Penang hampir menamatkan perlawanan dengan megutip 3 mata namun Kedah meningkat menjadi lebih baik pada separuh masa kedua dan berjaya menjaringkan gol penyamaan melalui kuisan unik dari Kpah Sherman.
Perlawanan bermula dengan Penang terlebih dahulu melakukan percubaan bahaya melalui tandukan Casagrande pada minit ke-9, hasil hantaran Al-Hafiz tetapi dapat diselamatkan oleh Shahril Saari.
Seminit selepas itu hantaran jauh dari pertahanan kanan Penang, Quentin Cheng terus kepada Casagrande dan dia melepaskan satu percubaan dari sudut sukar.
Shahril gagal menolak dengan kemas dan menuju ke kaki Endrick dos Santos yang tidak dikawal. Pemain berusia 26 tahun itu mudah menolak masuk ke dalam gawang Kedah untuk memberi pendahuluan kepada Penang.
Pada minit ke-21 hingga ke-24 Penang menjadi lebih garang apabila melakukan 3 lagi percubaan, melalui tandukan Rafael Victor dan 2 kali rembatan luar kotak penalti dari Sheriddin Boboev. Kesemua tepat ke dakapan Shahril.
Selepas itu Kedah menutup separuh masa pertama dengan 4 percubaan tepat. Samuel Sommerville cemerlang dengan menghadang kesemua percubaan tersebut.
Bermula babak ke-2 Kedah melakukan perubahan dengan memasukan Rozaimi Abdul Rahman bagi menggantikan Faizat Ghazli. Detik peningkatan Kedah berlaku ketika Penang mengeluarkan Sheriddin dengan memasukan Jafri Firdaus Chew minit ke-65. Ia menjadi lebih baik apabila Azamuddin masuk.
Penang sebelum itu agak aktif di bahagian sayap dengan gerakan lincah dari Sheriddin dan Al-Hafiz Hamzah.
Percaturan Aidil Sharin menggantikan 3 pemain lagi membuahkan hasil. Azamuddin Akil yang masuk pada ke-84 menghasilkan satu hantaran lintang baik untuk Sherman menguis masuk menewaskan Sommerville.
Kedah melakukan serangan kuat pada 10 minit terakhir perlawanan. Azamuddin kerap melakukan hantaran lintang ke dalam kotak penalti lawan terutamanya di kawasan 6 ela.
Penang pula mempunyai peluang untuk melancarkan serangan pantas kerana ruang pertahanan Kedah terbuka kerana pemainnya ramai naik ke atas untuk mencari jaringan kemenangan.
Namun mereka menjadi perlahan apabila bola singgah ke kaki Jafri. Berikut adalah 5 perkara yang anda perlu ketahui dalam perlawanan ini.
1.AL-HAFIZ HARUN DEBUT KESEBELASAN UTAMA & CEMERLANG
Pemain sayap kanan ini antara pemain paling mencuri perhatian dalam perlawanan ini. Sering melakukan larian pantas sepanjang perlawanan dan dia banyak melakukan hantaran lintang baik dari posisi tersebut.
Al-Hafiz juga baik dalam bertahan. Dia melakukan 1 hadangan bagus ketika Kedah melakukan satu percubaan bahaya. Al-Hafiz juga akan bertahan di kawasan middle third, 1 kes yang mudah diingat ketika dia melakukan sliding tackle ke atas Sherman di tepi padang. Sherman agak marah menggangunya melakukan larian walaupun ia tackle bersih dan sempurna.
Perlawanan ini merupakan kali pertama dia diturunkan dalam kesebelasan utama. Sebelum ini Thomas Truca menggunakan Amer Azahar. Pada musim lepas Manzoor Azwira menggunakan Al-Hafiz dibahagian sayap kiri.
Selepas perlawanan semalam, Al-Hafiz menjadi pemain paling menghiburkan untuk ditonton. Seorang lagi pemain yang mendapat debut kesebelasan utama ialah Azwan Aripin (pertahanan kiri).
2.MASALAH PERTAHANAN TENGAH KEDAH
Umum mengetahui Kedah mempunyai masalah pertahanan sejak perlawanan pertama liga. Renan Alves masih belum cergas selepas 3 perlawanan dilangsungkan.
Syazwan Tajuddin pula cedera pada perlawanan pertama menentang JDT. Aidil cuma mempunyai 1 pertahanan yang kurang pengalaman bermain di pentas tertinggi iaitu Zulkhairi Zulkeply dan 1 pertahanan muda Loqman Hakim Marzuki.
Aidil memilih untuk menggunakan Amirul Hisyam Awang Kechik bertindak di posisi itu bergandingan dengan Rodney Celvin yang dipinjam dari Selangor.
