Tugu Zlatan Dirosakkan Ultras Malmo

Hari ini sepatutnya menjadi hari yang gemmmbirraaaaa (baca nada Safiq Rahim untuk lebih feel), buat Zlatan Ibrahimovic.

Ini kerana beliau berkemungkinan akan melakukan debut kedua bersama AC Milan.

Namun, harinya agak rosak sedikit kerana mendengar perkhabaran bahawa tugunya telah divandalisme.

Tugu Zlatan dirosakkan dengan kakinya dipotong dengan gergaji oleh ultras Malmo yang geram dan marah.

Ini bukan pertama kali tugu ini cuba dirosakkan. Sebelum ini ada yang telah merosakkan bahagian hidung pada tugu Zlatan.

Kerosakan itu diketahui oleh pengawal keselamatan pada pukul 3.30 pagi, Ahad. Di sana juga tertulis satu grafiti dengan ayat: “Alihkan benda ni.”

Mereka tidak mahu tugu Zlatan Ibrahimovic itu berada di hadapan stadium Malmo lagi.

Zlatan Ibrahimovic melakukan debut bersama Malmo, 20 tahun yang lalu. Dan beliau seringkali dicanang sebagai berdarah Malmo sejati.

Selain daripada kerosakan pecah pada tugu, bahagian kepala Zlatan juga dibalut dengan badge Sweden.

Jurucakap Majlis Bandaraya Malmo, Bahagian Sukan dan Rekreasi memberitahu BBC bahawa tugu itu terpaksa dialihkan sementara untuk diperbaiki.

Beliau mengesahkan bahawa, pihak berkuasa tempatan akan meletakkan kembali tugu itu di tempat yang sama. Mereka tak akan tunduk dengan ugutan.

Timbalan Datuk Bandar Malmo,  Frida Trollmyr menyatakan beliau faham peminat / ultras marah dengan Zlatan. Namun vandalisme adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

Frida berkata kepada AFP: “Saya faham ramai orang di sini yang marah dan kecewa terhadap Zlatan. Namun melakukan vandalisme ke atas tugu itu adalah perbuatan yang tidak bertanggungawab.”

“Adalah lebih baik, meluahkan ketidakpuasan hati dengan cara demokrasi,” tambah beliau lagi.

Tugu setinggi 3.5 meter itu diperbuat daripada gangsa. Namun ianya telah disembur dengan cat dan turut dibakar .

Ada juga yang meletakkan pelapik tempat duduk tandas pada bahagian lengan Zlatan.

Kenapa peminat Malmo sangat marah dengan Zlatan Ibrahimovic?

Segalanya bermula apabila Zlatan, baru-baru ini mengumumkan sudah membeli 25% kepentingan di kelab Hammarby.

Hammarby merupakan seteru utama Malmo. Mereka sangat kecewa dengan tindakan Zlatan. Korang bayangkanlah tetiba Lionel Messi melabur dekat Real Madrid.

Tugu itu diperkenalkan kepada umum pada Oktober 2019 yang lalu. Dan beberapa percubaan merosakkannya sudah dilakukan sejak Disember, sebaik sahaja pengumuman Zlatan itu.

Malah rumah Zlatan Ibrahimovic di Stockholm turut divandalisme dengan spray cat bertulis Judas di pintunya.

Artis yang membuat tugu Zlatan Ibrahimovic, iaitu Peter Linde, merayu kepada para peminat Malmo agar tidak merosakkan tugu itu.

Ini kerana menurut beliau, Zlatan Ibrahimovic tetap legenda Malmo dan Sweden. Tugu itu akan menjadi daya tarikan pelancong ke Malmo.

Zlatan Ibrahimovic merupakan pemain terbanyak memenangi anugerah permain  terbaik tahunan Sweden di dalam sejarah.

Beliau sudah bermain dengan banyak kelab besar termasuk Ajax, Inter Milan, Barcelona, AC Milan, PSG dan Man United.

Kini beliau menyertai semula AC Milan pada usia 38 tahun.

Baca yang lain