Analisis: Bagaimana Pemergian Van De Beek Akan Memberikan Impak Kepada Man United

Dalam beberapa minggu ini masa depan Donny Van De Beek dibincangkan dengan lebih hangat. Sebelum ini memang isu minit perlawanan pemain itu menjadi topik, tapi selepas Van De Beek menunjukkan reaksi kecewanya di bangku simpanan, maka terus ramai merasakan pemain itu memang sangat marah.

Video pemain itu mengamuk dan menunjukkan reaksi tak puas hati itu tular teruk di media sosial.

Pemain antarabangsa Belanda itu berterusan sukar mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama ataupun sebagai pemain gantian sejak menyertai Man United dari Ajax.

Di mana Man United membelanjakan £35 juta untuk membeli pemain tersebut dengan kontrak 5 tahun.

Sejak menyertai Man United, Van De Beek hanya menjadi kesebelasan utama sebanyak 4 kali sahaja. Musim ini beliau hanya bermain 1 aksi liga iaitu sebagai pemain gantian dalam aksi berdepan Newcastle.

Di mana dalam 15 minit akhir perlawanan masa itu, Van De Beek sangat cemerlang. Selepas aksi cemerlang tersebut, Ole menyatakan bahawa beliau sedia memberikan Van De Beek lebih minit perlawanan.

Ole ketika itu berkata: “Donny [van de Beek] merasai minit pertama dengan adanya penyokong, bagaimana rasanya menjadi pemain United. Dia pemain yang terus bekerja keras, seorang yang sangat profesional. Insan terpuji dan dia akan mendapat lebih banyak minit selepas ini.”

Walaupun Van De Beek bermain dalam aksi berdepan West Ham dan Young Boys, pemain itu masih kecewa dengan peluang yang terlalu terhad.

Penyokong Man united merakamkan detik di mana Van De Beek melepaskan kekecewaannya ketika aksi bertemu Villarreal.

Van De Beek pada awalnya diminta memanaskan badan. Namun Ole memutuskan untuk menggunakan Fred berbanding dengan Van De Beek. Fred dimasukkan bersama sama dengan Jesse Lingard.

Van De Beek kemudian membuka bibnya dengan keadaan sangat sugul dan membaling gula gula getah sambil menunjukkan kekecewaannya.

Di bangku simpanan Van De Beek sangat marah dan terpaksa ditenangkan oleh rakan rakannya.

Tidak lama selepas Ole membuat pertukaran itu, Fred dan Lingard terlibat langsung dalam gol kemenangan Cristiano Ronaldo pada masa kecederaan.

Saksikan detik Van De Beek kecewa di sini:

Ramai peminat Man United simpati dengan nasib Van De Beek. Dan mereka menerima kalau pemain itu pergi pada Januari ini ke kelab lain. Kerana ternyata di Man United Ole Gunnar Solskjaer tidak ada tanda tanda akan menjadikannya pemain penting dalam kesebelasan utama.

Ada beberapa persoalan yang timbul?

Kenapa Ole Gunnar Solskjaer membeli Donny Van De Beek?

Topik ini agak menarik kerana sebenarnya Donny Van De Beek bukan pilihan utama Ole Gunnar Solskjaer pada ketika itu. Kegagalan mendapatkan pemain seperti Declan Rice membuatkan Man United menandatangani pemain itu kerana reputasinya bersama Ajax.

Ini ditambah dengan kehadiran Van Der Sarr yang menjadi pemudah cara perpindahan Van De Beek ke Old Trafford.

Selain itu, dengan masa depan Pogba yang terus menjadi tanda tanya. Kerana pemain itu pada ketika itu menyatakan dia mahu ke Real Madrid.

Jadi, Van De Beek dianggap alternatif dan sandaran yang bagus jika Pogba tak perform ataupun mendessak perpindahan keluar.

Namun kehadiran Van De Beek di Man United hanya membuatkan pemain itu menjadi pemanas bangku simpanan.

Beliau jelas sekali di belakang Bruno Fernandes dan Paul Pogba dalam sistem permainan Man United.

Di posisi lebih defensif, Ole Gunnar Solskjaer lebih memilih Fred, Scott McTominay dan juga Matic.

Itu kita faham kerana Van De Beek adalah pemain no.10 dan paling bawah dia boleh turun adalah sebagai no.8.

