Adam Adli Umum Hentikan Program Naturalisasi Peringkat Kebangsaan

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli mengumumkan bahawa program naturalisasi di peringkat kebangsaan untuk Harimau Malaya akan dihentikan sementara.

Ini sebagai langkah untuk membangunkan bola sepak secara holistik dan pembangunan pemain tempatan anak jati Malaysia.

Kementerian Belia dan Sukan telah mengadakan kerjasama dengan FAM sejak 2014 dalam usaha membangunkan pemain akar umbi sehingga ke peringkat B-17.

Program tersebut dianggap jangka panjang dan strategik dalam usaha Malaysia mahu bermain di Piala Asia dan Piala Dunia.

Dipetik daripada akhbar Sinar Harian, Adam Adli berkata:

“Program ini merupakan pelan strategik jangka panjang yang telah menggariskan sembilan inisiatif bagi menghasilkan generasi baharu pemain yang boleh bersaing bukan hanya di peringkat Asia malah ke Piala Dunia.”

Beliau mendedahkan bahawa menerusi program itu, kini sudah ada 63 Akademi Tunas dan 63 pusat latihan di peringkat daerah, 14 pusat sukan negeri dan sebuah sekolah sukan di peringkat kebangsaan.

Dan hasilnya, sehingga kini ada 16,228 pemain pembangunan yang berada dalam program tersebut melibatkan 767 jurulatih berkaliber.

Jadi sudah tiba masanya untuk memfokuskan hala tuju pemain pemain daripada saluran pembangunan ini dan menghentikan sementara program naturalisasi pemain di peringkat kebangsaan.

Namun begitu, Adam Adli menyatakan bahawa di peringkat liga Malaysia, ianya tertakluk di bawah bidang kuasa MFL dan mereka masih boleh meneruskan program naturalisasi mengikut garis panduan dan peraturan yang sudah ditetapkan kerajaan.

Bercakap tentang skuad Malaysia yang bermain di Piala Asia Doha baru baru ini, hanya 4 sahaja pemain naturalisasi sementara itu 7 lagi adalah pemain warisan atau kacukan – ada pertalian darah dengan Malaysia.

Baca yang lain