TERKINI: Agong Lantik Tun Mahathir Sebagai Perdana Menteri Interim

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menerima peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Ini selepas Tun Dr Mahathir menyerahkan surat peletakan jawatannya pada jam 1 petang hari ini.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) telah mengesahkan Dr Mahathir Mohamad telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai perdana menteri pada hari ini.

Dalam satu kenyataan media oleh PMO, ianya bertulis: “Surat tersebut telah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong pada jam 1 tengahari.”

Ketika ini, para pemimpin kanan parti BERSATU sedang dalam perjalanan untuk berkumpul di kediaman Mahathir di Seri Kembangan, Selangor.

Sebelum itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah mengesahkan bahawa kesemua ahli Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) sebulat suara untuk keluar dari Pakatan Harapan.

Agong terima surat perletakan jawatan

Raja menerima peletakan jawatan Dr Mahathir dan telah diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan pada petang ini.

Berikut adalah kenyataan tersebut: “Adalah dimaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah berkenan menerima peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri Malaysia.”

“Walau bagaimanapun, baginda telah berkenan untuk melantik beliau sebagai perdana menteri interim, sementara menunggu pelantikan perdana menteri yang baru.

“Justeru dalam tempoh ini, beliau akan menguruskan pentadbiran negara sehingga perdana menteri baru dilantik dan kabinet dibentuk,” kata Mohd Zuki menerusi satu kenyataan beliau pada petang tadi.

Hari ini, Tun Mahathir telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia dan juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

 

Baca yang lain

Bayern Sedia Lantik Semula Nagelsmann

Bayern Munich dilaporkan mempertimbangkan untuk membawa pulang Julian Nagelsmann dan pembantunya, Sandro Wagner ke kelab itu menggantikan Thomas Tuchel. Nagelsmann pernah menjadi