Akui Perpindahan Ke Chelsea Satu Kesilapan, Peminat The Blues Anggap Lukaku Tak Profesional

Penyerang Chelsea Romelu Lukaku mengakui bahawa meninggalkan Inter Milan dan berpindah ke kelab barat London pada musim panas lalu adalah satu kesilapan yang dilakukannya.

Kenyataan itu benar benar mengejutkan peminat Chelsea — SEKALI LAGI — selepas dia membuat wawancara kontroversi dengan Sky Italia musim lalu.

Pemain Belgium itu terdesak untuk kembali ke Itali selepas gagal memenuhi ekspektasi di Stamford Bridge, setelah menandatangani dengan yuran rekod pembelian kelab sebanyak €115 juta pada musim panas lalu.

Bulan lalu, dia akhirnya dapat juga menunaikan hasratnya kerana gergasi Serie A itu berjaya memeterai perjanjian pinjaman untuknya. Di mana Inter membayar Chelsea sejumlah €8 juta sebagai yuran pinjaman semusim.

Lukaku tidak mengambil masa lama untuk menerima perpindahan itu. Dan kemudian secara terbuka menyatakan bahawa perpindahan ke Stamford Bridge sememangnya satu kesilapan.

Pada acara pelancaran jersi Nerazzurri untuk kempen 2022-23, penyerang itu, sambil bersantai bersama Barella dia berkongsi:

“Cabaran terbesar dalam karier saya ialah musim ini, di sini. Saya pergi. Ia satu kesilapan, bukan Nico [Barella]? Sekarang saya gembira memakai jersi ini, pasukan ini tahu apa yang perlu kami lakukan, ia akan menjadi hebat untuk mencabar kejuaraan pada musim ini dan kami perlu terus seperti ini.”

Penyerang Chelsea yang dipinjamkan ke Inter itu mengakui bahawa berjauhan dengan Inter membantunya menyedari nilai kelab itu dan betapa kelab itu dihargai di seluruh dunia.

“Saya sedar musim lalu ketika saya di England, betapa pentingnya Inter di mata dunia. Profil kelab semakin bertambah baik pada skala antarabangsa, pendekatan media sosial juga sangat penting dan anda boleh melihat bagaimana kami berada di bilik persalinan, dalam latihan, pelukan dan jenaka kami.”

Thomas Tuchel turut memberikan komen mengenai perpindahan Romelu Lukaku ke Inter Milan:

“Apabila kami mempunyai pandangan ejen dan Romelu, kami fikir adalah yang terbaik untuk mengambil keputusan yang kami ambil dan Todd mendapat sokongan penuh daripada saya.”

Lukaku seterusnya menambah betapa dia dan keluarganya ada rasa terikat dengan bandar Milan. Penyerang itu mengalami masalah merindui Inter Milan pada Disember 2021 apabila dia meluahkan perasaan ini dan bercakap mengenai potensi kembali ke San Siro dalam masa terdekat dalam temu bual dengan Sky Italia.

Penyerang tengah Chelsea yang dipinjamkan ke Inter itu menambah:

“Milan adalah bandar yang indah dan itulah sebabnya saya tidak menjual pangsapuri lama ketika saya pergi ke London, kerana ibu saya datang ke sini sepanjang masa dan saya mahu kembali juga.”

Pemain berusia 29 tahun itu sebenarnya dibayangi oleh dirinya ketika di Stamford Bridge. Ini selepas dia menjaringkan gol yang banyak di San Siro ketika memakai persalinan warna Nerazzurri.

Dia hanya berjaya menjaringkan gol sebanyak 15 kali dalam 43 penampilan untuk The Blues di semua pertandingan.

Walaupun pasukan Thomas Tuchel hanya membenarkan pinjaman setahun untuk Lukaku secara rasmi, pasukan Serie A itu dipercayai telah memujuk The Blues untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan pemain Belgium itu nanti.

Kedua-dua pihak dilaporkan telah mencapai persetujuan tidak rasmi yang akan menyaksikan Nerazzurri mengekalkan penyerang itu sehingga 2024 secara pinjaman.

Hal ini kerana Inter Milan masih belum ada kemampuan untuk membayar tanda harga Lukaku. Namun penyerang Belgium itu sudah menyatakan bahawa dia sudah tiada hati untuk kembali ke Chelsea lagi.

Kenyataan Lukaku itu membuatkan peminat Chelsea marah. Mereka mengingatkan Lukaku bahawa dia masih lagi pemain Chelsea. Dia mungkin harus menyimpan terlebih dahulu pengakuan tersebut sehingga dia benar benar sudah dijual ke Inter.

Baca yang lain