Akui Hisap Ganja Ketika Khidmat Negara, Kerajaan Singapura Batalkan Keistimewaan Pada Joseph Schooling

Pemenang emas Olimpik Singapura Joseph Schooling mengakui dia menghisap ganja pada awal tahun ini. Ini bermakna pemenang pingat Olimpik itu kehilangan keistimewaan untuk meinggalkan perkhidmatan ketenteraan mandatorinya iaitu Khidmat Negara di Singapura.

Singapura menegaskan bahawa ganja sebagai dadah yang menjadi pintu masuk kepada lebih banyak bahan berbahaya, dan orang yang ditangkap mengedar dalam kuantiti yang banyak mungkin berdepan hukuman mati

Tentera Singapura pada Selasa berkata anak emas Olimpik negara itu Joseph Schooling, yang kini sebenarnya berada dalam tempoh berkhidmat dalam perkhidmatan ketenteraan mandatori, mengaku telah mengambil ganja awal tahun ini.

Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) berkata Schooling telah menyalahgunakan “keistimewaan” yang diberikan kepadanya semasa dalam aktif perkhidmatan tersebut, bermakna dia “tidak lagi layak untuk meninggalkan atau menangguhkan latihan ketenteraan. Ini termasuk dilarang untuk berlatih atau bertanding semasa masih menjadi pelatih khidmat negara.

Sebelum ini Schooling diberikan keistimewaan khas untuk meninggalkan sekejap latihan ketenteraan atas alasan berlatih ataupun bertanding.

Akhbar harian kebangsaan The Straits Times berkata perkembangan terbaharu itu bermakna perenang itu dilihat tiada peluang langsung untuk menyertai Sukan Asia Tenggara di Kemboja tahun depan serta Sukan Asia di bandar Hangzhou, China. Kerana selepas ini dia akan diminta berada di kem Khidmat Negara sepenuhnya.

Schooling mendapat status wira negara di republik itu selepas kemenangan menakjubkannya dalam acara renang 100m kupu-kupu Olimpik lelaki 2016 ke atas wira zaman kanak-kanaknya Michael Phelps. Dia kekal sebagai pemenang pingat emas Olimpik tunggal Singapura.

Schooling mula berkhidmat dalam Khidmat Negara pada Januari tahun ini, selepas menerima penangguhan rasmi dari 2014 hingga 2021 kerana bakat sukannya.

Dalam satu kenyataan, SAF berkata Schooling “mengaku telah mengambil ganja di luar negara pada Mei 2022, ketika dia diberikan izin sementara untuk meninggalkan kem Khidmat Negara (NS) untuk berlatih bagi persiapan menyertai Sukan Asia Tenggara.

Selain pembatalan keistimewaan meninggalkan latihan Khidmat Negara, Schooling juga telah menerima surat amaran rasmi “memaklumkan kepadanya tentang akibat serius penyalahgunaan dadah yang dikenakan kepada semua kakitangan SAF, yang mungkin dihukum penjara sehingga sembilan bulan di Berek Tahanan SAF.

“Saya minta maaf kerana tindakan saya telah menyebabkan semua orang di sekeliling saya terluka, terutamanya kepada keluarga saya dan peminat muda yang memandang tinggi kepada saya,” kata Schooling dalam satu kenyataan yang dilaporkan oleh media tempatan.

“Saya mengalah pada detik rapuh selepas melalui tempoh yang sangat sukar dalam hidup saya, saya telah membuat pertimbangan yang buruk dan saya minta maaf,” tambahnya lagi.

“Saya melakukan kesilapan dan saya bertanggungjawab atas apa yang saya lakukan. Saya akan menebus kesalahan dan memperbetulkan apa yang salah … Saya tidak akan mengecewakan anda semua lagi.”

Sport Singapore, sebuah agensi kerajaan yang ditugaskan untuk memajukan persada sukan negara, berkata dalam satu kenyataan berasingan bahawa Schooling dan seorang lagi perenang, Amanda Lim, 29 tahun, telah disiasat oleh agensi anti-narkotik. Lim telah diberi amaran keras oleh Biro Narkotik Pusat, kata Sport Singapore.

Schooling, pawal tahun ini menyatakan bahawa dia mempertimbangkan untuk bersara daripada renang.

Selain pingat emas Olimpik, Schooling telah memenangi 27 emas di Sukan SEA serta tiga emas Sukan Asia.

Walaupun negara-negara seperti Thailand telah melonggarkan polisinya dengan ketara mengenai penggunaan ganja – namun Singapura dengan tegas mempertahankan pendekatan toleransi sifar terhadap dadah itu.

Pihak berkuasa negara itu menegaskan bahawa penggunaan ganja berfungsi sebagai pintu masuk kepada penyalahgunaan bahan lain yang lebih berbahaya. Oleh sebab itu, kesalahan mengedar dadah di negara tersebut bakal berdepan hukuman paling berat iaitu hukuman mati.

Sumber: SCMP

Baca yang lain