Mamat Khalid disahkan meninggal dunia pada tengah malam semalam. Ianya satu kehilangan besar untuk industri perfileman tanah air.
Peminat peminat filem tempatan berdukacita mendengar berita tersebut. Mamat Khalid pastinya antara pengarah terbaik yang pernah ada dalam sejarah perfileman Malaysia.
Ini adalah 8 naskah Mamat Khalid yang sangat signifikan dan memberikan kesan kepada kita.
1. Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel
Salah satu drama yang sangat signifikan dengan Mamat Khalid. Dan barisan pelakon dalam drama ini, ramai antara mereka terus menjadi tulang belakang kepada drama dan filem arwah selepas itu.
Mengisahkan Cik Kiah dan penduduk kampung yang berkobar kobar mahu meraikan Sukan Komanwel yang ketika itu dianjurkan di Kuala Lumpur.
Banyak peristiwa, ragam dan karenah yang berlaku sepanjang rombongan. Walaupun ianya naskah komedi, namun drama ini terselit banyak penjagaran sosial termasuk semangat patriotik yang sukar dijelaskan.
2. Man Laksa
Cerita ini berkisar tentang Man Laksa, penjual laksa di kampungnya, Kampung Talang. Dia membuka gerai di dalam acara malam anekaragam anjuran Biro Penerangan Belia 4B.
Acara itu adalah berbentuk hiburan sambil beramal untuk mengutip derma bagi membantu keluarga Pak Maon yang kehilangan harta benda akibat kebakaran pada musim banjir.
Man Laksa turut bertekad mahu melamar kekasihnya Chah. Man Laksa mengambil tanggungjawab menjadi ketua aturcara selepas Fadhil pengsan kerana serangan panik, selepas banyak sangat masalah. Pentas masih belum siap. Rombongan penari tersangkut dan sebagainya.
Man Laksa bersemangat mahu menggantikan Fadhil kerana dijanjikan bahawa, sesiapa yang boleh mengendalikan acara itu akan dijodohkan dengan Chah.
Man Laksa terpaksa berdepan dengan tekanan daripada hadirin yang mulai bengang kerana acara masih terus tidak bermula. Akhirnya satu persatu persembahan dibuat walaupun dalam keadaan carca merba.
Terdapat pelbagai ragam manusia. Ada yang jenis menyokong kawan, ada yang batu api, ada yang suka membuat cerita dan sebagainya.
Kemuncak acara, Man Laksa perlu menunaikan janji bahawa mereka akan membawa Ahmad Jais, Saloma dan M. Daud Kilau menyanyi di kampung tersebut seperti yang dijanjikan oleh Fadhil Mat Dom.
3. Zombi Kampung Pisang
Filem yang membentuk universe Kampung Pisang yang penting dalam beberapa naskah Mamat Khalid yang seterusnya.
Filem ini adalah bergenre komedi seram. Di mana di sebuah kampung, bernama Kampung Pisang, mereka dilanda serangan Zombi.
Kematian mengejut Pak Abu dan kemudian mayatnya pula hilang bersama dengan Pak Jabit telah menimbulkan banyak persoalan. Dan akhirnya penduduk kampung berkumpul di sebuah dewan.
Ketika melalui malam yang seram itu, pelbagai peristiwa berlaku.
Walaupun filem ini kelakar seram, namun filem ini sudah mendidik kita cara isolasi ketika pandemik. Di mana penduduk kampung yang kontak rapat serta mengunjungi warung Pak Munawer terus dikuarantin untuk mengelakkan pandemik tersebar.
Ramai yang palatau, ada juga yang di luar konteks, bercerita soal politi dan sebagainya. Naskah yang sangat luar biasa kelakarnya.
4. Hantu Kak Limah Balik Rumah
Satu lagi filem yang berlatarkan Kampung Pisang. Mengisahkan Husib yang akhirnya pulang ke kampungnya, selepas bertahun tahun bekerja di Singapura.
Ketika di rumahnya, Husin melihat kelakuan pelik jirannya, Kak Limah dan mengesyaki bahawa Kak Limah adalah hantu.
Abi Hurairah setuju dengan pendapat Husin kerana beliau juga mengalami peristiwa pelik ketika melihat Kak Limah di kawasan kubur.
Pak Jabit pula menganggap Husin ni punca kampung mereka kacau bilau. Pak Jabit lama berdendam dengan Husin yang membuatkan Che Nin menderita ditinggalkannya.
Mereka akhirnya pergi ke rumah Kak Limah dan mendapati mayat Kak Limah sudah mereput. Berlaku banyak peristiwa seram dan kelakar ketika mereka mahu menghalau hantu Kak Limah termasuk memanggil bomoh Siam.
5. Rock
Mamat Khalid kali ini membawakan era rock di Malaysia pada era 80-an.
Ianya adalah filem yang berkisarkan flash back oleh Zack selepas dia membaca sepucuk surat kepada Rimba Bara, kumpulan Rock yang pernah dianggotainya dahulu.
Zack sekarang bekerja di pejabat Pos kerana dia memikirkan bahawa isterinya tidak merestui cita citanya untuk berkarier dalam arena rock.
