Akhyar Rashid Disamun, TFC Seru Semua Penyokong Doakan Kesembuhannya

Akhyar Rashid dilaporkan menjadi mangsa samun semalam. Pemain yang menyertai Terengganu FC secara pinjaman itu dilaporkan turut kehilangan dompet dan telefon bimbitnya.

Kejadian itu berlaku pada malam dia meraikan harijadinya yang ke-25. Gambar Akhyar Rashid yang cedera selepas disamun tular di media sosial.

Ramai yang simpati dengan apa yang menimpa. Terutama sekali peminat Terengganu yang mahu individu yang bertanggungjawab itu ditangkap.

“Ini memalukan orang Terengganu je, kalau dapat penjenayah ni, kita katok dia ramai ramai,” tulis seorang peminat skuad Penyu yang sukar menerima insiden itu berlaku di tempat mereka.

Terengganu FC turut memuat kenyataan sokongan kepada pemain itu.

TFC berkata: “Dukacita dimaklumkan, pemain Terengganu FC, Akhyar Rashid telah menjadi mangsa samun yang berlaku sekitar jam 8.30 malam tadi. Insiden ini menyebabkan Akhyar Rashid mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala dan kaki, namun beliau dilaporkan berada di dalam keadaan stabil setelah diberi rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

“Kelab Terengganu FC memandang serius terhadap perkara yang berlaku kepada beliau. Pihak PDRM juga sedang membuat siasatan terhadap perkara yang berlaku.

“Justeru itu, pihak kelab memohon agar tiada pihak yang membuat sebarang spekulasi liar terhadap insiden ini bagi mengelakkan gangguan terhadap proses siasatan pihak berkuasa.

“Kami juga ingin menyeru buat para penyokong dan peminat bola sepak di seluruh Malaysia agar dapat mendoakan kesembuhan buat Akhyar Rashid!”