Analisis: Elemen Toni Kroos Dan Intensiti Jerman Lemaskan Scotland

Jerman memulakan aksi dengan kemenangan 5-1 ke atas Scotland. Ini adalah analisis ringkas daripada perllawanan awal pagi tadi.

Taktikal Nagelsmann

Jerman ada pendekatan taktikal yang jauh lebih baik berbanding dengan Scotland. Di mana skuad bimbingan Steve Clarke bermain dengan sangat teruk sepanjang perlawanan.

Jerman berhadapan dengan blok pertahanan Scotland yang bertahan dengan 8 ke 9 pemain di belakang bola dalam rantaian 5-4-1.

Namun Jerman berjaya memecahkan tembok tersebut berkali kali. Nagelsmann mengarahkan pemain pemainnya untuk segera menyerang kotak penalti Scotland.

Kekuatan utama Jerman pada fasa serangan adalah dari bahagian sayap kanan yang digerakkan Jamal Musiala.

Dia menjadi pemain yang paling lincah dan berbahaya ketika ada bola di kakinya.

Intensiti pasukan Jerman, terutama sekali pada separuh masa pertama tidak dapat dibendung oleh Scotland.

Gundogan sendiri mengakui mereka menekankan intensiti tinggi dan cuba untuk mencipta ruang dengan sebanyak mungkin. Ianya sedikit berisiko dengan menolak pemain mereka terlalu ramai ke atas, namun Gundogan mengakui akhirnya mereka melakukannya dengan sangat baik. Membuatkan Scotland tidak dapat keluar untuk melakukan serangan balas.

Prestasi Mittelstadt

Satu lagi pakej kejutan yang menarik adalah tindakan Nagelsmann menurunkan Mittelstadt. Pemain yang hanya dibeli dengan nilai €500 ribu oleh Stuttgart itu menggunakan kesempatan yang diberikan kepadanya sebagai pemain kesebelasan utama dengan sangat baik.

Dia banyak membantu dalam melicinkan lagi serangan pasukan Jerman. Terutama sekali memberikan sokongan kepada Florian Wirtz.

Gaya permainan Stuttgart yang berteraskan permainan intensif juga di bawah kendalian Sebastian Hoeness membuatkan dia dengan mudah menyesuaikan diri dengan skuad Jerman ini.

Di Stuttgart dia adalah pemain yang serba boleh. Efektif ketika menyerang dan bertahan. Membuatkan penganalisis melabel dia sebagai all rounder. Larian derasnya sentiasa menjadi ancaman kepada lawan.

Ketika Nagelsmann mengumumkan namanya dalam skuad Euro 2024, ramai peminat Jerman sendiri mempersoalkan keputusan itu. Daripada aksinya pada perlawanan pembukaan menentang Scotland, membuktikan bahawa dia berhak untuk berada dalam skuad ini.

Pengaruh Toni Kroos

Membawa pulang ‘kuda tua’ Toni Kroos kembali ke dalam pasukan ini sebagai Euro terakhirnya adalah perkara yang tepat. Dia menjadi pemain paling berpengaruh dari segi hantaran dan menukar arah pemainan.

Kroos memiliki kadar hantaran yang sangat luar biasa dalam perlawanan ini. Membantu mengolah serangan dari tengah tanpa perlu menghampiri kotak penalti. Menjadikan dia maestro sebenar.

Dia memiliki kadar ketepatan hantaran 99% sepanjang perlawanan ini daripada 102 hantaran yang dia lakukan.

Menjadikan dia benar benar elegan di tengah dengan corak permainan yang tipikal Toni Kroos. Menerima bola dan menghantarnya semula dengan segera ke semua penjuru di dalam padang.

Dengan prestasinya yang ada ini, kita tertanya tanya, ‘kenapa dia bersara?’.

Scotland bermain dengan teruk

Kita memahami jika Scotland datang dengan taktikal yang defensif. Tengok formasi 5-4-1 mereka sahaja dah tahu bagaiman cara mereka bermain.

Namun mereka sangat teruk. Ketika bertahan mereka langsung tidak ada sinergi yang baik. Memberikan Jerman banyak ruang untuk melakukan percubaan bahaya.

Lebih teruk pemain mereka dibuang padang pada separuh masa pertama kerana tidak berdisiplin ketika bertahan.

Dari segi serangan, mereka bergantung kepada serangan balas, namun tidak ada sebarang ancaman mereka lakukan.  Di tengah mereka tidak beraksi dengan baik.

Kemudian, mereka juga sangat teruk ketika situasi bola mati. Langsung tiada ancaman. Mujur mereka membawa pulang 1 gol hasil kesilapan pertahanan lawan.

Satu statistik dan fakta yang menarik. Scotland hanya melakukan 1 percubaan sepanjang malam. Dan tanpa sebarang on target. Membuatkan Neuer lebih terancam dengan bola yang ditampan masuk oleh Rudiger berbanding ancaman Scotland.

Prestasi Angus Gunn di hadapan gawang Scotland selain daripada kebocoran di pertahanan juga meresahkan peminat mereka. Penjaga gol mereka beberapa kali menunjukkan kesilapan dan tidak cukup kental untuk berkawal di hadapan gawang.

Rumusan

Jerman menang segalanya dalam perlawanan ini. Scotland pula bermain dengan sia sia kerana pendekatan permainan yang hambar dan tidak cukup keinginan untuk melakukan sesuatu.

Satu satunya perkara terbaik daripada Scotland adalah penyokong setia mereka yang kekal vokal di dalam stadium walaupun pasukan mereka dibelasah di atas padang.

Julian Nagelsmann berjaya dalam tugasan pertamanya dengan anak anak buahnya. Apa yang pasti skuad Jerman ini benar benar lebih intensif dengan generasi muda berbakat seperti Wirtz dan Musiala menjadi tunjang serangan mereka.