Allahyarham Tuan Guru Yang Dirindui

Pada 12 Februari tahun 2015 Negara kita dikejutkan dengan berita pemergian seorang Tokoh Politik dan Ulama tersohor tanah air.

Berita duka itu sangat mengejutkan dan memberi kesan yang mendalam kepada seluruh rakyat Malaysia tidak kira agama dan bangsa.

Pulau Melaka, Kelantan dibanjiri lautan manusia yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Iya, ribuan manusia yang hadir bukan untuk membuat demonstrasi atau menonton konsert.

Tetapi Lautan manusia yang membanjiri kawasan itu hadir demi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat.

Siapakah beliau?mengapa sebegitu ramai yang hadir memberi penghormatan kepadanya? Kenapa pemergiannya di rasai seluruh lapisan masyarakat?

Terlalu banyak sumbangan dan jasa Allahyarham jika hendak diceritakan.

 

Tidak kan pernah habis, bahkan sumbangan beliau satu masa dahulu masih memberi manfaat kepada Manusia hingga sekarang.

Disini kita coretkan sedikit untuk mengenali Tokoh Agama Tersohor Yang pernah Negara kita miliki. Sedikit pengenalan dan kisah perjalanan karier Politik beliau.

Biodata Ringkas

Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat Allahyarham dilahirkan pada 10 Januari 1931.

Ketika hayatnya Allahyarham merupakan bekas Menteri Besar Kelantan. Imej beliau tidak seperti seorang Menteri beliau lebih terserlah sebagai seorang ulama, di samping merupakan Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Dengan Imej sebagai seorang Ulama itu tidak menghalang beliau untuk menjadi seorang Menteri yang bertanggungjawab.

Allahyarham merupakan Menteri Besar yang terbaik pernah dimiliki Negeri Kelantan.

Allahyarham menjadi Menteri Besar kelantan sejak 22 Oktober 1990 sehingga 6 Mei 2013 dan ketika itu tempat Allahyarham sebagai Menteri Besar di gantikan oleh Dato Haji Ahmad B Yaakob.

Antara jawatan yang pernah disandang oleh Allahyarham ketika hayatnya selain Menteri Besar Kelantan ialah, Allahyarham adalah Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan untuk N6 Chempaka.

Allahyarham memegang jawatan itu dari tahun 1995 hinggalah beliau Meninggal Dunia pada tahun 2015.

Allahyarham juga seorang Mursyidul Am PAS ketika hayatnya juga bermula dari 1995 sehingga ke akhir hayatnya pada tahun 2015.

Tempat Allahyarham sebagai Mursyidul Am PAS ketika ity telah digantikan oleh Allahyarham Tuan Guru Datuk Dr Haron Din.

Allahyarham Telah berkahwin dengan isterinya yang tercinta, Tuan Sabariah binti Tuan Ishak.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan 10 orang cahaya mata 5 lelaki dan 5 perempuan:

Nik Aini
Nik Umar
Nik Adli
Nik Abdul Rahim
Nik Mohamad Abduh
Nik Adilah
Nik Mohamad Asri
Nik Amani
Nik Amalina
Nik Asma’ Salsabila

Menteri Besar Yang Zuhud

Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz sangat dikenali sebagai seorang Menteri Besar yang paling zuhud dan warak.

Pada hampir setiap masa, beliau senantiasa dilihat dalam keadaan berjubah dan berserban.

Beliau juga pernah menceritakan bahawa beliau suka bersolat dalam keadaan gelap apabila berada di dalam pejabatnya kerana tidak mahu menggunakan duit kerajaan untuk kepentingan dirinya.

Allahyarham hanya tinggal di sebuah rumah kampung biasa seperti yang dimiliki oleh rakyat kebanyakan.

Rumahnya tidak berpagar bahkan tiada pengawal keselamatan yang diupah untuk menjaganya.

Sebelum menjadi Menteri Besar, beliau merupakan seorang guru agama yang aktif.

Allahyarham pernah mengajar di Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardiah, Sekolah Menengah Agama Darul Anwar dan Sekolah Menengah Maahad Muhammadi yang kesemuanya terletak di Kelantan.

Maka tidak hairanlah beliau lebih dikenali dengan gelaran ‘Tuan Guru’ atau ‘Tok Guru’ di kalangan rakyat Malaysia. Ketika masih sihat, beliau aktif menyebarkan ilmu-ilmu Islam kepada masyarakat.

Hampir setiap pagi, beliau akan menjadi imam solat subuh dan kemudiannya memberikan kuliah ringkas di sebuah masjid yang terletak hanya beberapa meter sahaja dari rumahnya.

Dari sudut ini sahaja kita sudah boleh menilai bertapa Allahyarham seorang yang sangat berjiwa rakyat dan Zuhud.

Beliau tidak mahu menggunakan duit milik rakyat untuk kepentingan beliau, bahkan dengan jawatan yang disandang, Allahyarham masih tidak mahu hidup mewah dan lebih selesa hidup dengan cara yang beliau mahukan.

Pendidikan Allahyarham

Allahyarham Tuan Guru mendapat pendidikan awal dari bapanya sendiri, Tuan Guru Haji Nik Mat Raja Banjar di kediamannya di Pulau Melaka.

Beliau memiliki kelulusan dalam bidang Sarjana Perundangan Islam daripada Universiti al-Azhar di Mesir.