Zack kemudian teringat kenangan beliau ketika membentuk Rimba Bara 15 tahun lalu. Di mana Zack merupakan gitaris utama, Jijo (Khir Rahman) – bass, Black – pemain dram, dan juga Amy (Que Haidar) – vokalis yang suam suam kuku namun bersemangat tinggi.
Rimba Bara mahu memenangi pertandingan acara Battle of The Bands dan melalui banyak cabaran. Mereka menguatkan lagi band mereka dengan membawa masuk bekas vokalis Malaikat Maut iaitu Zul Kapan (Sofi Jikan).
Filem ini sangat nostalgia kepada mat rock era 80-an. Mamat Khalid menyusun cantik latar tempat, masa dan karakter serta cara pemakaian semua watak. Ini termasuk sluar PVC, kasut Aliph dan banyak lagi.
Persahabatan di kalangan ahli Rimba Bara memang utuh walaupun mereka kemudian membawa haluan masing masing.
6. 16 Puasa
Satu lagi naskah yang sarat dengan kritikan sosial disampaikan dengan cara sangat santai dan kelakar.
Setiap watak memainkan peranan sangat penting dalam drama ini. Mengisahkan sekumpulan penduduk kampung yang suka ponteng puasa. Dibarisi ramai pelakon berbakat termasuk Bell Ngasri, Sabri Yunus, Rab Khalid, Aziz M Osman dan ramai lagi.
Mereka cuba sedaya upaya untuk mengelak puasa dan ada tugasan masing masing untuk menyediakan makanan pada siang hari.
Plastik hitam antara elemen paling penting dalam kumpulan mereka.
Banyak dialog yang menarik dan mencuit hati termasuk Yak Yak Yeay!
7. Hantu Kak Limah
Filem ini juga dipanggil Hantu Kak Limah 3. Mengisahkan kejadian yang menimpa Kak Limah. Di mana Kak Limah sudah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di kampung mereka.
Namun konflik berlaku apabila ada yang melihat Kak Limah masih hidup.
Filem ini banyak digerakkan oleh arwah Rab Khalid yang membawa watak Yeh Sekupang.
Kampung Pisang kemudian sekali lagi panik kerana gangguan Hantu Kak Limah.
Mereka mencari cara untuk menyelesaikan misteri Kak Limah ini. Dan pelbagai peristiwa seram, aneh dan kelakar berlaku sepanjang jalan.
8. Rock Oo: Rimba Bara Kembali
Plot cerita ini berdasarkan kehidupan kugiran Rimba Bara setelah Zack (Hasnul Rahmat) mengambil keputusan untuk berundur dari kumpulan tersebut.
Amy Mat Piah (Que Haidar) meratapi hari-harinya selepas dibuang dari kumpulan Rimba Bara.
Namun Amy bertekad mahu menhidupkan semula Rimba Bara selepas kumpulan itu kehilangan vokalis, Zul Kapan yang kembali ke pangkuan Malaikat Maut.
Amy akhirnya berjaya meyakinkan Jijoe untuk membentu semula Rimba Bara. Mereka akhirnya mendapat gitaris utama menggantikan Zack iaitu Slash. Zul Kapan akhirnya kembali semula bersama mereka.
Selepas banyak suka duka dilalui, akhirnya Rimba Bara berjaya menikmati kemuncak kejayaan mereka apabila album sulung mereka terjual sebanyak 80,000 unit dan memenangi Anugerah Juara Lagu 1989.
Selepas itu Rimba Bara seperti kumpulan Rock lain berdepan dengan banyak cabaran. Banyak peristiwa yang tidak diingini berlaku membuatkan masyarakat dan pemimpin mulai memandang serong muzik rock.
Ini termasuk isu rambut panjang yang mulai menjadi perbahasan pada 1990-an,kumpulan Rimba Bara telah menghadiri majlis potongan rambut bersama Menteri Penerangan ketika itu dan ianya menjadi babak terakhir perjuangan rock mereka.
Itu antara 8 naskah Mamat Khalid yang sangat popular. Banyak lagi naskah lain yang sempoi daripada arwah Mamat Khalid termasuk, Rock Ooo, Rock 4: Rockers Never Dai, Manap Karaoke, Lang Buana, Kala Malam Bulan Mengambang, Estet, 18 Puasa Di Kampung Pisang dan banyak lagi.
Terima kasih Mamat Khalid kerana menghiburkan kami dengan naskah naskah anda. Menjadi peneman kami di kala sunyi. Menjadi naskah untuk kami nikmati bersama keluarga dan rakan rakan untuk bergelak ketawa bersama sama.
Dalam semua drama atau filem arahannya, Mamat Khalid dikenali dengan suntikan elemen semangat Malaysia di dalamnya. Tak kira dari segi latar masyarakat, tempat, dan sebagainya. Seterusnya, Mamat Khalid seorang yang gemar mengketengahkan suasana kampung yang membuatkan filemnya sangat dekat di hati masyarakat.
Selamat tinggal selamanya legenda!
Jangan lupa nyatakan apa karya Mamat Khalid paling anda suka.