[VIDEO] Afena Gyan Terharu Terima Kasut RM3,780 Seperti Dijanjikan Mourinho

Sebelum ini Jose Mourinho sudah berjanji kepada Felix Afena Gyan bahawa beliau akan membelikan pemain muda itu kasut idamannya yang bernilai EUR800 ataupun sekitar RM3,780.

Semalam saya tulis kasut bola. Sebenarnya silap sikit, kerana ianya hanyalah kasut sukan.

Pemain dari Ghana itu masuk sebagai pemain gantian lewat dalam aksi menentang Genoa. Kepercayaan Mourinho terbalas apabila Felix menjaringkan dua gol.

Ketika itu Mourinho memiliki pemain seperti Zaniolo di bangku simpanannya. Namun pengurus itu memutuskan untuk memasukkan Afena-Gyan.

Gol pertama adalah dari dalam kotak penalti. Manakala untuk gol kedua, Afena-Gyan mendapat bola beberapa meter di luar kawasan penalti Genoa, dan melepaskan rembatan roket yang melepasi gol Salvatore Sirigu yang tidak berdaya.

Mourinho berkata: “Saya dah berjanji saya akan membelikan dia sepasang kasut idamannya kalau dia bermain dengan baik. Sangat mahal, dalam 800 euros (RM3,780). Sebab itu dia berlari ke arah saya dan mengingatkan saya agar tidak lupa dengan janji saya.”

“Nampaknya saya kena pergi ke kedai lepas ni membeli kasut itu.”

Sebelum perlawanan Ahad lalu, penyerang tengah itu hanya membuat dua penampilan Serie A untuk pasukan senior Roma, sebelum ini dia memang penyerang yang prolifik dalam skuad remaja AS Roma.

Pemain itu segera mengucapkan terima kasih kepada pengurusnya selepas perlawanan Genoa, dengan bekas pengurus Spurs dan Man United menunjukkan kepercayaan yang tinggi dalam melakukan pertukaran yang memenangi perlawanan.

“Saya bersyukur kepada Tuhan atas peluang ini yang dia berikan kepada saya. Terima kasih kepada pasukan, jurulatih, peminat, rakan rakan atas sokongan mereka yang luar biasa. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Ibu, dia berada di Ghana, saya sayang kamu,” kata Gyan kepada DAZN selepas tamat perlawanan.

Felix berlari terus ke garisan tepi padang untuk memeluk Mourinho selepas gol keduanya, yang menaikkannya pangkat daripada pasukan remaja Roma Primavera berikutan beberapa kecederaan pasukan utama.

“Mourinho seorang yang hebat, pengurus yang hebat dan jurulatih yang hebat. Dia memberi anda motivasi untuk belajar setiap hari. Saya sangat gembira dia berada di sini,” tambahnya.

“Malam ini adalah impian yang menjadi kenyataan. Ia adalah gol pertama saya, saya berharap untuk masa yang sangat lama.”

Mourinho kemudian berkongsi apa yang dikatakan oleh pemain muda itu ketika berlari dan memeluknya di tepi padang.

Mourinho turut menyatakan bahawa beliau mahukan Felix Afena Gyan menjadi pemain pasukan utama. Dia tak akan lagi bersama dengan skuad pembangunan ataupun primavera.

Mourinho berkata: “Saya minta maaf kepada Mr. De Rossi dan skuad Primavera Roma, tetapi Felix akan tetap kekal bersama kita di pasukan utama. Primavera sentiasa bekerja erat dengan kita. Jadi sekarang ini Felix hanya dibezakan dengan 4 atau 5 tahun daripada pasukan utama.”

“Kamu dapat budak seperti ini sekarang ini, dia seorang yang merendah diri dan kamu ada perasaan bahawa dia seorang yang boleh menyerap segala informasi daripada orang di sekelilingnya, itu sangat luar biasa.”

“Namun perkara yang paling saya kagumi tentang Felix ni, dia sangat tenang depan gol. Walaupun teknik penyudah dia mungkin bukanlah luar biasa, namun dia ada mentaliti sangat kuat.”

Saksikan detik Afena Gyan menerima kasut idamannya itu di pautan di bawah ini:

Baca yang lain