Jaringan Penang berlaku dengan situasi Amirul menekan Casagrande. Endrick berlari dari belakang Rodney dan pemain ini tidak menyedari ancaman tersbut.
Kombinasi pertahanan ini perlu ditingkatkan lagi dalam perlawanan akan datang.
3.PERANAN 3 PEMAIN TENGAH KEDAH KURANG JELAS
Kedah menggunakan sistem 3 pemain tengah, sama seperti Penang. Tetapi fungsi pemain tengah Penang lebih jelas. David Rowley dan Endrick sering naik keatas bagi membantu unit serangan mereka. Kadang-kadang masuk ke dalam kotak penalti.
Khairu Azrin Razali sepenuh masa membantu bahagian pertahanan. Jaringan Penang juga berlaku apabila Endrick masuk ke dalam kotak penalti Kedah, satu gerakan menyerang yang baik.
3 pemain tengah Kedah agak flat dan drop deep. Anumanthan Mohan Kumar tidak dijadikan gandar pasukan. Pertahanan Kedah tidak mahu memberi bola kepadanya secara kerap untuk membina serangan.
Anumanthan sering turun untuk mendapatkan bola dari garisan pertahanan tetapi pemain dari posisi tersebut lebih gemar menghantar ke 3 pemain atas secara terus.
4.SHAHRIL DAN SOMMERVILLE CEMERLANG
Dalam perlawanan liga super kali ini kita beberapa kali melihat kesilapan penjaga gol dari pasukan yang bertanding. Helmi Eliza melakukan blunder paling dasyat pada perlawanan lepas.
Pertemuan kali ini, Shahril dan Sommerville menunjukkan kualiti penjaga gol yang agak baik. Hampir kesemua percubaan, mereka berdua berada dalam positioning betul.
Jaringan Penang berlaku selepas Shahril berjaya melakukan tampanan cemerlang cuma arah bola itu tidak memihak kepadanya. Jaringan Kedah pula menyaksikan Sommerville sudah memberi tekanan kepada Sherman.
Sama seperti Shahril, Sommerville juga tidak bernasib baik apabila Sherman berjaya menguis bola masuk dengan cara begitu sukar dan pelik.
5.JAFRI PERLU BERKERJA LEBIH KERAS, AZAMUDDIN GAME CHANGER
Antara topik menarik perhatian adalah persembahan Jafri. Dia mempunyai reputasi tinggi berstatus pemain utama skuad Malaysia B23.
Namun prestasinya agak mengecewakan, tempo permainannya tidak selari dengan tempo permainan pasukan. Dia gagal menyamai apa yang dilakukan oleh Sheriddin malahan jauh lebih perlahan dari Al-Hafiz.
Penang mempunyai peluang luas ketika Kedah melakukan serangan kuat pada lewat permainan. Ruang pertahanan Kedah terbuka namun Jafri sering memilih untuk memperlahankan tempo ketika mendapat bola.
Penyokong Penang mungkin kecewa melihat pasukan ini mempunyai 2 kali peluang meletakkan situasi 1 vs 1 berdepan Shahril tetapi Jafri memilih untuk terus memegang bola tanpa tujuan.
Semetara itu kemasukan Azamuddin menyaksikan dia melakukan banyak set up crossing kedalam kotak penalti lawan, hantaran lintang pertama darinya sudah menghasilkan gol penyamaan.
RUMUSAN
Kedua-dua pasukan telah mengutip 4 mata dari 3 perlawanan. Trucha hampir mengenalpasti kesebelasan utama mereka. Dalam tempoh sedekad Penang sudah beberapa kali jatuh ke Liga Perdana dan mendapat promosi.
Permainan Penang kali ini antara yang terbaik dalam tahun pertama mereka dipromosi.
Gandingan Rowley-Endrick semakin berkesan. Mereka bergilir-gilir naik menyerang kotak penalti lawan. Prestasi Al-Hafiz dan Sheriddin mampu membuatkan lawan pening kepala. Tidak lupa juga kepada target man mereka Casagrande yang selalu menang bola di udara.
Aidil pula perlu memperkemaskan jentera tengah mereka dengan menampilkan peranan yang lebih jelas terutama kepada Badrrol Bakhtiar dan Anumanthan.
Disamping itu Kedah perlu berharap Alves dan Syazwan kembali cergas secepat mungkin kerana jadual perlawanan agak padat selama 2 bulan ini. Pilihan pemain mereka di posisi itu agak terhad.
APA SETERUSNYA…
Selang 2-3 hari lagi Kedah bakal melayan kunjungan PJ City yang menggunakan 100% pemain tempatan sementara itu Penang akan berkunjung ke Shah Alam bertemu UiTM.
Kedua-dua pasukan mempunyai peluang cerah mengutip 3 mata jika mereka mengekalkan prestasi terbaik.
Selamat maju jaya kepada kedua-dua pasukan.