Peluang Malaysia untuk ke Piala Dunia sudah tertutup rapat apabila tewas di tangan Vietnam 1-2 pada perlawanan ke-7 peringkat kumpulan.
Misi berikutnya Malaysia wajib menewaskan Thailand untuk mara ke pusingan kelayakan akhir Piala Asia 2023 secara terus.
Pasukan yang berjaya menamatkan kumpulan di tempat ke-3 akan terus mara ke pusingan kelayakan akhir, sementara pasukan di tangga ke-4 perlu mengharungi perlawanan playoff terlebih dahulu.
Jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe membuat perubahan kecil dengan mengembalikan Brendan Gan ke dalam kesebelasan utama sementara itu Park Hang-Seo menukar 4 pemain dari kesebelasan sebelumnya.
Penterang utama Vietnam, Nguyen Tien Linh membuka jaringan perlawanan pada minit ke-27.
Dalam perlawanan bertemu Indonesia dia juga penjaring gol pembukaan.
Jaringan Vietnam berpunca dari sepakan sudut yang dikeluarkan oleh Aidil Zaquan namun kembali ditanduk masuk kedalam kotak penalti.
Tien Linh tidak mensia-sia peluang yang hadir apabila menang ariel duel menentang Aidil untuk menewaskan Farizal Marlias.
Guilherme De Paula atau dipanggil dengan nama manja Zulhelmi oleh para peminat bola sepak Malaysia menyamakan kedudukan pada minit ke-72 melalui sepakan penalti.
Ketika perlawanan berbaki 8 minit pengadil perlawanan sekali lagi memberi sepakan penalti tetapi kali ini kepada Vietnam.
Nguyen Ngoc Hai mudah menyempurnakan sepakan tersebut.
1. ZULHELMI MASIH TUMPUL
Zulhelmi boleh menjaringkan gol lebih awal sebelum sepakan penalti Malaysia diperolehi.
Bermula dari satu sepakan percuma, Zulhelmi membuat satu larian baik dan bola singgah dikakinya berhampiran kotak 6 ela.
Namun tolakan dari Zulhelmi tepat ke arah penjaga gol lawan, Bui Tan Trong.
Bagaimana Zulhelmi boleh terlepas peluang menjaringkan gol dari jarak 6-7 ela sahaja dari penjaga gol?
2. KERAIAN DAN REAKSI ZULHELMI
Zulhelmi dikritik teruk pada perlawanan menentang UAE.
Pemain ini dikatakan agak malas oleh jurulatih Nidzam Jamil. Namun Zulhelmi membuktikan kritikan itu tidak benar.
Zulhelmi mempamerkan satu larian pantas selepas menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-72 melalui sepakan penalti.
Zulhelmi juga meluru ke arah kamera dan menjerit-jerit dengan penuh emosi.
3. PERCATURAN TCH-BRENDAN GAN
Tan Cheng Hoe melakukan perubahan mengeluarkan Syamer Kutty Abba dan memasukan Liridon Krasniqi.
Peranan Brendan ditukar menjadi lebih defensif menggantikan tempat Syamer.
Brendan jarang menunjukkan magis sebagai pemain defensif. Lebih tinggi berada Brendan akan menjadi lebih baik.
3 minit selepas percaturan tersebut Vietnam dihadiah satu sepakan penalti melibatkan Brendan.
Disudut lain, Liridon sekali lagi tidak memberi impak kepada pasukan sama seperti bertemu UAE.
4. PENALTI VIETNAM
Jaringan kemenangan Vietnam dihiasi dengan kontroversi.
Walaupun Brendan Gan dilihat sebagai pemain terakhir menjatuhkan pemain lawan namun ia jelas satu simulasi terhebat mengalah pelakon Bollywood.
Vietnam sekali lagi menang melalui kontroversi.
Sebelum ini jurulatih Indonesia, Shin Tae Yong juga kecewa kerana pengadil perlawanan membenarkan jaringan pembukaan Vietnam walaupun jelas bola terkena tangan pemainnya terlebih dahulu.
5. MALAYSIA LEBIH BERHAK MENANG
Secara keseluruhan Malaysia bermain dengan baik dalam permainan terbuka ditampilkan Vietnam.
Selepas Vietnam mendapat gol pembukaan, Malaysia mempunyai 4 peluang besar sebelum jaringan Zulhelmi.
Tan Trong terpaksa melakukan refleksi luar biasa untuk menyelamatkan tandukan padu maut dari Syafiq Ahmad.
Dia sekali lagi melakukan aksi cemerlang menyelamatkan sepakan percuma Safawi Rashid.
Seterusnya percubaan dari Zulhelmi berjaya dihadang oleh pertahanan lawan dan bola membias keluar.
Peluang paling besar adalah percubaan Zulhelmi di luar kotak 6 ela tadi.
Jumlah peluang Malaysia lebih dari cukup untuk menang perlawanan ini.
Poin lain yang boleh diberi perhatian tentang prestasi penyerang sayap Malaysia.
Sejak 2 perlawanan lepas Safawi dan Mamadou Sumareh agak tenggelam.
Adakah 2 pemain ini perlu direhatkan dan beri peluang kepada Akhyar Rashid, Luqman Hakim atau Aiman Afif bermula di kesebelasan utama?