Alisson Dipuji Kerana Membantu Rakannya Daripada Serangan Mental Oleh Mendy

Penjaga gol Liverpool, Alisson membantu pasukannya memenangi penentuan penalti pada perlawanan akhir Piala FA, dengan bukan sekadar menyelamatkan bola tetapi turut membantu secara persiapan mental.

Pemain Brazil itu menyelamatkan percubaan dari Mason Mount sebelum Kostas Tsimikas menjaringkan penalti kemenangan untuk memastikan Liverpool menewaskan Chelsea menerusi sepakan penalti selepas aksi tanpa jaringan pada 120 minit pertama perlawanan di Wembley.

Sepanjang perlawanan Alisson melakukan beberapa penyelamatan penting selain penyelamatan hebat mengekang penalti Mount, Alisson juga memastikan pemain lawannya, Edouard Mendy, tidak dapat bermain permainan perang saraf semasa penentuan sepakan itu.

Beberapa bulan lalu, penjaga gol Senegal itu terus mengganggu sepakan penalti pemain pemain Mesir termasuk Mo Salah — ketika negaranya menewaskan Mesir dalam perlawanan akhir Piala Negara-Negara Afrika pada Februari lalu.

Tetapi Alisson menjadi benteng kepada pemain pemain Liverpool untuk tidak membenarkan perkara ini berulang dan selepas setiap penalti Chelsea dia akan merampas bola dan menyerahkannya kepada rakan sepasukannya di Liverpool.

Alisson akan memberikan kata kata semangat dan semoga berjaya kepada setiap pemain Liverpool.

Dia berdiri betul betul di depan pemain Liverpool dan menghalang mereka daripada melihat Mendy.

Ia terbukti sebagai keputusan yang tepat daripada Alisson. Ini  kerana hanya Sadio Mane, yang gagal menjaringkan penalti dalam penalti yang boleh menjadi penentuan tersebut.

Pendekatan Mendy pada Piala AFCON yang lalu benar benar dikaji oleh Liverpool dan Alisson.

Shady Elabody dalam analisisnya berkata: “Mendy adalah pakar dalam mengganggu lawan ketika penalti. Dia akan pergi ke arah pemain yang mengambil penalti dan cuba mempengaruhi mereka.”

“Untuk berdepan dengan permainan saraf ini, Liverpool melakukan penyelesaian yang luar biasa. Menjadikan Alisson sebagai benteng di titik penalti selepas setiap pemain Chelsea mengambil penalti, sebelum Mendy sempat pergi ke kawasan titik penalti, dia akan memberikan bola kepada rakannya.”

Bukan mudah untuk Liverpool berdepan tekanan pada penentuan penalti kali ini lebih lebih lagi pelaksana penalti terbaik mereka Mo Salah tidak ada di atas padang. Selain itu, Sadio Mane pula buat hal gagal menyempurnakan penaltinya.

Lihatlah di mana penalti itu diambil? Di hadapan seksyen penyokong Chelsea.

Tsimikas, Diogo Jota, Trent Alexander-Arnold, Roberto Firmino, Thiago dan James Milner semuanya menjaringkan sepakan penalti mereka.

Alisson mungkin menyumbang sedikit sahaja kepada penalti rakannya, namun sumbangan kecil itu besar maknanya.

https://youtu.be/OaaClYq-bN4

Kini Alisson telah memenangi Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara, Piala FA, Piala EFL, Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab. Bermakna ada enam trofi dalam tempoh empat tahun sejak perpindahan £66.8 juta dari Roma pada 2018.

“Ia menakjubkan, kami melakukan persembahan yang begitu baik,” kata Alisson kepada BBC selepas tamat perlawanan.

“Memang agak memalukan kami tidak menjaringkan gol dalam masa sebenar permainan. Ia adalah pertarungan yang sebenar.”

“Saya sangat gembira. Saya sendiri dan Mendy juga melakukan penyelamatan yang menakjubkan. Saya tidak dapat melakukan penyelamatan tanpa bantuan pasukan. Mereka bekerja dengan baik dan memudahkan saya.”

Pemain antarabangsa Brazil itu gembira dengan penyelamatannya ketika menghalang penalti Mount apabila dia melompat ke kiri dan mematahkan usaha pemain Inggeris itu.

Dia berkata: “Ia bagus, kan? Semua jurulatih penjaga gol mereka membantu saya dalam membuat keputusan itu. Mereka adalah pemain yang hebat, Chelsea bermain dengan sangat baik tetapi kami berhak memenanginya. Saya hanya melakukan penyelamatan kerana kami berhak memenanginya.”

“Ini memberikan kami lebih keyakinan dalam Liga Perdana Inggeris dan juga final Liga Juara-Juara Eropah. Ia adalah saat yang hebat sekarang, kami hanya perlu menikmati”

Azpilicueta scam pemain Palmeiras

Beberapa bulan yang lalu, Cesar Azpilicueta turut menggunakan taktik licik ketika melindung pelaksana penalti Chelsea dalam aksi berdepan Palmeiras pada Piala Dunia Kelab.

Sebelum Kai Havertz mengambil sepakan penalti, Azpilicueta terlebih dahulu memainkan peranan yang cukup penting dalam bermain permainan minda dengan pasukan lawan.

Havertz berjaya menjaringkan gol yang membantu Chelsea muncul sebagai Juara saingan Champions League dengan menewaskan Manchester City di Porto musim lalu.

Ketika aksi perlawanan akhir FIFA Club World Cup, beliau sekali lagi menjadi wira The Blues dengan muncul sebagai penjaring gol kemenangan untuk Chelsea pada minit ke-117 permainan.

Beliau bijak memperdaya penjaga gol Palmeiras, Weverton ketika menyempurnakan sepakan penalti untuk mengesahkan kemenangan 2-1 Chelsea dalam perlawanan tersebut.

Walau bagaimanapun, harus diakui yang permainan minda Azpilicueta sebelum sepakan penalti itu diambil harus diberikan pujian kerana ia jelas sangat berkesan.

Pemain kebangsaan Sepanyol itu memegang bola dan menunjukkan seolah-olah beliau yang mahu mengambil sepakan penalti tersebut.

Apa yang menariknya dengan tindakan beliau itu?

Beliau sebenarnya menjadikan dirinya sebagai kambing hitam dengan pemain pasukan lawan mula bermain permainan minda dengannya kerana percaya yang beliau akan mengambil sepakan penalti tersebut.

Baik penjaga gol mahupun pemain Palmeiras, kesemua mereka jelas cuba mengganggu tumpuan Azpilicueta dan berharap agar ketua pasukan Chelsea itu akan gagal menyempurnakan sepakan penalti tersebut.

Walau bagaimanapun, ketika semua pemain sudah bersedia, beliau menyerahkan bola kepada Kai Havertz dan membiarkan pemain muda Jerman itu yang menyempurnakan sepakan penalti tersebut.

Havertz jelas sekali sudah menenangkan dirinya sendiri ketika Azpilicueta menjadi kambing hitam, sementara pemain Palmeiras sudah tentu rasa dipermainkan kerana bukan ketua pasukan The Blues itu yang mengambil sepakan penalti tersebut.