Adidas Beri Harapan Palsu Rupanya, FIFA Sahkan Chile Gagal ‘Rembat’ Slot Ecuador

Usaha Chile untuk mengambil tempat Ecuador dalam Piala Dunia 2022 yang akan datang dilaporkan menemui jalan buntu.

Ini selepas FIFA mendapati hujah Chile sebagai tidak kukuh.

Chile sangat yakin bahawa mereka akan mendapat tempat ke Piala Dunia. Penyokong mereka menjadi lebih teruja apabila Adidas memuat naik kempen iklan Chile dengan bola rasmi Piala Dunia.

Mereka menganggap ianya adalah petanda bahawa Adidas sudah dimaklumkan bahawa Chile benar benar mendapat tempat ke Piala Dunia.

Namun ternyata ianya cuma harapan palsu semata mata.

Panel disiplin FIFA telah menolak dakwaan bahawa Ecuador telah menurunkan pemain yang tidak layak dalam beberapa perlawanan kelayakan.

Kes itu melibatkan pertahanan Byron Castillo, yang dipertikaikan Chile bukan sahaja dilahirkan di Colombia tetapi juga tiga tahun lebih tua daripada yang dinyatakan pada dokumen yang digunakan untuk mengenal pasti dia sebagai warga Ecuador.

Persekutuan bola sepak Chile mengeluarkan dokumen pendaftaran, termasuk sijil kelahiran, yang dikatakan menyokong tuntutan dan bantahan mereka.

Di bawah peraturan badan induk, FIFA, meletakkan pemain yang tidak layak boleh mengakibatkan sesebuah pasukan kalah dalam mana-mana perlawanan yang mana pemain yang tidak layak mengambil bahagian.

Ecuador menduduki tempat keempat dalam pertandingan kelayakan benua itu, merebut satu daripada empat tempat automatik Amerika Selatan dalam Piala Dunia.

Tetapi Chile telah menuntut Ecuador seharusnya dihukum kalah lapan perlawanan kelayakan di mana Castillo bermain, dan lawannya dalam perlawanan tersebut diberikan tiga mata setiap perlawanan.

Dengan itu, pegawai Chile telah mengira, akan menyusun semula keputusan kelayakan di Amerika Selatan dan mengangkat Chile ke Piala Dunia mengatasi Ecuador.

FIFA berkata pegawainya telah menganalisis penghujahan daripada semua pihak yang terlibat dalam kes itu – yang turut melibatkan Peru, yang akan bersaing dalam playoff antara benua minggu depan untuk tempatnya sendiri di Qatar – sebelum membuat kesimpulan bahawa Ecuador tidak mempunyai kesalaha untuk disiasat lagi.

Chile berkata mereka akan merayu keputusan itu.

“Kami kecewa dengan keputusan itu,” kata Eduardo Carlezzo, seorang peguam yang mewakili persekutuan Chile.

“Jumlah bukti adalah banyak, kedua-duanya dari Colombia dan Ecuador, membuktikan tanpa sebarang keraguan munasabah bahawa pemain itu dilahirkan di Colombia. Oleh itu, kami akan merayu dan kami berharap bukti itu akan dipertimbangkan sepenuhnya.”

Persekutuan bola sepak Ecuador mengeluarkan kenyataan selepas Chile memfailkan tuntutannya pada Mei di mana ia menolak apa yang dipanggil “khabar angin palsu” mengenai Castillo, yang dikatakan warga Ecuador dari segi undang-undang dan sukan.

Mereka menuduh Chile sebagai tak boleh menerima kekalahan dan kegagalan mereka pada kempen kelayakan kali ini.

Selain Chile, Itali juga dilaporkan cuba mengintai peluang untuk mendapatkan slot ke Piala Dunia jika Ecuador ditendang keluar.

Itali sedia menuntut tempat selaku pasukan paling tinggi ranking dunia dari kalangan pasukan yang gagal mara ke Piala Dunia 2022.