6 Perlawanan Paling Menghiburkan Sepanjang Kempen EPL 20/21

Liga Perdana Inggeris (EPL) melabuhkan tirainya pada Ahad lepas dengan Manchester City menjulang kejuaraan ke-5 mereka dalam sejarah penubuhan liga. Mereka mengatasi musuh setempat Manchester United dengan kelebihan 12 mata di tangga kedua.

Sepanjang berlangsungnya kempen EPL yang lalu, kita dihidangkan dengan perlawanan yang cukup dramatik, keputusan yang menjolok mata malah ada yang membuatkan sesetengah peminat langsung menutup televisyen sebelum perlawanan berakhir.

Mari bersama penulis kita imbas perlawanan yang saya anggap paling menghiburkan sepanjang musim 2020/2021.

1. Liverpool 4-3 Leeds United- 12/9/2020

Leeds United kembali ke kancah EPL selepas bertahun bergelumang di liga bawahan. Lebih menarik, mereka dilatih oleh Marcelo Bielsa yang dianggap idola oleh jurulatih hebat seperti Pep Guardiola dan Mauricio Pochettino.

Halangan pertama Bielsa dalam menempuhi cabaran liga terhebat dunia ini bukan mudah. Melawat ke Anfield bertemu juara bertahan, Liverpool.

Dengan kedua-dua pasukan mempamerkan corak counter-pressing yang agresif, perlawanan berakhir dengan keputusan 4-3 memihak kepada skuad Merseyside itu dengan Mo Salah menjaringkan hatrik.

2. Man City 2-5 Leicester City-26/9/2020

Perlawanan yang dihiasi dengan penalti ini merupakan kekalahan terbesar Guardiola sepanjang melatih The Cityzens.

Jamie Vardy menjaringkan hatrik hasil dua sepakan penalti dan satu lagi menyambut hantaran Timothy Castagne. Hatrik ini juga merupakan kali kedua beliau menjaringkan 3 gol menentang skuad Guardiola. Penalti ketiga perlawanan dijaringkan oleh hero final Piala FA, Youri Tielemans.

Bekas pemain Leicester, Riyad Mahrez meletakkan City didepan dengan Nathan Ake menjaringkan gol kedua buat bakal juara itu.

3. Manchester United 1-6 Tottenham Hotspurs- 4/10/2020

Jose Mourinho bertandang ke Old Trafford menentang bekas pasukannya, Manchester United dalam misi untuk menewaskan Ole Gunnar Solskjaer.

Ayam tambatan Spurs, Son Heung Min dan Harry Kane menjaringkan brace, sementara pemain harapan United, Anthony Martial dibuang padang setelah melakukan kekasaran terhadap Erik Lamela.

Aksi pertahanan menarik yang dipamerkan oleh Harry Maguire turut menarik perhatian peminat apabila melakukan beberapa school boy error. Gol United dijaringkan oleh Bruno Fernandes. Anda boleh jangka bagaimana gol itu dihasilkan.

4. Aston Villa 7-2 Liverpool- 5/10/2020

Aksi menakjubkan yang dipamer oleh Ollie Watkins dan Jack Grealish mengundang rasa gentar kepada penjaga gol kedua Liverpool, Adrian.

The Villains mendahului 4-1 sehingga tamat separuh masa pertama. Watkins menjaringkan hatrik manakala Grealish menjaringkan 2 gol serta 3 assist menceriakan pengurus fantasi mereka.

Mo Salah turut menjaringkan 2 gol namun ia gagal menyelamatkan Liverpool dari rekod kekalahan terburuk mereka dalam sejarah liga.

5. Manchester United 9-0 Southampton- 2/2/2021

United menyamai rekod kemenangan terbesar dalam sejarah EPL apabila menjaringkan 9 gol melepasi Southampton. Ini merupakan musim kedua berturut-turut The Saints melepaskan 9 gol dalam satu perlawanan.

Soton bermula dengan langkah kiri apabila Alexander Jankewitz yang baru 2 minit melakukan debut dilayangkan kad merah setelah mengasari Scott McTominay.

Pemain United kemudian beratur mengambil giliran untuk menjaringkan gol sebelum pertahanan Soton, Jan Bednarek menjaringkan gol sendiri. Bednarek juga turut dibuang padang dengan meninggalkan skuad Ralph Hussenhuttl mengakhiri perlawanan dengan 9 pemain.

6. Chelsea 2-5 West Bromwich United- 3/4/2021

Dikala ramai mengatakan bahawa skuad Thomas Tuchel sudah lupa untuk melepaskan gol dan kalah, Sam Allardyce mengingatkan kita bahawa dalam bola sepak, perkara magis itu sering berlaku.

Tidak kalah dalam 14 perlawanan dan hanya bolos 2 selepas mengambil alih The Blues, Tuchel diajar tidak boleh memandang rendah mana-mana pasukan. Waima pasukan itu bergelut dalam zon penyingkiran sekalipun.

Walaupun mendahului melalui jaringan Christian Pulisic, kad merah Thiago Silva mengubah skrip perlawanan. Matheus Perreira dan kryptonite Chelsea, Callum Robinson masing-masing menjaringkan 2 gol. Ini merupakan jaringan keempat Robinson dalam 2 perlawanan menentang Chelsea musim ini.

Rumusan

6 perlawanan di atas merupakan antara perlawanan yang menarik perhatian peminat bola sepak khususnya EPL. Tidak semua keputusan akan mengikut kekuatan pasukan yang dibanding di atas sehelai kertas.

Inilah yang membuatkan bola sepak itu indah. Full of suprise!

Baca yang lain