9 Tahun Penuh Magis Isco Di Bernabeu Berakhir

Selepas menjulang trofi kelima Liga Juara-Juara bersama Real Madrid, Isco Alarcon telah mengumumkan bahawa dia tidak lagi bersama pasukan musim depan.

Beberapa musim lepas, Isco adalah tonggak kepada pasukan Real Madrid.

Musim ini dia sangat jarang digunakan, bergelut dengan masalah kecederaan dan kecergasan yang membantut prestasinya di atas padang.

Secara keseluruhan, Isco tampil dalam 17 perlawanan secara keseluruhan musim ini, hanya 3 kali memulakan perlawanan, selebihnya beraksi sebagai pemain gantian.

Suatu ketika dahulu, inilah pemain yang dicanang-canang sebagai masa depan bola sepak Sepanyol.

Sebelum menyertai Real Madrid, dia adalah pemain yang menjadi watak penting ketika era Pellegrini di Malaga.

Isco ada magisnya yang tersendiri dengan kreativiti dan bahasa badan cuma potensinya terhenti terlalu awal dari yang sepatutnya.

Antara masalah lain yang membuatkan Isco gagal mendapat tempat dalam skuad Real Madrid juga disebabkan oleh sistem pasukan itu juga.

Sistem yang dimainkan Real Madrid tidak menepati ciri-ciri yang ada dalam pemain ini. Isco bagus sebagai seorang pemain no. 10 dan menjadi pusat kreativiti pasukan.

Real Madrid tidak menggunakan peranan ini di bahagian tengah, dengan pasukan lebih cenderung kepada pemain tengah yang energetik dan boleh melakukan banyak kerja.

Zaman kemuncak Isco mungkin ketika era pertama Zidane di sana, dengan formasi 4-3-1-2, berperanan sebagai no. 10 di hadapan trio Kroos-Modric-Casemiro, menjadi penghubung kepada Ronaldo dan Benzema.

Masih belum ada tanda jelas hala tuju ke mana Isco akan berpindah selepas ini. Ada laporan menyebut Manuel Pellegrini berminat untuk membawanya menyertai Real Betis musim depan.

Statistik sejak menyertai kelab pada tahun 2013:

4X FIFA club world cup
5X UCL
3X LaLiga
3X UEFA Supercup
3X Spanish cup
1X Copa del Rey
353 Apps
53 Goals
56 Assists

9 tahun di Santiago Bernabeu dengan 19 piala yang dimenangi. Tempoh yang boleh dikira sebagai satu kejayaan besar untuk seorang pemain.