Adakah Satu Malaysia Termasuk PM Dan Indonesia, Dikencing Pelajar Klaim Dapat Biasiswa NASA Ini?

Kelmarin seorang pelajar bernama Azhar menerusi akaun Twitter beliau memuat naik status bersyukur tak terhingga. Ini kerana dia tidak menyangka akan mendapat tawaran biasiswa itu sebagai ganjaran selepas menyertai cabaran reka bentuk sut angkasa lepas bagi misi Artemis pada 2024.

Daripada lebih tiga juta orang peserta yang mereka cipta sut angkasa untuk program Artemis itu, rekaan beliau dilaporkan memperoleh markah setinggi 96.77 peratus dengan kriteria yang merangkumi aspek kos, ujian lapangan serta logik serta konsisten.

Awani melabel Azhar sebagai bijak dan berbakat.

24 jam selepas tweet Azhar itu, terdapat lebih 22,500 perkongsian (retweet) dan lebih 34,400 tanda suka, selain turut dihujani dengan ucapan tahniah dari rakyat Malaysia termasuk oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Selain daripada KJ, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin pun ucap tahniah kepada Azhar.

KJ turut menjemput Azhar untuk ke MOSTI dan Agensi Angkasa Negara untuk memberikan motivasi kepada saintis muda.

“Tahniah! Saya dengan sukacitanya mahu menjemput anda ke MOSTI dan Agensi Angkasa Negara dalam masa terdekat untuk tengok macam mana kita boleh galakkan saintis muda kita mendapat biasiswa berprestij.”

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Fayhsal turut turut mengucapkan ucapan tahniah kepada Azhar. Beliau menganggap Azhar sebagai role model kepada belia di Malaysia.

“Tahniah saudara. Kami berbangga dengan kejayaan saudara – dan berharap saudara boleh menjadi ‘role model’ kepada belia Malaysia yang lain. Salam Ramadan al-Mubarak!”

Azhar Ali menjadi bualan di kalangan ibu bapa yang mahu anak mereka membaca kisah kejayannya dan menjadikannya sumber inspirasi.

Bukan itu sahaja, berita gembira dan luar biasa itu turut dikongsi media Indonesia yang tumpang berbangga.

Adakah Azhar Ali scam?

Namun ada berita yang kurang enak apabila Azhar dituduh mengencing seluruh rakyat Malaysia dan segelintir rakyat Indonesia.

Ini gara-gara Azhar mulai meletakkan akaun twitternya sebagai peribadi selepas beberapa warganet mempersoalkan kesahihan informasi dia berikan.

Azhar sebelum ini mengklaim dia berjaya mendapat “Super Distinction score” sebanyak 96.77 untuk Spacesuit Interface Efficiency Level. Ia memang markah yang sangat tinggi.

 

Seterusnya, ada warganet bertanya, bukankah peserta program tersebut hendaklah berstatus warganegara Amerika Syarikat dan penduduk tetap?

Ada juga yang mencari nama Azhar Ali di laman web Nasa dan mendapati tiada namanya. Yang mereka jumpa hanyalah warga Amerika.

Malah ada yang mendapati NASA melakukan kesilapan tatabahasa di dalam satu tangkap layar dikongsi oleh Azhar.

Malah ada yang meminta Azhar Ali berkongsi gambarnya di NASA. Takkan tak ada langsung.

Buat masa ini Azhar Ali masih belum membuat penafian di atas tuduhan netizen bahawa dia sedang mengencing semua orang yang ada.

Team Soyacincau sudah menghubungi Azhar Ali menerusi Twitter untuk penjelasan namun tidak ada lagi jawapan buat masa ini.

Sama sama kita nantikan komen daripada Azhar Ali untuk menjawab segala persoalan ini.

Buat masa ini Azhar Ali cuma menyatakan dia masih belum mendapat sijil rasmi dari NASA dan berjanji akan mempamerkannya kelak apabila sudah mendapatnya.

Jadi segalanya kekal spekulasi la buat masa ini. Dan harap ini bukan satu kencing.