Analisis: Arsenal Sekali Lagi Dibuli, Dua Fullbacks Chelsea Ancaman Yang ‘Dibiarkan’ Bebas

Secara asasnya kita memang meletakkan Chelsea sebagai pasukan pilihan untuk menang. Namun ini adalah derbi London. Dan Arsenal adalah pasukan nama besar.

Dalam headline saya menggunakan perkataan dibiarkan dengan ada penutup kata merujuk kepada secara taktikal Arsenal seolah olah tak ada idea ataupun pelan taktikal untuk menghentikan ancaman daripada fullbacks tersebut.

Mikel Arteta sudah pasti tahu akan reputasi dua fullback Chelsea itu yang ofensif. Namun dia tak ada idea untuk buat apa dalam perlawanan sebenar. Ataupun pemain dia tidak mengikuti arahan taktikal dengan lebih baik.

Arsenal dibuli

Tiada kata kata lain lagi dapat digunakan selain dibuli secara fizikal. Ianya berlaku dalam perlawanan pertama ketika berdepan dengan Brentford, di mana Arsenal banyak kalah duels.

Kali ini mereka mengalami perkara yang sama. Lukaku memberikan masalah sebesar besarnya kepada Pablo Mari dan Rob Holding.

Pablo Mari di sini tergolek ketika dia cuba menekan Lukaku secara fizikal. Ianya dianggap malapetaka untuk pemain yang jelas diarahkan agar lebih agresif kepada Lukaku.

Pabli Mari memang diarahkan bermain man marking dengan Lukaku. Dan dia gagal melakukan tugasannya dengan baik.

Holding ni kalau kita lihat workrate dia, kita akan anggap dia pekerja yang rajin, namun tiba kepada hasilnya, di situ kita akan meminta dia melakukan kerja dia dengan lebih bijak.

Holding ada di mana mana di atas padang. Namun hasilnya sangat lemah.

Selain itu, di bahagian tengah Granit Xhaka gagal memberikan inspirasi pada kali ini. Malah pemain baru mereka Sambi Lokonga jauh lebih baik daripada beliau kali ini.

Chelsea bergerak laju di sayap bawah

Dengan dua orang fullbacks mereka yang naik dengan cepat, Chelsea overload bahagian sayap dengan segera. Mereka kemudian bergerak dengan sangat laju.

Sokongan  / support dari sayap bawah mereka sangat luar biasa. Harus diakui juga, mereka diberikan ruang sangat banyak di half space.

Arsenal sekali lagi berdepan masalah track back. Cedric Soares dan Kieran Tierney tidak mendapat bantuan daripada pemain sayap untuk merantai serangan daripada James dan juga Marcos Alonso yang merupakan serangan tambahan.

Tierney beberapa kali lari posisi kerana dia membantu di bahagian tengah yang dibuli oleh Mason Mount serta Kai Havertz. Niat murninya itu membuatkan kawasan dia sendiri terdedah.

Ini adalah pelan pertahanan yang sepatutnya mereka lakukan. Dengan Saka dan Pepe seharusnya mengawal Alonso dan James dengan lebih baik dalam membantu Cedric dan juga Tierney agar mereka tidak outnumbered dengan kerap.

Kedua dua gol Chelsea adalah melibatkan pemain sayap bawah Chelsea iaitu dua fullbacks mereka. Gol pertama assist oleh James.

Gol kedua adalah Alonso melepaskan diri daripada kawalan dan menghantar kepada Lukaku. Namun ada cabaran ke atas Lukaku tetapi bola terlepas ke kaki Mount. Dan sekali lagi pemain bek sayap di bahagian kanan, Reece James menjaringkan gol.

Ini adalah kejadian yang menjurus kepada gol pertama. Sebenarnya kedua dua gol itu terhasil dengan taktikal yang sama oleh Chelsea cuma situasi berbeza.

Tierney melakukan tugasannya merantai Mount. Dan lihat situasi Cedric, di mana dia perlu memastikan Havertz untuk dikawal. Namun dia ada Alonso di bahunya.

Pablo Mari seperti dijelaskan di atas, dia bermain man marking dengan Lukaku, dia terus bertindak ke atas pemain itu. Rob Holding tak pasti dia buat apa. Dan garisan pertahanan Arsenal ini sangat teruk. Chelsea tak perlu risau dengan ofsaid selain daripada memiliki ruang dan kelebihan numerikal di half space.

Penyerang Arsenal isolated

Kes yang lebih teruk untuk Arsenal adalah penyerang mereka terpisah daripada organisasi terutama sekali Martinelli.

Smith Rowe cuba memperbaiki lohong tersebut namun usahanya sia sia sebab kebanyakan situasi dia bergerak sendiri tanpa bantuan.

Lihat sendiri heat map di sini, bagaimana Arsenal menjadi U shaped di barisan hadapan mereka.

Barisan tengah Arsenal menunjukkan bahawa mereka gagal berfungsi sebagai satu unit. Dalam bola sepak, apabila pasukan seperti Chelsea menguasai tengah, mereka akan melakukan apa sahaja kepada pasukan kamu.

Arsenal sendiri kita seringkali mengagumi bola sepak mereka era Tun Wenger kerana perkara paling mustahak adalah menguasai tengah. Kalau pun tak total domination sekurang kurangnya jangan didominasi teruk atau dibuli. Sebab itulah dulu Arsenal terkenal dengan ada midfield dynamo seperti Vieira, Adams dan ramai lagi.

Berbalik kepada serangan Arsenal, kemasukan Aubameyang memberikan impak tersendiri pada awalnya. Namun pemain itu kemudian dineutralkan dengan baik oleh Chelsea.

Rumusan

Chelsea lebih baik secara taktikal dan mereka cepat memperbaiki beberapa kesilapan mereka. Misalnya ketika kemasukan Aubameyang, mereka ketika itu agak shut down. Tetapi pantas, mereka terus memperbaikinya secara berpasukan.

Selain itu, Tuchel bukanlah pengurus yang syok sendiri hanya menyerang ketika pasukannya menikmati ruang besar di padang. Kerana dia tahu, terlalu yakin boleh memakan diri. Lalu dia masukkan Kovacic dan Kante untuk memastikan mereka ada fresh leg di tengah ketika bertahan.

Lukaku adalah masalah terbesar Arsenal dalam perlawanan ini. Mengingatkan kita kepada Drogba yang seringkali menjadi masalah utama mereka.