£50 juta, Ben White Bakal Jadi Bek Paling Mahal Dalam Sejarah Arsenal Dan Nombor 3 Secara Keseluruhan

Arsenal dilaporkan telah mencapai persetujuan dengan Brighton & Hove Albion berkaitan harga perpindahan Ben White.

Khabar itu dilaporkan oleh The Athletic semalam. Menurur sumber tersebut Brighton sedia melepaskan pertahanan England itu pada harga £50 juta.

Jika perpindahan itu menjadi kenyataan White akan muncul pemain pertahanan paling mahal pernah dibeli dalam sejarah Arsenal.

Status pemain pertahanan termahal kini dipegang Skhodran Mustafi yang dibeli Arsenal pada harga £36 juta pada tahun 2016 dari Valencia.

Secara keseluruhan White akan menjadi pemain ke-3 paling mahal dalam sejarah pembelian Arsenal berada di belakang Nicolas Pepe (£72 juta/2019) dan Pierre Emmerick Aubameyang (£56 juta/2018).

Menurut Daily Mail, pada mulanya Brighton telah menolak tawaran £40 juta dan kemudiannya £45 juta yang dilakukan Arsenal.

Brighton akhirnya cair selepas Arsenal hadir dengan tawaran seterusnya yang berjumlah £50 juta.

Pada musim lepas White tampil 39 kali bersama Brighton dalam semua pertandingan.

Nama pemain bek tengah itu mencanak dengan drastik apabila dipanggil oleh Gareth Southgate untuk menyertai skuad kebangsaan England bagi menggantikan Trent Alexander-Arnold yang mengalami kecederaan.

Disebabkan faktor itu Brighton telah menaikan harga White, walaupun White tidak  diturunkan oleh Southgate di EURO.

Selain dari White, terdapat 4 lagi pemain yang menjadi sasaran Arsenal.

Menurut laporan Football Italia, Arsenal dilaporkan telah menawarkan £40 juta kepada Sassuolo bagi mendapatkan khidmat pemain tengah Itali, Manuel Locatelli.

Menurut beberapa laporan, Sassuolo telah memberi kebenaran kepada Arsenal untuk berbincang dengan Locatelli tentang butiran kontrak yang ingin ditawarakan.

Walaupun kebenaran tersebut sudah diberikan namun Arsenal mendapat saingan kuat kerana Locatelli dilihat lebih berminat menyertai Juventus -jika dia meninggalkan Sassuolo.

Merujuk kepada Sky Italia, Juventus telah mengajukan tawaran kepada Sassuolo untuk mendapatkan Locatelli.

Juventus hanya membuat tawaran pinjaman selama semusim dengan pilihan membelinya secara kekal pada musim seterusnya. Tawaran itu dilaporkan telah ditolak oleh Sassuolo.

Sassuolo lebih berminat dengan tunai £40 juta dan Arsenal melihat Locatelli adalah pelan untuk menggantikan Granit Xhaka yang berpindah ke AS Roma.

Nama Locatelli menjadi terkenal apabila dia menjaringkan 2 gol ketika Itali menewaskan Switzerland 3-0 pada peringkat kumpulan di EURO.

Locatelli bersama Matteo Pessina merupakan pemain simpanan skuad Roberto Mancini berada dibelakang Nicola Barella, Stefano Sensi dan Marco Verratti.

Kecederaan yang dialami oleh Sensi dan Lorenzo Pellegrini telah memberi peluang untuk Locatelli diturunkan lebih kerap.

Sehingga kini Locatelli telah terlibat dengan 15 perlawanan bersama Itali, majoritinya pada tahun ini ketika dalam perlawanan pemanas badan Euro dan kejohanan Euro.

Pada musim lepas Arsenal melakukan 3 pembelian major iaitu Pablo Mari (£7.2 juta/Flamengo), Gabriel Magalhaes (£23.1 juta/Lille), Thomas Partey (£45 juta/Atletico Madrid) namun gagal membantu Arsenal meraih kedudukan baik di liga.

Arsenal hanya menamatkan kempen liga di tangga ke-8 dan gagal melayakan diri ke pertandingan eropah.

Arsenal juga tersingkir dalam saingan Piala FA di pusingan ke-4 dan suku akhir Piala EFL.

Satu-satunya kejayaan yang diraih oleh Mikel Arteta adalah juara FA Community Shield menewaskan Liverpool melalui penentuan sepakan penalti 5-4.

Baca yang lain

UEL: Liverpool Rasminya Tersingkir

Liverpool berkunjung ke markas Atalanta dengan membawa defisit 3 gol dari Anfield. Misi mereka adalah menjaringkan 3 gol dan cuba mengelak bolos.