Akibat Terus Gagal Jual De Jong, Barca Kini Mahu Jual Ter Stegen Pula

FC Barcelona sedang mempertimbangkan untuk menjual penjaga gol Marc-Andre Ter Stegen berikutan kesukaran yang dihadapi  mereka ketika cuba menjual Frenkie de Jong.

Sebelum ini, Barca dan Manchester United telah mencapai kesepakatan harga untuk perpindahan De Jong tetapi pemain itu masih berkeras tidak mahu berpindah. Itu menjadi faktor menghalang perpindahan tersebut.

Beberapa laporan menyebut bahawa Barca sudah sedia mendapatkan kembali €75 juta daripada Man United. Angka yang sama mereka bayar kepada Ajax untuk khidmat pemain tengah itu pada 2019 dan juga mungkin memperoleh tambahan €10 juta sebagai tambahan bonus.

Namun De Jong, yang baru sahaja membeli rumah agam mewah bernilai €5 juta ($5.01 juta) di Catalonia bersama tunangnya, tidak merancang untuk pergi ke mana-mana dan enggan meninggalkan kelab yang dia sokong sejak kecil itu,

Walaupun De Jong dan Ten Hag pernah mara bersama sama sehingga ke separuh akhir Liga Juara-Juara bersama pada 2018-2019 — di mana De Jong dipilih sebagai pemain tengah terbaik dalam pertandingan itu, namun dia tidak begitu rapat dengan jurulatih baharu United, Erik ten Hag seperti yang dibayangkan oleh sesetengah pihak, tegas The Athletic.

Faktor paling penting di atas semua itu, dari perspektif bola sepak, Red Devils juga tidak dapat menawarkan pemain berusia 25 tahun itu peluang untuk bermain dalam kejohanan kelab elit Eropah musim depan iaitu UCL pada musim ini.

Dan De Jong tidak yakin dengan jaminan bahawa kelab itu akan layak ke pertandingan itu sekali lagi dalam masa terdekat memandangkan mereka bergelut pada musim lalu. Dan persaingan untuk ke UCL pada musim ini juga dijangka kembali sengit.

Xavi Hernandez sudah memberitahu De Jong bahawa pemain itu sebenarnya mempunyai tempat dalam rancangannya tetapi mesti bersedia untuk mengambil potongan gaji sehingga 50%. Xavi menjelaskan bahawa, tiada pemain dalam skuad mereka memperoleh lebih daripada €10 juta di bawah dasar baharu yang ditetapkan oleh presiden Joan Laporta.

Pada masa yang sama, bagaimanapun, terdapat khabar angin mengenai Barca memberitahu De Jong untuk menerima tawaran United supaya mereka boleh membuka ruang pada bil gaji di bawah peraturan Financial Fair Play. Perkara yang sama diberitahu Xavi selepas aksi menentang Real Madrid dalam aksi pra musim.

Dia mengakui De Jong sangat berkualiti namun dia menjelaskan bahawa dalam bola sepak hari ini, ada FFP dan kelab ada masalah kewangan.

Memandangkan kelab itu tidak dapat memaksa playmaker untuk berpindah, mereka nampaknya melihat ke arah Pelan B. Di mana menurut laporan SER, Barcelona kini sedia menjual Ter Stegen pula.

Pernah dianggap sebagai antara 5 pemain “tidak boleh disentuh” ​​di Camp Nou, prestasi penjaga gol Jerman  itu agak merosot dengan ketara pada 2021/2022.

Selain itu, hakikatnya, dia kini membawa pulang €7juta setahun yang akan meningkat pada penggal seterusnya bermakna dia kini merupakan aset boleh ‘dicairkan’ oleh Barca menjadi wang ketika mereka memerlukan.

Dengan kontrak sehingga 2025 dan klausa pelepasan €500juta, pemain berusia 30 tahun itu juga dianggap boleh dijual pada harga yang tinggi memandangkan kedudukannya sebagai salah seorang penjaga gol terbaik generasinya.

Barcelona perlu mengosongkan sedikit bil gaji kelab mereka untuk membolehkan mereka mendaftarkan pemain-pemain baharu yang mereka beli atau tandatangani secara percuma.

Buat sementara waktu Barcelona masih lagi tidak dapat mendaftarkan kesemua pemain yang mereka baru tandatangani. Namun begitu Joan Laporta yakin bahawa isu tersebut akan dapat diselesaikan sebelum baharu bermula.

Dalam jendela perpindahan musim panas kali ini, mereka berjaya mendapatkan Andreas Christensen, Franck Kessie, Ousmane Dembele (ditandatangani semula), Raphinha, Robert Lewandowski dan terbaru Jules Kounde.

Selain itu Presiden La Liga, Javier Tebas turut yakin bahawa Barcelona akan dapat mendaftarkan pemain pemain baharu mereka berdasarkan urusan perniagaan yang mereka buat dalam usaha mengimbangi hutang mereka ini termasuk menjual hak penyiaran.

 

Baca yang lain