Aguero: Semua Gol Sepakan Percuma CR7 Adalah Nasib Semata Mata

Bekas penyerang utama Argentina, Sergio Aguero berkata, gol Cristiano Ronaldo menerusi sepakan percuma hanya kerana nasib semata mata atau pure luck kata orang putih.

Menurutnya, Lionel Messi adalah penjaring gol yang lebih baik daripada CR7.

Ronaldo meninggalkan bola sepak Eropah selepas meninggalkan Manchester United untuk menyertai kelab Arab Saudi Al Nassr.

Bintang Portugal itu tampil mengagumkan selepas menjaringkan 11 gol dalam 12 perlawanan.

Beberapa minggu lalu, Ronaldo menjaringkan gol sepakan percuma yang menakjubkan menentang Abha dalam kemenangan 2-1 Al Nassr dalam Liga Arab Saudi.

Ini bermakna pemain terbaik dunia lima kali itu telah menjaringkan 49 gol daripada sepakan percuma sepanjang kariernya.

Gol itu turut menutup mulut pengkritik yang meragui kemampuan Ronaldo menjaringkan gol menerusi sepakan percuma. Di mana dalam beberapa tahun terakhir ini, kerap keluar statistik sepakan percuma Ronaldo yang tersasar.

Sementara itu, Messi telah menjaringkan 702 gol di Eropah selepas menjaringkan gol ketika menentang Nice yang lalu.

Bintang bola sepak Argentina itu sudah melepasi jumlah jaringan Ronaldo untuk gol di Eropah, dengan kurang 105 perlawanan.

Sementara itu, jika dilihat dari sepakan percuma, Lionel Messi sememangnya lebih baik daripada pesaingnya selepas mengumpul 52 gol daripaa sepakan percuma.

Aguero percaya Messi mempunyai keupayaan untuk menjaringkan gol lebih baik daripada Ronaldo. Dia juga sangat pasti, Ronaldo hanya bernasib baik 100% apabila dia menjaringkan sepakan percuma.

“Lihat sahaja di mana dia menjaringkan golnya,” kata Aguero di Twitch, dipetik oleh Sport Bible Medio Tiempo.

“Kemonlah. Semua gol dari sepakan percuma dan [ianya] nasib semata mata.”

“Gol Messi datang dari semua sudut. Namun, apa yang [Ronaldo] lakukan? Kerana kesilapan penjaga gol. Saya rasa Raul mempunyai keupayaan menjaringkan gol yang lebih baik, [Karim] Benzema juga mempunyai keupayaan menjaringkan gol yang lebih baik,” kata bekas pemain Atletico Madrid, Manchester City dan Barcelona itu.

Sudah tentunya kenyataan Aguero itu mengundang kecaman.

Ramai yang berkongsi kompilasi sepakan percuma Ronaldo yang luar biasa.

Mereka mengingatkan Aguero bahawa, pemain itu sendiri tidak memiliki sebarang rekod gol sepakan percuma di EPL dan liga utama eropah lain.

Ronaldo turut mencipta teknik sepakan percuma beliau yang ikonik dan menjadi ikutan ramai.