AEW: Kerana Celupar, CM Punk ‘Pecah Muka’ Bergaduh Di Belakang Pentas Dan Digantung

CM Punk terus mendapat kritikan daripada dunia gusti. Ahli gusti itu telah menjadi berita berikutan tindakannya di acara bayar setiap tontonan All Elite Wrestling (AEW), All Out.

Punk bertukar daripada hero kepada zero dalam tempoh satu malam. Sebelum ini peminat AEW menganggap dia sebagai simbol era baharu AEW dalam menarik lebih ramai lagi penggusti profesional terutama sekali daripada WWE untuk menyertai mereka.

Namun kini, dia dianggap perosak. CM Punk digantung oleh AEW selepas pergaduhan di belakang pentas dengan Kenny Omega dan Young Bucks.

Penggusti kelahiran Chicago itu menentang Jon Moxley untuk Kejohanan Heavyweight AEW dalam acara utama. Selepas bertarung habis-habisan, Punk memenangi gelaran di hadapan penonton di tempat kelahirannya.

AEW kemudian menganjurkan sidang akhbar selepas acara itu, tetapi di situlah reputasi Punk telah musnah. Daripada menumpukan perhatian kepada kemenangan bersejarahnya, Punk sebaliknya memilih masa untuk mencerca rakan-rakan gusti AEW.

Punk tidak berselindung langsung dengan meledakkan bom-F serta kata kata kesat lain. Dia menghentam bintang seperti Adam Page, Kenny Omega dan Young Bucks. Dia memperlekehkan bintang bintang AEW itu di hadapan peminat.

Ramai peminat awalnya menganggap ianya sebahagian daripada skrip dan gimik untuk jalan cerita.

Namun sebenarnya, ianya di luar skrip. Selepas meroyan di hadapan wartawan, Punk pergi ke belakang pentas, di mana dia bersemuka dengan Young Bucks dan Omega.

Ketiga-tiga mereka, yang sebelum ini memenangi Gelaran Trios di bayar setiap tontonan, berdepan Punk dan mahukan penjelasan tentang apa yang dia katakan.

Trio itu kemudian terlibat dalam pergaduhan di belakang pentas melibatkan ahli gusti dan krew lain.

Apakah tindakan yang diambil terhadap mereka yang terlibat?

AEW memandang berat situasi CM Punk itu. Dan menyatakan bahawa mereka melayan kesemua bintang mereka sama rata walaupun Punk dianggap bintang elit.

Punk telah dilucutkan Gelaran Dunia Kelas Berat, manakala Omega dan Bucks telah dilucutkan Gelaran Trios.

Kesemua penggusti terbabit turut digantung tugas.

Bekas pengurus WWE Dutch Mantell telah berkongsi pendapatnya mengenai perkara itu dan percaya bahawa semua orang yang terlibat, termasuk Punk, sepatutnya dipecat, lapor TJRWrestling.

Punk telah cedera semasa pergaduhannya dengan Moxley dan menjalani pembedahan sepanjang minggu lepas. Dia akan diketepikan selama lapan bulan. Ketua Pegawai Eksekutif AEW Tony Khan masih belum mengesahkan sama ada Punk akan dipecat sepenuhnya, tetapi butiran lanjut dijangka akan dikeluarkan tidak lama lagi mengenai keadaan semua mereka yang terlibat.

Ramai menjangkakan bahawa CM Punk akan dipecat dan ditamatkan kontrak. Cuma pada masa ini, AEW perlu meneliti perkara itu dengan penasihat perundangan mereka.

Baca yang lain