Analisis: Kenali Nicolas Jover Yang Menjadikan Arsenal ‘Corner King’

Arsenal terus menunjukkan ancaman mereka menerusi bola mati musim ini. Sejak 2 musim lalu lagi Arsenal menjadi pasukan yang sangat bahaya daripada situasi bola mati.

Bola mati ni merujuk kepada sepakan penjuru, sepakan percuma, lontaran ke dalam dan sebagainya.

Arsenal seringkali dikritik kerana melambatkan bola mati mereka. Tidak kira, lontaran ke dalam atau sepakan percuma, mahupun sepakan penjuru.

Semuanya kerana mereka mahu membina organisasi taktikal mereka ketika bola mati. Bagi mereka, lontaran ke dalam punn harus dibuat dengan taktikal sistematik.

Liverpool sebelum ini pernah melantik jurulatih khas untuk lontaran ke dalam. Ketika itu juga dipandang pelik. Namun bola sepak moden adalah tenting setiap butiran termasuk yang paling kecil.

Kini Arsenal memiliki ancaman yang sangat kuat daripada bola mati terutama sekali sepakan penjuru. Pemain seperti Gabriel Magalhaes antara pemain yang benar benar memanfaatkan sistem ini dengan sangat baik.

Kenapa Arsenal begitu bahaya?

Kredit harus diberikan kepada Mikel Arteta sendiri. Kerana dia menyedari bahawa aspek set piece harus dipandang lebih serius. Lalu dia melantik Nicolas Jover sebagai jurulatih bola mati pasukan Arsenal.

Pada musim 2020/21, Arsenal cuma menjaringkan 5 gol daripada set pieces. Ianya ketiga paling rendah di kalangan pasukan EPL musim itu.

Angka itu mencanak menjadi 16 dan 15 dalam 2 musim berikutnya, masing masing. Semuanya berlaku selepas kelab melantik Nicolas Jover.

Jadi tidak hairanlah kenapa setiap kali bola mati, Jover yang akan mengambil alih daripada Arteta. Dengan Arteta akan berdiri di belakangnya memberikan kuasa mutlak kepada Jover untuk menjadi ‘pengurus’.

Perlantikan yang awalnya dianggap pelik. Namun ternyata ianya memberikan impak luar biasa. Menjadikan Arsenal pencabar kejuaraan liga musim lalu dan musim ini.

Malah pada awal laman Premier League mengiktiraf Arsenal sebagai corner king. Dengan 2 gol daripada sepakan penjuru menentang Man United baru baru ini menjadikan rekod kelab itu mencetak 22 gol daripada sepakan penjuru sejak musim lalu. Dan ianya lebih 7 gol berbanding kelab lain.

Legenda Man United, Dmitar Berbatov menyatakan dia agak terkejut kerana tidak sangka pasukan seperti Arsenal boleh menjadi ‘The New Stoke’ pada ketika ini.

Berbatov Label Arsenal Sebagai ‘The New Stoke City’

Merujuk kepada ancaman Arsenal dalam sepakan penjuru dengan pemain pemain mereka sangat agresif dan mengancam gol lawan.

Ini antara contoh taktikal sepakan penjuru Arsenal. Mereka akan meletakkan pemain di belakang tiang gol belakang. Membuatkan lawan mereka sukar untuk membuat man marking.

Bagi pasukan yang bermain zonal marking, mereka akan fokus kepada kawalan zon namun Arsenal akan melakukan ancaman mengejut dari belakang ketika bola dilepaskan oleh pengambil sepakan sudut.

Ketika inilah berlaku huru hara dalam kotak penalti dan pemain lawan akan kehilangan bentuk formasi pertahanan dan organisasi.

Sepakan penjuru akan di hantar ke hadapan gawang lawan dan mereka akan terus bergerak.

Jover sebelum ini bertugas di Montpelier, Croatia dan Brentford. Dan kedua duanya berkenalan ketika masing masing menjadi pembantu Pep Guardiola di Man City. Dan Arteta menjadikan dia sasaran untuk dibawa masuk ke Arsenal ketika pengurus itu mendapat tawaran dari Emirates.

Arteta memujuk Jover untuk menyertainya di Arsenal. Dia meyakinkan Jover untuk menyertai projeknya di Arsenal.

Bercakap kepada TNT Sports pada ketika itu, Arteta menjelaskan kepentingan Jover kepada taktikal Arsenal.

“Sejak dari dulu saya rasa bola mati sangat penting, terutama sekali ketika saya di Manchester City. Saya percaya bahawa kami perlukan seseorang yang pakar dalam bidang itu.

“Dan saya memberikan cadangan untuk merekrut Nico. Saya berjumpa dengan dia dan kami mulai berbincang bagaimana kami boleh mengaplikasikan bola mati kepada permainan terbuka, ianya harus berhubung kerana ianya bukan 2 perkara yang harus dipisahkan.

“Semuanya berhubung dalam permainan dan bagaimana kami mahu memaksimumkan impaknya.

“Saya dah lama kenal Nico sebelum  ini. Dan saya meminta dia untuk datang dan menyertai projek kami. Dan dia setuju, dia telah memberikan impak yang benar benar berkesan ke dalam pasukan kami.

“Segalanya bergerak, dan beradaptasi. Lawan kami sangat bijak. Mereka melihat segalanya.

“Ada hari mereka bertahan dengan cara lain dan hari lain, mereka bertahan dengan cara lain, mereka menyesuaikan diri, jadi kamu pun harus beradaptasi.”