Aguero: “Saya Tiba Sejam Awal, Tapi Lampu Semua Masih Tutup”

Legenda Manchester City, Sergio Aguero telah menimbulkan kontroversi apabila secara terbuka mengkritik beberapa budaya yang dia tak suka di kelab barunya, Barcelona.

Aguero menyertai Barcelona pada musim ini sebagai pemain free agent. Namun terpaksa disisihkan buat sementara waktu kerana kecederaan di bahagian kakinya.

Aguero turut mengakui bahawa beliau sangat sedih kerana Lionel Messi terpaksa meninggalkan Barcelona.

Sebelum ini terdapat laporan bahawa Aguero cuba untuk mendapatkan kepastian tentang klausa kontraknya, sama ada beliau boleh pergi meninggalkan Barcelona selepas Messi pergi.

Kerana ianya salah satu syarat kenapa beliau mahu menyertai Barcelona – jadi Aguero boleh meninggalkan Barcelona sekiranya Messi pergi ke kelab lain. Aguero kemudian memberikan jaminan bahawa beliau akan terus kekal di Barcelona.

Menerusi satu sesi di Twitch bersama dengan Ibai Lanos, Aguero memulakan perbualan dengan menyatakan dia masih belajar tentang jalan jalan kecil di Barcelona. Dia masih lagi sukar memandu di Barcelona kerana baginya ianya adalah bandar yang paling sukar untuk memandu.

Dia malah pernah bergaduh dengan pemandu teksi kerana lorong yang dia pandu.

Seterusnya Aguero mengkritik pegawai pegawai Barcelona yang dikatakan seringkali lewat membuka fasiliti sukan di sana.

“Di Manchester City, kami semua harus tiba di kompleks sukan sekurang kurangnya 1 jam setengah sebelum latihan bermula.”

“Di sini, hanya 30 minit sebelum latihan.”

“Saya pernah tiba sejam lebih awal, sebab saya fikir, bolehlah saya buat benda lain dulu yang patut, seperti pergi ke gym atau sebagainya.”

“Namun ketika tiba, lampu pun masih tak dibuka.”

Kenyataan Aguero itu sangat mengejutkan. Seorang peminat Barcelona menyatakan, tidak hairanlah sebelum ini Umtiti mengkritik pegawai pasukan Barcelona yang menurutnya telah melambatkan proses pemulihannya.

Selain itu ramai juga peminat merasakan, krisis kecederaan yang teruk melanda Barcelona dalam beberapa musim ini, mungkin kerana sikap pegawai mereka yang acuh tak acuh soal kecergasan pemain.

The Azulgrana berkata: “Betullah kata si Umtiti tu masa dia memberitahu Laporta bahawa doktor dan staf kecergasan di sini tak bagus.”

“Dia cakap macam tu ketika pertemuan dengan Laporta minggu lepas, di mana Umtiti menjelaskan bahawa, doktor dan staf kecergasan di sini tak cukup prihatin menjaga para pemain.”

“Ini juga menjelaskan situasi Dembele. Jadi, Laporta harus menukarkan mereka tu semua.”

Umtiti sebelum ini bertemu dengan pengurusan tertinggi Barcelona meminta mereka memberikannya peluang sekali lagi untuk terus membuktikan kualiti dirinya untuk kelab itu.

Sebelum ini Barcelona bengang dengan Umtiti yang tidak mahu meninggalkan kelab itu walaupun kelab sudah menerima bidaan dari sebuah kelab di Perancis.