Akibat Mengganggu Kelas Online, Manila Warta Ordinan Haramkan ‘Karok’ Siang Hari

Karaoke merupakan salah satu aktiviti yang digemari ramai orang. Ianya aktiviti santai dan berhibur yang boleh mengeratkan hubungan dengan rakan rakan dan keluarga.

Namun di Filipina, negara tersebut sudah mewartakan satu ordinan agak pelik. Di mana di Manila, berkaraoke siang hari kini satu kesalahan di sisi undang undang.

Ini bukan pertama kali isu karaoke menjadi masalah besar di Filipina.

Sebelum ini pada 2018 seorang wanita mati diserang jirannya kerana karaoke tanpa henti dan membuatkan jirannya itu ‘koyak’ teruk dan menyerangnya.
Insiden itu berlaku di San Jose Del Monte, Bulacan. Saspek Jose Abraham bengang dengan bunyi bising daripada Alicia Quiroz dan rakannya yang sedang karok.

Abraham dikatakan berkali kali menjerit meminta mereka berhenti dan senyap. Namun tak diendahkan. Lalu dia mengambil senjata api dan menembak Alicia.

Polis kemudian menyatakan punca Abraham menembak Alicia lebih daripada kerana karaoke itu. Mereka berdua sudah lama tidak ngam. Dan hari itu dia melepaskan segala marahnya kerana Alicia terlalu bising.

Pada 2016, Presiden Duterte pernah meminta agar karaoke lewat malam di rumah adalah diharamkan. Nak karok sila ke pusat hiburan.

Manila haramkan karaoke siang

Dan kini Datuk Bandar Manila, Isko Moreno mengumumkan pada 8 Oktober lalu bahawa, karaoke siang hari adalah diharamkan di ibu kota Filipina itu.

Aktiviti karaoke di rumah menjadi aktiviti yang digemari dan meningkat mendadak di Manila pada tempoh kuarantin dan lockdown ini.

Kesannya membuatkan ramai pelajar terganggu kerana masalah bising dan bingit ketika mengikuti pembelajaran atas talian.

Banyak aduan dibuat berkenaan dengan masalah tersebut. Lalu pihak berkuasa tempatan Manila mengambil keputusan serius.

Petikan dari portal rasmi kerajaan Filipina, manila.org:

MANILA, Filipina (8 Oktober 2020) – Penggunaan mesin karaoke dan videoke serta alat penghasil suara lain yang mengganggu masyarakat telah dilarang di ibu negara dari jam 7:00 pagi hingga 5:00 petang dari hari Isnin hingga Sabtu,

Datuk Bandar Manila, Francisco ‘Isko Moreno’ Domagoso mengumumkan pada hari Khamis.

Beliau mengatakan bahawa dia meluluskan peraturan tersebut setelah menerima banyak aduan daripada ibu bapa pelajar yang kelas di atas talian “diganggu oleh jiran menggunakan mesin karaoke” sejak sekolah dibuka pada hari Isnin, 5 Oktober.

Peraturan itu ditandatangani bersama-sama dengan Ketua Dewan Majoriti Majlis Bandaraya Joel Chua dan Wakil Datuk Bandar, Honey Lacuna-Pangan.

Di bawah Ordinan No. 8688, Domagoso mengatakan bahawa penggunaan mesin karaoke dan videoke serta alat penghasil suara yang cenderung mengganggu masyarakat dilarang dari jam 7:00 pagi hingga 5:00 petang, Isnin hingga Sabtu.

Kelas biasa di sekolah negeri dan swasta di seluruh negara ditangguhkan kerana pandemik, mendorong jabatan pendidikan Filipina beralih ke mod “pembelajaran jarak jauh”.

Pesalah kali pertama akan dikenakan denda P1,000 (RM85.00), sementara pesalah kali kedua akan didenda P2,000 (RM170.00).

Pesalah yang melakukan perbuatan itu untuk kesalahan ketiga dan seterusnya akan dikenakan denda sebanyak P3,000 (RM255.00).

“Semua ketua kampung dan pegawai penguatkuasa akan menjalankan tugas mereka menguatkuasakan peraturan ini. Ordinan ini akan berkuatkuasa dengan serta merta setelah dipersetujui.”

Nampaknya, kaki karok di Manila selepas ini karok guna Smule je la kan.