Akui Cepat Koyak Dan Sentap, Richarlison Akan Jumpa Pakar Psikologi

Penyerang Tottenham Richarlison berkata dia akan “mendapatkan bantuan psikologi” selepas dilihat menangis ketika dia dikeluarkan untuk digantikan ketika Brazil menang 5-1 ke atas Bolivia Sabtu lalu.

Pemain berusia 26 tahun itu berkata dia reaksi emosinya dalam perlawanan itu adalah pelepasan untuk membantu ‘mengeluarkan segala yang berlaku di luar padang dari dalam dirinya’.

Richarlison seringkali dilihat suka menangis dan cepat sentap. Dia sendiri akui dia seorang yang terlalu emosional. Dan dia bertekad untuk mendapatkan rawatan dan bantuan pakar.

Richarlison berkata: “Saya melalui masa sukar di luar padang dalam tempoh lima bulan lalu,” katanya kepada akhbar Brazil O Globo.

Akhbar itu melaporkan bahawa Richarlison agak tertekan setelah berpisah dengan ejen yang bersamanya sejak hari pertama dia bergelar pemain profesional iaitu Renato Velasco.

“Sekarang keadaan menjadi lebih stabil di rumah. Orang yang selalu menjaga wang saya tidak lagi rapat dengan saya.”

Pemain Brazil itu menyertai Spurs dengan harga £60 juta dari Everton pada musim panas lalu tetapi hanya menjaringkan empat gol dalam 40 perlawanan.

Dia juga seringkali menunjukkan reaksi kecewa ketika tidak dipilih sebagai pemain kesebelasan utama atau dikeluarkan lebih awal.

Bagaimanapun, dia berazam untuk beraksi dengan baik untuk pasukan utara London itu dan merancang untuk berjumpa pakar psikologi untuk membantu meningkatkan kesihatan mentalnya.

“Segalanya akan berlalu sekarang dan saya pasti saya akan bermain dengan baik di Tottenham dan akan membuat perkara yang hebat itu berlaku semula,” tegasnya.

“Saya akan kembali ke England dan mendapatkan bantuan psikologi, daripada ahli psikologi, untuk menguatkan fikiran dan mental saya. Itulah maksudnya, untuk kembali lebih kuat.”

Richarlison terlepas peluang hebat untuk menjaringkan gol dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Bolivia sebelum dikeluarkan dari padang.

Jelasnya, gambar-gambarnya yang menangis bukan kerana persembahannya tetapi isu luar padang.

“Saat kesedihan itu bukan kerana bermain dengan teruk,” katanya ketika menjelaskan mengapa dia mula menangis.

“Pada pendapat saya, saya tidak bermain perlawanan yang buruk di Belem. Ia lebih kepada melepaskana perkara yang berlaku di luar padang daripada sistem saya, yang telah hilang kawalan bukan kerana apa-apa yang saya lakukan tetapi kerana orang yang rapat dengan saya.”

Ramai memberikan sokongan kepada Richarlison. Kerana bagi mereka kesihatan mental bukan perkara yang harus diambil mudah.

Tottenham akan menerima kunjungan Sheffield United pada hari Sabtu dengan perlawanan kelayakan seterusnya Brazil akan menentang Venezuela pada 13 Oktober.