Moshiri pada jendela perpindahan yang akan datang, tetapi bakat pemain di kelab tidak boleh dipinggirkan.
5. Menangani isu kecederaan
Untuk bersikap adil kepada Ancelotti, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh pengurus ini tentang masalah kecederaan yang berlaku. Everton benar-benar malang dengan krisis kecederaan.
Pemain yang baharu dibawa masuk, Jean-Phillipe Gbamin dan Andre Gomes, kedua-dua mempunyai masalah kecederaan jangka masa panjang. Fabian Delph juga mempunyai isu ini.
Perkara ini sedikit sebanyak menganggu keupayaan kelab dan perlu mempunyai jalan penyelesaian. Salah satunya cara yang hanya boleh dilakukan oleh Ancelotti buat masa ini adalah memesan lebih banyak ubat dan kain pembalut.
Rumusan
Pada awal musim, Everton adalah pasukan yang dinilai akan menamatkan kempen liga di kedudukan ke-10 hingga ke-13.
Pada 5 musim lepas Everton sentiasa menamatkan kempen di pertengahan liga.
- 2018/19: ke-8
- 2017/18: ke-8
- 2016/17: ke-7
- 2015/16: ke-11
- 2014/15: ke-11
Ketika ini Everton sudah mencatat 9 kekalahan walaupun pusingan pertama liga masih belum berakhir, menduduki tangga ke-15 dengan 19 mata.
Bagi menyamai pencapaian terbaiknya sejak 5 musim lepas, di tangga ke-7, Everton perlu mengumpul 55 hingga 64 mata. Sesuatu yang sukar dilakukan pada musim ini.
Impian peminat di Goodison Park melihat pasukan ini berada di Liga Juara Eropah melalui kepakaran dan reputasi Ancelotti perlukan masa.
Tempoh 4 musim penuh diberikan kepada pengurus itu bagi menyelesaikan beberapa isu di kelab mungkin satu tempoh yang wajar.