Aguero Rehat 3 Bulan Kerana Masalah Jantung

Sergio Aguero akan berehat sekurang-kurangnya tiga bulan kerana mengalami masalah jantung.

Penyerang Argentina itu terpaksa dikeluarkan selepas dilihat mengalami kesukaran bernafas ketika Barcelona seri 1-1 menentang Alaves pada hari Sabtu.

Dia kemudiannya disahkan menghidap aritmia jantung ataupun masalah kepada kadar degupan jantungnya.

Barca mengeluarkan kenyataan pada petang Isnin mendedahkan dia akan diketepikan untuk beberapa bulan. Dan proses pemulihan dalam masa tiga bulan ini sangat penting untuk Aguero.

Ia akan menentukan sama ada beliau akan terus boleh bermain ataupun terpaksa melupakan bola sepak profesional.

“Pemain Barcelona, ​​Kun Aguero telah menjalani proses diagnostik dan terapeutik oleh Dr. Josep Brugada,” kata Barcelona dalam satu kenyataan.

“Dia tidak dapat berada dalam pemilihan pemain yang akan beraksi dalam tempoh tiga bulan akan datang, keberkesanan rawatan akan dinilai untuk menentukan proses pemulihannya.”

Pemain berusia 33 tahun itu telah memberikan kenyataannya menerusi media sosial berikutan berita itu.

“Saya sihat dan bersemangat untuk menghadapi proses pemulihan. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda semua atas banyak mesej sokongan dan kasih sayang yang menjadikan hati saya lebih kuat hari ini,” tulisnya di Twitter.

Pemain Argentina itu dijangka menjadi penyerang pilihan utama Barca selepas menyertai perpindahan percuma dari Manchester City pada musim panas. Ini ditambah dengan pemergian Griezmann ke Atletico secara pinjaman dan ada klausa tetap.

Tetapi dia mengalami kecederaan betis sebelum dia bermain untuk kelab itu, membuatkan dia diketepikan untuk beberapa bulan pertama kempen.

Aguero kembali semula pada awal Oktober. Dia membuat lima penampilan, menjaringkan satu gol, sebelum terpaksa dikeluarkan selepas 40 minit bermain menentang Alaves minggu lalu.