Young Sertai Inter

Ashley Young dilaporkan sudah bersetuju dengan terma peribadi ditawarkan oleh Inter Milan.

Dan Manchester United juga akhirnya bersetuju untuk menjual kapten mereka itu kepada Inter Milan hanya £1.3 juta.

Sebelum ini perjanjian Man United dan Inter agak rumit kerana Man United dilaporkan mahu meminta sekitar £8 juta untuk pemain yang hampir boleh pergi secara percuma itu.

Inter Milan awalnya diarahkan untuk menunggu Young sehingga kontrak pemain itu tamat jika enggan membayar angka itu.

Antonio Conte ternyata sangat perlukan pemain itu untuk memperkuatkan lagi pasukan beliau.

Namun Young sudah berjumpa dengan hierarki Old Trafford menyatakan hasrat beliau mahu bermain di Inter Milan setelah 8 tahun menabur bakti di Old Trafford.

Fabrizio Romano melaporkan bahawa Ashley Young akan menjalani ujian medikal pada hari ini, Jumaat.

Ashley Young merupakan rekrut daripada Sir Alex Ferguson. Dan beliau merupakan antara pemain terakhir yang bermain dalam generasi Man United yang menjuarai EPL terakhir mereka.

Di bawah kendalian Ole Gunnar Solkjaer, Ashley Young diberikan tanggungjawab sebagai kapten utama pasukan Man United selepas pemergian Antonio Valencia.

Beliau kerap menjadi pemain pilihan utama Jose Mourinho pada musim sebelum ini. Hal ini kerana Young dianggap pemain yang profesional dan sentiasa memberikan komitmen terbaik di atas padang.

Beliau merupakan pemain yang ditukarkan posisi dari pemain sayap menyerang kepada posisi bek sisi.

Young boleh bermain bek sisi di kedua-dua belah bahagian, kiri ataupun kanan.

Antonio Conte mahukan Ashley Young kerana pemain itu boleh bermain di posisi wingback dalam sistem back 3 beliau. Seperti mana peranan Victor Moses ketika Conte menguruskan Chelsea dahulu.

Young memiliki kualiti hantaran lintang yang dilihat oleh Conte sebagai aset penting bagi memberikan servis kepada target man seperti Romelu Lukaku.

Inter Milan kini dalam landasan persaingan dengan Juventus untuk perebutan kejuaraan Serie A.

Antonio Conte menggunakan peluang untuk memperkuatkan lagi pasukan beliau pada Januari ini.

Ashley Young sudah berusia 34 tahun. Dan Conte melihat Young sebagai opsyen jangka pendek yang terbaik untuk Milan.

Ini kerana status kontraknya di Man United yang berbaki enam bulan. Young sebelum ini dilanjutkan kontrak oleh Ole Gunnar Solskjaer, setahun lagi selepas Ole gagal mendapatkan lebih banyak pemain untuk dijadikan back up di posisi bek sisi.

Dengan kemasukan Young ke dalam pasukan Inter Milan, beliau menjadi pemain ketiga dari Manchester United direkrut oleh Inter Milan.

Ini selepas Romelu Lukaku, dan juga perjanjian pinjaman pemain melibatkan Alexis Sanchez. Dah macam feeder club untuk Inter pula Man United ini jadinya.

Selain daripada Ashley Young, Conte juga sedang berusaha untuk mendapatkan Olivier Giroud dari Chelsea.

Pemain itu sudah diberikan pelepasan khas oleh Chelsea untuk berbincang dengan Inter Milan.

Frank Lampard sebelum ini sudah mengesahkan Olivier Giroud diberikan pelepasan untuk membincangkan masa depan beliau dengan kelab lain. Namun Lampard tak terang-terang menyatakan ia adalah Inter.

Lampard juga memuji profesionalisme yang ada pada Olivier Giroud. Sambil beliau menyatakan, pintu Chelsea sentiasa terbuka buat Giroud jika pemain itu gagal memeterai perjanjian dengan pasukan lain.

Kerana menurut Lampard, selagi-lagi Giroud tak rasmi menjadi milik pasukan lain, itu bermakna Giroud masih pemain Chelsea.

Lain macam perpindahan Inter kali ini. Memang berpusat dekat EPL sahaja calon yang dicari oleh Conte.

Namun mampukah Inter Milan menamatkan dominasi Juventus dalam Serie A?

Baca yang lain