Adab Seorang Pelajar Dengan Guru, Lamine Yamal Bawa Sekali Kerja Rumah Ke Jerman Kerana Takut Dimarahi Gurunya

Lamine Yamal berharap cikgunya tidak marah kerana dia masih belum menghantar kerja rumah. Kerana dia membawa buku kerja rumah bersamanya di kem Sepanyol.

Lamine Yamal akan menjadi pemain paling muda beraksi dalam Euro 2024 kali ini. Dan berpotensi menjadi pemain paling muda untuk bermain sebagai kesebelasan utama dalam Euro untuk Sepanyol.

Dia juga dijangka tiada masalah untuk menjadi pemain paling muda pernah bermain dalam perlawanan Euro jika dia diturunkan.

Pada usianya baru 16 tahun, Lamine Yamal sama seperti pelajar lain, dia masih bersekolah. Dia juga bermain bola sepak. Jika pelajar lain mewakili sekolah dia pula mewakili negaranya dalam Euro 2024.

Namun itu bukan alasan untuk dia tidak mempedulikan kerja rumah atau pelajarannya. Dia mahu memastikan pelajarannya tidak diabaikan agar dia dapat habis sekolah seperti pelajar yang lain.

Sebelum ini Lamine Yamal membuat debut senior untuk Barcelona pada usianya baru 15 tahun musim lalu. Dia kemudian membangun menjadi pemain penting untuk Barcelona.

Pada September 2023, dia menerima panggilan skuad kebangsaan dan menjaringkan gol dalam debutnya menentang Georgia. Menjadikan dia pemain paling muda pernah menjaringkan gol untuk La Roja.

Yamal kini sudah ada 7 kaps kebangsaan dan dia menjadi pemain utama untuk skuad Luis de La Fuente dalam kempen Euro 2024 mereka di Jerman.

Bercakap tentang persiapannya untuk aksi pembukaan menentang Croatia pada Sabtu ini, Yamal yang akan berusia 17 tahun pada 13 Julai, menjelaskan bahawa fokusnya bukan semata mata dalam bola sepak.

Dia malah membawa sekali kerja rumah yang diberikan kepadanya untuk dia siapkan. Yamal berkata: “Saya bawa sekali kerja rumah saya ke sini, kerana saya sekarang dalam tahun ke-4 untuk ESO. Saya menghadiri kelas secara atas talian dan segalanya baik baik sahaja setakat ini.

“Saya berharap cikgu tak marah dengan saya [kerana lambat hantar kerja rumah atau kadangkala terpaksa terlepas kelas].”

ESO merujuk kepada pendidikan tahap 3 di dalam sistem persekolahan di Sepanyol yang diwajibkan kepada pelajar berusia 12 sehingga 16 tahun.

Ramai peminat mengucapkan selamat maju jaya kepada Yamal. Kerana menurut mereka, bukan mudah untuk menggabungkan sekolah dan bola sepak profesional.

“Bersekolah pada masa yang sama bermain bola sepak profesional sangat sukar, harus tabik hormat kepada budak ini,” tegas seorang peminat.

Yang lain berkata, Lamine Yamal membuktikan dia manusia yang penuh adab dengan guru kerana masih menganggap kerja rumah itu satu tanggungjawab dan masih takut dimarahi gurunya, tanda dia sentiasa sedar bahawa dia adalah murid yang harus menghormati gurunya.

Mereka juga mengusik: “Kalau saya cikgu dia, saya akan letak syarat, dia harus bawak balik trofi Euro untuk elak hukuman.”

Di atas padang, Yamal mewakili Sepanyol selepas satu lagi musim cemerlang dan produktif bersama Barcelona. Mencetak 5 gol dan mencipta 8 assist. Dia menjadi pemain regular dalam skuad Xavi Hernandez.

De La Fuente sebelum ini memuji Yamal sebagai bakat yang berpotensi besar. Dia berkata: “Pemain seperti ini adalah baka istimewa. Ianya benda luar biasa untuk budak berusia 16 tahun memiliki keyakinan luar biasa sepertinya. Cara dia bermain seperti pemain sudah veteran. Hanya insan terpilih [The Chosen One] sahaja yang seperti ini.

“Saya tidak terkejut dengan bakat mereka (Yamal, Cubarsi dan Nico Williams) dengan potensi mereka ada. Dan saya rasa, kita sebagai jurulatih harus memberikan mereka peluang, keseimbangan, perlindungan dan kestabilan untuk membantu mereka menikmati momen.

Sepanyol diletakkan dalam kumpulan maut kumpulan B bersama sama dengan Croatia, Itali dan Albania. Sepanyol mahu menebus kegagalan mereka pada Piala Dunia 2022 yang lalu, di mana mereka tersingkir daripada peringkat kumpulan.