Adrian Mutu Mahu Gunakan ‘Pengalamannya’ Sebagai Panduan Pemain Muda

Selepas Roman Avramovic membeli Chelsea pada Jun 2003, pasukan ini membawa masuk tidak kurang dari 10 pemain baru bagi mengukuhkan pasukannya.

Adrian Mutu merupakan salah seorang daripadanya.

Dia bersama Damien Duff, Juan Sebastian Veron, Hernan Crespo dan Claude Makelele menjadi pemain yang dibeli dengan harga mahal pada ketika itu.

 

Tidak dinafikan Chelsea berubah sepenuhnya selepas taikun dari Rusia itu mengambil alih Chelsea.

Chelsea bertukar menjadi pasukan yang sentiasa menamatkan kempen liga di tangga pertama hingga ke-3 pada 7 tahun pertama dibawah pemilikkannya.

Bagaimanapun Mutu gagal menempatkan dirinya ketika kelab itu menjadi semakin kuat, dia gagal menjadi pengganti penjaring lagenda kelab, Jimmy Floyd Hasselbaink.

Didier Drogba dibeli pada musim berikutnya merampas tempat itu dan Mutu semakin dipinggirkan.

Kehadiran Mutu ke Liga Perdana juga melibatkan faktor Claudio Ranieri.

Pengurus dari Itali itu ingin menjadikan Mutu sebagai penyerang utamanya. Mutu juga mempunyai musim yang baik di Serie A sebelum tiba di London.

Bagaimanapun prestasi Mutu merosot ketika Chelsea sedang meningkat.

Kecergasan Mutu semakin teruk dibawah pengurusan Jose Mourinho dan lebih malang dia disahkan positif kokain.

Akibat dari peristiwa itu, Mutu digantung selama 7 bulan. Walaupun kembali menemui sentuhan bersama Fiorentina, dia sekali terjerumus dengan masalah dan digantung selama 9 bulan.

Kali ini Mutu disahkan positif mengambil Sibutramine, satu sebatian bahan kimia untuk kuruskan badan. Sibutramine merangsang otak dari berasa lapar dan mengurangkan selera makan.

Tapi pada hari ini Mutu telah menjadi orang baik.

Awal tahun ini dia dilantik menjadi ketua jurulatih pasukan Romania B-21 dan akan menjadi teladan kepada pemain muda negaranya.

“Saya rasa saya orang yang tepat kerana saya tahu apa yang berlaku apabila pemain mempunyai masalah dengan disiplin.”

“Saya telah melalui tempoh yang sukar dan saya kembali kuat.”

“Sekiranya salah seorang dari pemain saya melakukan kesalahan, saya akan beritahu mereka untuk belajar darinya dan tidak mengulanginya lagi.”

Mutu juga berkata setiap pemain yang melakukan kesilapan dalam karier masih mempunyai peluang jika dibantu dengan cara yang betul.

“Saya kembali dan bermain lebih baik dari sebelumnya, membuktikan kepada semua orang pemain muda yang telah melakukan kesalahan perlu dibantu bukannya dihukum dan rosakkannya.”

Kini Mutu sudah berusia 41 tahun bakal menyambung tugas memastikan Romania B-21 layak ke pusingan akhir Kejohanan Eropah.

Romania kini berada di tempat ke-2 belakang Denmark selepas 5 perlawanan dan mempunyai 5 lagi perlawanan kelayakan.

Sebelum kehadiran Mutu, Romania B-21 pernah menewaskan England B-21 yang dibarisi bintang muda dunia seperti James Maddison, Mason Mount, Phil Foden, Tammy Abraham dan Dominic Calvert-Lewin.

Mutu optimis dengan cita-citanya sebelum meraih penampilan pertama sebagai pengurus pasukan muda negaranya.

“Cita-cita saya sebagai jurulatih tidak boleh lebih rendah dari apa yang saya miliki sebagai pemain.”

“Saya ingin menjadi jurulatih, sekurang-kurangnya berada tahap yang sama ketika saya bermain.”

“Impian saya adalah mahu menjadi jurulatih pasukan kebangsaan Romania.”

Ketika Mutu berada di zaman puncak sebagai pemain, dia boleh dilabelkan sebagai salah seorang pemain terhebat dimiliki Romania.

Dia berkongsi rekod bersama George Hagi sebagai pemain paling menjaringkan gol untuk negara mereka. Masing-masing mempunyai 35 gol.

Mutu juga mempunyai 203 koleksi jaringan bersama kelab termasuk di England dan India.