Ketidakgembiraan mulai terpancar pada Van De Beek. Kerana beliau malah gagal menjadi pemain pilihan kedua di mana mana posisi. Bukan sahaja di PL ataupun EPL, beliau turut kurang diberikan tempat dalam piala domestik.

Kegagalan Van de Beek di United ini sangat mirip kepada kegagalan Ramsey di Juventus. Pemain dari sistem yang di luar sistem jurulatih tetapi ditandatangani kerana reputasinya.

Ini adalah pola purata posisi VDB ketika di Ajax. Peranan ini adalah milik Bruno Fernandes di Man United.

Dan jika Bruno tidak dapat bermain , peranan ini milik Pogba dan Ole akan menambah seorang lagi DM untuk menjadi double pivot.

Impak Van De Beek

Van De Beek memberikan squad depth yang bagus kepada Man United yang bergantung kepada fluiditi Bruno Fernandes dan Paul Pogba. Jika difikirkan, dalam pasukan yang ada pada hari ini, Van De Beek adalah pemain yang paling hampir untuk menampung kualiti Fernandes dan Pogba apabila dua pemain itu tidak tersedia untuk beraksi.

Ini kerana dua pemain tersebut adalah pemain no.8 dan hampir kepada 10.

Seterusnya, mungkin ramai hanya melihat kehadirannya hanyalah di bangku simpanan. Tapi sebenarnya, sejak kehadiran Van De Beek, pemain seperti Paul Pogba lebih konsisten dengan prestasinya.

Adakah ianya kebetulan? Ini kerana persaingan daripada Van De Beek di latihan membuatkan pemain itu sedar, kualiti yang harus dijelmakannya.

Ketika Van De Beek tiba di Old Trafford, Pogba terus mengisytihar bahawa dia akan terus berjuang untuk menjadi pemain utama United.

Pemergian Van De Beek akan membuatkan dua aspek di atas ini akan terkesan.

Mungkin ianya tidak ketara ketika ini kerana Fernandes sangat fit. Dia antara pemain paling cergas di dunia pada ketika ini, bermain banyak perlawanan.

Pengurusan Ole Gunnar Solskjaer

Jadi, amat penting untuk Ole Gunnar Solskjaer berlajar daripada Van De Beek. Maksudnya di sini, mencontohi apa yang pernah dilakukan mentornya dahulu, Sir Alex Ferguson.

Di mana SAF menyatakan bahawa, pada satu ketika dia kena belajar dari Ronaldo. Belajar mencari solusi taktikal baharu dengan corak permainan Ronaldo yang berbeza dengan pemain sisi klasik seperti Beckham.

Berbeza dengan Ole Gunnar Solskjaer, apabil Bruno atau Pogba tidak bergandingan bersama, dia akan lebih menekankan aspek taktikal lebih defensif dan mengubah sistemnya kepada dua pivot yang statik.

Ole Gunnar Solskjaer ada menyatakan bahawa, dia faham apa yang Van De Beek pasrahkan kerana menurutnya, tiada pemain lain lebih faham perasaan duduk di bangku simpanan kalau bukan dia sendiri. Merujuk kepada dirinya yang menjadi depth player dan super sub.

Namun pengurusan Sir Alex Ferguson dahulu lebih bagus dalam menguruskan minit Ole. Itu yang kita tak nampak pada Van De Beek.

Mungkin pemain ini bukan pemain yang akan menjadi pemain utama sistemnya. Namun apabila pemain terus diberikan peluang dan cuba mencari titik tengah antara konflik taktikal dan peranan pemain, ianya akan memberikan lebih manfaat.

Jika Man United nak lepaskan Van De Beek pun, pastinya ada harga, jika dia diberikan peluang lebih banyak.

Juventus dan beberapa kelab lain dikatakan berminat dengan Van De Beek. Solusi hati ke hati harus dibuat. Mungkin Ole harus menerima tawaran daripada kelab lain jika dia memang tak akan mengubah pengurusan pasukan dan taktikalnya.

Kita memahami kalau Ole tak nak menjadikan UCL ataupun EPL sebagai medan eksperimen. Namun dalam semusim ada banyak perlawanan dalam kategori dianggap winnable di kesemua pertandingan. Takkanlah tak boleh nak bagi peluang lebih banyak kepada Van De Beek?

Baca yang lain