Allahyarham juga pernah belajar di:

Sekolah Kebangsaan Kedai Lalat, Kelantan (3 Bulan) – 1936

Sekolah Pondok Tok Kenali Kubang Kerian, Kelantan

Sekolah Pondok Tok Guru Haji Abbas, Besut, Terengganu

Universiti Deoband, India – 1952

Universiti Lahore, Pakistan – 1957

Universiti al-Azhar, Mesir – Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab.

Universiti al-Azhar, Mesir – Sarjana Perundangan Islam.

Selain bertutur dalam bahasa Melayu Allahyarham juga mampu berkomunikasi dalam bahasa Arab, Urdu, Inggeris dan Tamil.

Kerjaya Politik

Tuan Guru mula menjadi ahli PAS pada tahun 1967, Allahyarham merupakan Mursyidul Am bagi parti PAS bermula pada tahun 1995 sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 2015.

Semenjak tahun 1990, Allahyarham telah memegang tampuk kepimpinan sebagai Menteri Besar Kelantan. Beliau juga adalah seorang ADUN bagi kawasan N.06 Chempaka, Kelantan.

Pada pilihan raya ke-11, Allahyarham telah menyandang kerusi tersebut setelah mengalahkan Ruhani Mamat (BN) dengan majoriti undi sebanyak 3,694.

Pada pilihan raya umum Malaysia kali ke-12, Allahyarham telah bertanding merebut kerusi DUN itu dengan Datuk Dr Nik Mohd Zain Omar yang bertanding di atas tiket Barisan Nasional (BN) di kawasan DUN yang sama.

Jika diikut pada peraturan SPR, Allahyarham Tuan Guru sudah boleh menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon apabila lawannya itu terlupa untuk menurunkan tandatangannya pada borang penamaan calon.

Namun beliau tidak mahu menang dengan cara begitu lalu meminta calon BN itu menandatangani semula borang pencalonan tersebut.

Dan Keputusan pilihan raya pada waktu itu menyaksikan Allahyarham menang dengan majoriti undi yang lebih besar, iaitu 4,249.

Beliau bersedia untuk melepaskan jawatan sebagai seorang Menteri Besar selepas pilihan raya itu. Penggantinya itu akan dipilih melalui satu proses undian sulit.

Namun jika undian yang dibuat kelak menyaksikan beliau terus dipilih, beliau sedia meneruskan tanggungjawab itu walaupun sudah terbabit dalam politik Pas sejak 42 tahun lalu.

Allahyarham pernah dituduh mengamalkan kronisme dengan melantik menantunya Ariffahmi sebagai CEO PMBK, tetapi beliau menyatakan perlantikan itu berdasarkan kelayakan pendidikan tinggi dan pengalaman luas dalam bidang kejuruteraan. Untuk tidak memanjangkan cerita Ariffahmi akhirnya meletak jawatan.

Persaraan Dan Pemergian Allahyarham

Allahyarham mempunyai masalah kesihatan seperti jantung, darah tinggi dan gastrik. Pada akhir tahun 2004, Allahyarham telah dimasukkan ke hospital setelah mendapat serangan sakit jantung.

Pada tahun 2007, Allahyarham telah dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) kerana keletihan.

Allahyarham sendiri mengakui bahawa kesihatannya semakin terganggu dan merosot.

Namun itu semua tidak menghalangnya untuk terus berbakti kepada masyarakat.

“Saya akui pada zahirnya, tubuh saya ada mengalami masalah berkaitan jantung tetapi pemikiran saya masih tajam untuk berfikir dan membuat penilaian atau keputusan”.

Allahyarham Tuan Guru telah bersara sebagai Menteri Besar Kelantan pada pilihan raya 2013. PAS telah mengadakan pemilihan semula untuk mendapatkan pengganti Allahyarham.

 

Timbalan kepada Allahyarham ketika itu, Ahmad Yaakob,telah dipilih untuk mengambil tempatnya.

Sepanjang dua tahun Allahyarham melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan kesihatan beliau semakin merosot.

Allahyarham menghidap penyakit Kanser Prostat dan telah disahkan meninggal dunia pada 12 Februari 2015.

Allahyarham meninggal dunia ketika berusia 84 tahun.

Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 9.40 malam, di kediamannya di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu.

Keesokan harinya, lebih daripada 10,000 orang menghadiri pengebumian di Masjid Tok Guru, Masjid di Pulau Melaka. Kematian yang paling dicemburui yang pernah berlaku di negara ini.

Begitu ramai manusia hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham dan mereka semua yang hadir itu beragama Islam.

Ada juga yang bukan beragama Islam turut hadir memberi penghormatan terakhir untuk Allahyarham.

Allahyarham adalah tokoh agama yang paling disegani bahkan Allahyarham juga seorang Ahli Politik yang paling dihormati ketika itu.

 

Negeri Kelantan berduka atas pemergian seorang Bapa Negeri,Guru Ugama dan seorang Pemimpin.

Berita pemergian Allahyarham tersebar luas, pelbagai Media Antarabangsa yang hadir untuk membuat liputan dan memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham.

Kini Lima tahun sudah berlalu, Allahyarham sudah selamat diabadikan ke Negara Abadi.

Segala jasa,sumbangan, nasihat dan tunjuk ajar Allahyarham pasti akan dipelihara dan akan kekal diikuti zaman berzaman.

Di doakan semoga Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang beriman dan mendapat keberkatan Illahi serta di tempat kan di Syurga Allah.

Baca yang lain