Seramai 5,000 pegawai Kementerian Kesihatan akan digerakkan di seluruh negara untuk menguatkuasakan larangan merokok di kawasan tidak dibenarkan, termasuk premis makan, bermula 1 Januari 2020.
Mereka sudah pun mulai bertugas sejak tengah malam tadi dah.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye mengesahkan perkara itu kepada media. Ianya adalah di bawah akta Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.
Kementerian Kesihatan akan memantau kesemua aktiviti merokok yang berlaku di kesemua tempat larangan merokok.
Dr Lee yakin Kementerian Kesihatan memiliki jumlah pegawai yang cukup untuk penguatkuasaan itu.
Beliau juga menegaskan, sejak kerajaan mewartakan premis makanan sebagai kawasan larangan merokok pada 1 Januari 2019, jumlah perokok di kedai makan memang dah berkurangan.
Dipetik dari sumber BH Online Dr Lee berkata: “Kita akan meningkatkan penguatkuasaan waktu malam dan di luar bandar berikutan ramai tidak mematuhi larangan merokok pada masa serta lokasi berkenaan.”
“Itu akan menjadi fokus utama pemantauan selepas ini.”
“Orang ramai boleh memberikan maklumat menerusi saluran disediakan sekiranya ada melihat individu atau pemilik premis melanggar larangan berkenaan.”
#BHnasional 5,000 penguat kuasa pantau perokok di premis makananhttps://t.co/LgA6M6LQin pic.twitter.com/QKRctc8JkW
— Berita Harian (@bharianmy) December 31, 2019
“Kita sudah memberi ruang sejak setahun lalu dan sepatutnya semua individu serta pemilik premis seperti tempat makan memahaminya.”
Bermula pada hari ini, 1 Januari 2020, individu yang merokok di kawasan larangan, termasuk semua tempat makan akan dikenakan kompaun RM250.
Namun kadar itu boleh dikurangkan kepada RM150 bagi kesalahan pertama dan perlu dijelaskan di Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh sebulan dari tarikh izin kompaun diterima.
Sementara itu, bagi kesalahan kedua pula, tiada pengurangan kompaun diberikan dan bayaran penuh kompaun RM250 akan dikenakan.
Seterusnya untuk kesalahan ketiga kompaun sebanyak RM350 akan dikenakan.
Pemilik premis harus memastikan tempat makan bebas daripada amalan merokok. Ini termasuk tidak menjual rokok serta menyediakan perkakasan rokok seperti bekas abu rokok.
Tidak juga dibenarkan menjual sisha di premis makanan selepas ini.
Pemilik premis yang gagal menjalankan tanggungjawab mereka akan dikompaun RM250 bagi kesalahan pertama dan kedua.
Sementara itu, untuk kesalahan ketiga dan seterusnya, mereka akan dikenakan kompaun RM350.
Selain pemantauan dilakukan pegawai penguat kuasa, orang ramai yang nak membuat aduan kepada Kementerian Kesihatan boleh berbuat demikian menerusi WhatsApp di talian 010-8608949 atau menghubungi talian 03-88924530.
Beberapa maklumat perlu disertakan dalam laporan nama premis, lokasi/alamat dan jenis kesalahan, selain menyertakan gambar pesalah merokok dalam premis.