Analisis: England Bagus Hentikan Mbappe, Namun Perancis Ada Griezmann!

Gareth Southgate sebenarnya sudah menyediakan perancangan terbaik untuk menghentikan ancaman Kylian Mbappe. Namun malangnya, Deschamps sentiasa ada cara untuk membuatkan lawan mereka dihukum kerana terlalu fokus kepada bintang serangan utama mereka.

Kebiasaannya, senjata rahsia Deschamps adalah Olivier Giroud yang seringkali muncul ketika Mbappe dikunci lawan.

Southgate menggunakan formasi 4-3-3 dalam perlawanan ini. Tidak menggunakan sistem back 3 dengan wingback. Kerana Mbappe pastinya suka menewaskan wingback dan pergi 1 v 1 dengan bek tengah,

England melakukan tugas yang baik untuk merantai Kylian Mbappe. Mbappe masih menghadirkan beberapa ancaman daripada permainan terbuka tetapi dia melakukan satu percubaan sepanjang 90 minit aksi.

Sedangkan dalam perlawanan sebelum ini dia secara purata melakukan 5 percubaan dalam 3 perlawanan terakhirnya.

Giroud menjadi plan B atau C untuk Perancis yang akan mengaktifkan sistem target man secara lebih kuat.

Mereka akan cuba untuk meningkatkan lagi jumlah cross ke dalam kotak penalti.

Seorang lagi pemain penting Perancis dalam perlawanan ini adalah Antoine Griezmann.

Peranan Griezmann

England mungkin tidak begitu memberikan perhatian kepada Griezmann. Kerana statusnya dalam pasukan Perancis kali ini lebih low profile berbanding tumpuan kepadanya pada 4 tahun lalu.

Tidak begitu diberikan perhatian oleh lawan sebenarnya banyak memberikan manfaat kepada Griezmann yang dianggap menjadi second fiddle di atas padang berbanding dengan layanan lawan ke atasnya sebagai ancaman utama sebelum ini.

Dalam perlawanan ini Griezmann bergerak bebas, turun, naik, mencipta peluang dan juga membuka ruang.

Peranannya adalah untuk menghidupkan sistem target man yang ada Giroud.

Dia sudah bertahun tahun bermain sistem ini di Atletico dengan ada pemain seperti Diego Costa, Alvaro Morata dan ramai lagi.

Dia benar benar tahu apa yang harus dia lakukan. Lihatlah detik dia melakukan assist kemenangan ini. Dia tidak melihat langsung kedudukan kawannya, dia cuma melakukannya sebagai satu rutin dan naluri.

Media tertumpu kepada kegagalan Kane melakukan penalti, malah cara Mbappe meraikan kegagalan penalti Kane. Tak ramai memberikan perhatian peranan Griezmann ini.

Lihat catatan statistiknya dalam perlawanan ini:

Gila bukan? Memenangi 100% bentesan bola ataupun membuat semua bentesan bersih. Seterusnya memenangi kesemua pertarungan duel dengan lawannya. 2 assist daripada 2 hantaran kunci.

Griezmann bukan pemain yang aktif memburu gol seperti beberapa tahun lalu. Harus diakui dia agak bergelut dengan prestasi di hadapan gol. Namun dari segi kegeniusan menjadi pemain sokongan atau auxiliary striker mahupun disebut second striker, dia benar benar genius dan cerdas.

Seperti yang kita tahu, Giroud akan sentiasa memberikan impak jika dia diberikan servis sebaiknya. Dan itulah sebabnya kenapa Griezmann sebenarnya memainkan peranan sangat penting dalam perlawanan ini.

Sepanjang perlawanan anda akan melihat Mbappe sangat tenang dengan rantaian kuat dikenakan ke atasnya. Begitu juga Deschamps yang tidak langsung cuba menukar apa apa peranan Mbappe. Kerana dia tahu, semakin lama England bertumpu kepada Mbappe semakin banyak ruang yang Griezmann ada untuk menyerlahkan dirinya.

England harus diakui bermain dengan lebih baik. Namun apabila tiba kepada isu keberkesanan dan impak di depan gol, Perancis adalah lebih baik.

Griezmann nampaknya menjadi nama yang benar benar seperti ada udang di sebalik batu dalam pasukan Perancis.

Jadi lepas ni fokus kepada Griezmann selain Mbappe.