Analisis: Bagaimana Ten Hag Meneutralkan Sistem ‘Overload’ Guardiola

Ketika Man United dilaporkan sedia untuk memecatnya, Erik Ten Hag menunjukkan kepada dunia kenapa dia berhak untuk terus kekal di kelab itu.

Ten Hag ada jawapan yang bagus untuk taktikal Pep Guardiola pada aksi final Piala FA 2023/24 Sabtu lalu.

Meneutralkan Man City

Manchester United meneutralkan gerakan Man City di blok rendah. Mereka tidak kisah dengan penguasaan bola Man City. Paling penting adalah ruang di dalam kotak penalti.

Heatmap ini menunjukkan fokus utama Man United adalah melindungi zon bawah mereka. Membuatkan Man City tidak banyak sentuhan dalam kotak penalti.

Ten Hag sedar pasukannya tak akan mampu menandingi Man City dalam aspek penguasaan bola. Jadi mereka selesa untuk berkampung di kawasan sendiri ketika City memiliki penguasaan bola.

Man City boleh menguasai bola seberapa banyak mereka mahu, Man United cuma mengaktifkan duel di zon yang ditandakakan ini, atau tight area, zon 14. Yang sebelah tepi itu mereka biarkan.

Idea dia adalah untuk mengelakkan Man City overload bahagian tersebut dan ia akan membuatkan City melakukan lebih banyak permainan kombinasi.

Meneutralkan De Bruyne dan Foden

Seterusnya mereka meneutralkan impak pada Kevin De Bruyne dan Foden di belakang Erling Haaland. Menentang Man City perlu memastikan rantaian dengan penyerang diputuskan.

Haaland gagal memberikan impak sepatutnya dalam perlawanan ini. Dia ada momen penting namun tidak memberikan impak lebih baik.

Selain itu pemain seperti Kobe Mainoo dan McTominay juga bekerja keras dalam mematikan impak Foden, De Bruyne dan Bernardo Silva yang dilihat sebagai pemain lebih atas di dalam sistem permainan tengah Man City.

Seterusnya Amrabat sentiasa sedia untuk ‘covering’ rakan rakan dia di belakang untuk memberikan perlindungan ekstra.

Ini adalah shape ketika United bertahan dengan 4-1-4-1, ketika Amrabat bertindak untuk melindungi back 4.

Perlawanan ini mungkin yang pertama anda lihat Marcus Rashford benar benar rajin membantu pertahanan. Dia sentiasa bersama dengan organisasi pasukan.

Dengan sistem yang menekankan pertahanan kompak di zon tengah dan half space, Man City perlu mencari cara lain untuk beroperasi.

Dan seperti biasa, Man City sentiasa ada cara tersebut. Di mana mereka tetap berjaya menghasilkan gol menerusi Doku.

City meningkatkan lagi kesegeraan mereka dalam menghantar bola dan meningkatkan intensiti dalam gerakan mereka.

Malangnya Man United selepas bolos, kembali fokus dan akhirnya City gagal untuk mendapatkan gol kedua.

Kualiti peluang

Perkara ini yang benar benar membezakan kedua dua pasukan. Man United tidak banyak peluang namun mereka ada kualiti peluang lebih baik.

Paling penting adalah kualiti larian daripada Garnacho. Pemain yang diketahui memiliki kelajuan.

Kelajuan Garnacho dimanfaatkan sebaiknya oleh Ten Hag.  Larian awal Garnacho ini bukan satu kebetulan. Ianya memang sebahagian daripada sistem permainan United. Sebab itu  hantaran itu dilakukan kerana ada naluri permainan pada pemain di belakang bahawa akan ada larian awal dibuat.

Salah satu larian menghasilkan gol dan satu lagi turut menghasilkan gol namun ofsaid.

Gol pertama United adalah kesilapan daripada Gvardiol yang merasai tekanan daripada gerakan Garnacho ini.

Gol kedua adalah kegeniusan Garnacho untuk berlari pada masa yang tepat dan membuat keputusan lebih baik di final third.

Gol kedua adalah berkaitan dengan tindakan segera menghantar bola. Garnacho melihat Bruno Fernandes di tengah dan terus memberikan bola yang baik kepada pemain itu.

Keputusan cepat dibuat Fernandes juga sangat penting. Jika dia melengahkan hantaran itu, kemungkinan Kobe Mainoo akan kehilangan ruang besar tersebut.

Kyle Walker di sini membiarkan Mainoo mendapat ruang di hadapannya. Dan Fernandes dengan visi yang tinggi mengesan ruang dan rakannya itu.

Rumusan

Ianya adalah kemenangan kerana disiplin bertahan menentang pasukan yang dahagakan penguasaan dan aktif menyerang lawan.

Ten Hag memiliki persiapan taktikal yang baik berdepan dengan badai di Wembley. Untuk menang ke atas City dalam aksi seperti ini, anda harus berkorban dan menderita.

Dan pemain pemain United sudah sedia melakukannya dan berjaya melakukannya. Mereka menyingkirkan musuh tradisi mereka Liverpool sebelum ini dan menang menentang jiran tetangga yang juga musuh derbi, Man City.