Filem yang secara peribadinya saya letakkan dalam rate agak tinggi di antara filem Korea. Rotten Tomato pun letakkan rate 96%.
Kita tahu Korea Selatan ni banyak naskah filem yang sangat bagus walau apa sahaja genrenya.
Tak kisah ke kau minat Kpop ke tak, tetap ramai bukan peminat Kpop yang merupakan peminat Kmovies mahupun Kdrama.
Berbalik kepada filem A Taxi Driver ini, Filem ini ditonton lebih 12 juta penonton dan dicalonkan dalam Anugerah Academy Award untuk kategori Filem Asing Terbaik. Filem ini memenangi pelbagai anugerah.
Filem ini menemui peminat di layar perak pada Ogos 2017.
Ianya adalah berdasarkan kisah benar tentang seorang pemandu teksi yang hidup pada era 80-an di Korea Selatan.
Kisah Pemandu Teksi Biasa
Ia adalah satu filem yang akan menyentuh hati kerana Kim Man Seob (lakonan Song Kang Ho) seorang ayah tunggal yang membesarkan puterinya.
Berlatarkan era 80-an di mana para mahasiswa bangkit menentang pemerintahan tentera. Banyak sekali protes dan tunjuk perasaan dilakukan di Korea Selatan pada ketika itu.
Saya sangat kagum dengan produksi filem ini dalam memperincikan latar masa dan tempat filem ini.
Tahun 80-an dipaparkan dengan sebaik mungkin. Daripada benda besar, latar bangunan sehinggalah ke benda paling kecil seperti pinggan mangkuk dan sebagainya.
Selepas itu, pemilihan perspektif sudut pandangan dari kaca mata seorang pemandu teksi tentang peristiwa besar dalam sejarah Korea Selatan juga sangat menarik.
Kim Man Seob adalah pemandu teksi di Seoul yang berhadapan dengan masalah kewangan. Beliau perlu mencari wang untuk bayar rumah sewanya.
Dia ada anak perempuan berusia 11 tahun. Namun kecilnya sudah sangat pandai berdikari dan boleh memasak untuk mereka berdua. Isterinya sudah lama meninggal dunia.
Kim Man Seob sangat tak suka dengan mahasiswa yang pergi ke jalanraya dan tunjuk perasaan ini. Perkara yang selalu meroyan sendirian menyuruh bebudak ni pergi ke Arab.
Kerana menurutnya, apabila berada di sana, baru mereka tahu negara mereka itu sangat baik.
Itu pandangan Kim yang belum ada empati dari sudut yang sebelah lagi. Beliau tidak kisah akan pandangan dan tak nak tahu langsung, apa benda yang ‘budak-budak’ ni nak perjuangkan.
Di matanya, setiap siri demonstrasi itu adalah menyusahkan hidup orang sepertinya. Namun dia terpaksa hadap.
Dia sangat benci dengan pelajar universiti yang sibuk dengan tunjuk perasaan. Sebab lainnya pula adalah, rapat umum seperti itu akan membuatkan pendapatan mereka pemandu teksi terjejas.
Kisah Kim Man Seob Menyailang Penumpang Yang ‘Salah’
Pada satu hari, hidup dia akan berubah sebaik sahaja dia ‘hijack’ penumpang teksi lain. Kim adalah seorang ayah yang sedang tersepit.
Dia terpaksa mengambil apa sahaja peluang di hadapan matanya. Dia ingatkan penumpang beliau kali ni adalah penumpang biasa.
Namun beliau silap. Itu ialah Jerman, Jurgen Hinzpeter / Peter (Lakonan Thomas Kretschmann). Seorang wartawan yang sudah lama bertugas di Jepun.
Peter mahu menyeludup masuk ke wilayah yang sedang dalam darurat iaitu Gwangju.
Masalahnya, orang Korea Selatan sendiri ramai yang tidak tahu keadaan sebenar di sana kerana media ditapis, berita tv berat sebelah. Ini termasuk Kim.
Kim mengambil sahaja tugasan itu tanpa tahupun apa yang telah diminta penumpang kepada pemandu teksi yang asal tadi.
Ini kerana Kim mahu membayar tunggakan sewa rumahnya yang sudah mencecah 100,000 won.
Tugasannya adalah, menghantar Peter ke Gwangju dan kemudian kembali semula ke Seoul untuk ke lapangan terbang. Tugasan biasa seorang pemandu teksi.
Ketika sedang menuju masuk ke Gwangju dia terkejut, semua jalan masuk ditutup.
Kim mendapat tahu tadi rupa-rupanya Peter merupakan seorang wartawan. Pada saat itu dia tahu mereka dalam masalah jika kena tangkap ini kerana, kerajaan melarang sebarang liputan dari Gwangju termasuk pengamal media tempatan.
Bukan senang nak masuk ke sana. Namun Kim sentiasa berpegang kepada prinsip: “Seorang pemandu perlu memastikan penumpang mereka sampai ke destinasi”
Itu adalah prinsip hidup beliau. Setelah tiba di Gwangju, Kim melihat bandar itu sedang rosak teruk. Para pelajar menjadi antara yang paling di hadapan dalam protes ke atas junta tentera.
Mereka menuntut demokrasi.
Kim dan Jurgen sangat sukar berkomunikasi. Kerana Kim tidak pandai berbahasa Inggeris. Banyak juga babak lucu ketika mereka cuba berkomunikasi.
Humor seperti ini adalah perkara yang biasa kita tengok dalam filem Korea Selatan, bagi meredakan sedikit emosi.
Kim Melihat Realiti Gwangju
Jurgen Hinzpeter merakamkan setiap kejadian dan temu ramah secara senyap dan mengelak kantoi dengan tentera serta polis.
Anda bayangkan, ketika itu mana ada kamera saiz poket ataupun saiz kecil boleh klip kat badan. Itupun satu hal nak sembunyikannya.
Kim kemudian mendapatkan jawapan kenapa orang di sana berjuang. Kenapa seorang pelajar universiti sanggup keluar daripada zon selesa dan turun ke jalanan. Kenapa mak cik, pak cik, atuk, dan nenek pun nak ikut sekali dalam tunjuk perasaan, dan merestui anak remaja mereka?
Kim akhirnya semakin berkonflik dalaman dan dia memutuskan untuk pulang ke rumahnya. Meninggalkan Jurgen. Ini semua kerana janjinya kepada anaknya. Selepas itu, dia sudah terlalu lama membiarkan anaknya bersendirian di rumah.
Kim keluar daripada Gwangju dan makan di satu kedai. Di sana dia mendengar orang bercerita tentang sikap pelajar yang samseng dan menyerang tentera menyebabkan ramai tentera cedera.
Ia sangat berbeza dengan apa yang Kim saksikan sendiri di mana, para pelajar dan orang awam dipukul, ditembak, diterajang. diseret dan dibunuh, tak kira lelaki dan perempuan.
Kim ada satu rasa sentimental dengan orang Gwangju yang murah senyuman dan sangat baik dengan dia.
Kim sekali lagi berkonflik dalaman dengan dirinya sendiri. Mana keutamaannya kini? Peranan beliau sebagai ayah?
Ataupun peranannya sebagai seorang pemandu teksi yang baru sahaja meninggalkan salah seorang penumpang yang boleh memberikan harapan kepada rakyat Gwangju.
Filem Yang Sarat Dengan Mesej Dan Emosi
Filem ini mengketengahkan isu yang sangat besar iaitu kebangkitan sosio-politik di Korea Selatan.
Anda jangan risau. Walaupun filem ini menceritakan tentang konflik dan ketenangan politik, ianya disampaikan berdasarkan kacamata seorang pemandu teksi. Jadi anda akan senang nak faham.
Penonton akan terbuai dengan emosi ‘roller coaster’ apabila Kim dan Hinzpeter membawa anda bersama dalam ‘trip’ mereka.
Korang kena ikut mereka sekali. Kerana filem ini memang digerakkan berdasarkan watak Kim Man Seob.
Selain itu ia juga menyentuh isu tanggungjawab anda dalam pekerjaan. Jika anda wartawan, wartawan jenis apa diri anda itu? Jika anda pemandu teksi, anda jenis yang macamana?
Dari sudut kekeluargaan, anda akan mendapati, tiada orang lain yang anda lebih percayai akan menyokong anda, walau apa sahaja anda buat, selain daripada ahli keluarga sendiri.
Itulah keyakinan Kim kepada anaknya. Walaupun dia tahu dia sedang buat benda bodoh dilakukan seorang ayah ataupun sedang dalam dilema. Namun dia yakin anak kecilnya itu akan faham dan bertahan deminya.
Korang layan la filem ni. Disampaikan dengan cara sinematografi Korea Selatan. Pengakhiran dia sarat dengan nilai sentimental.