Analisis Perpindahan Achraf Hakimi Ke Inter Milan

Real Madrid mengesahkan telah menjual Achraf Hakimi kepada Inter Milan. Hakimi dilabelkan salah seorang pemain pertahanan sisi terbaik di dunia itu dijual pada harga £ 40.5 juta (+ £ 5 juta).

“Kelab ingin mengucapkan terima kasih kepada Achraf atas dedikasi, profesional dan teladan melalui tingkah lakunya sepanjang berada di akademi sejak 2006.” petikan halaman rasmi Real Madrid

Hakimi membuat 17 penampilan bersama Los Blancos pada musim 2017/18 dan dia merupakan sebahagian pemain yang memenangi Liga Juara-Juara dan Piala Dunia Kelab.

Hakimi yang berusia 21 tahun mendapat banyak perhatian dari beberapa kelab besar. Pep Guardiola pernah dikaitkan untuk membawa pemain ini ke Etihad bagi mengimbangi pemainnya yang cedera.

Arsenal, Chelsea dan Bayern Munich antara kelab yang dikaitkan dengan pemain kelahiran Magribi itu.

Hakimi gagal mendapat tempat di Santiago Barnebeu kerana Zinedine Zidane lebih mempercayai Dani Calvajal untuk mengisi posisi pertahanan kanan.

Pada satu masa Hakimi berharap dia mampu menjadi pemain utama pasukan itu tetapi tidak kesampaian.

“Saya tidak boleh berbohong, tentu saja saya ingin berjaya di Madrid. Ini adalah rumah saya.”

“Tetapi jika itu tidak berlaku, saya akan berusaha untuk berjaya di tempat lain.” kata Hakimi kepada AS Spain

Hakimi dipinjamkan ke Borussia Dortmund selama 2 musim, namun Dortmund tidak mengeluarkan minat untuk membeli pemain ini secara kekal.

Dortmund memilih untuk membawa masuk pemain dari Paris Saint Germain, Thomas Munier secara percuma bagi menggantikan tempat yang akan ditinggalkan oleh Hakimi.

Munier menyertai Paris Saint Germain dari Club Brugges dengan harga £ 5 juta.

Pada musim ini Hakimi telah merekodkan 9 gol dari pertahanan kanan dan menyumbang 10 bantuan dalam 49 perlawanan yang dimilikinya.

Hakimi mempunyai kontrak sehingga 2021-22 bersama Real Madrid telah menandatangani kontrak selama 5 tahun bersama Inter Milan.

Pada minggu lepas, Fabrizio Romano telah melaporkan Real Madrid akan menjual pemain tersebut dengan harga £ 36.3 juta dan perjanjian secara principal telah dilakukan.

Selepas seminggu angka tersebut menjadi £ 40.5 juta (+ £ 5 juta) dan perjajian sudah dimuktamadkan.

Melihat senarai skuad Antonio Conte di Inter Milan, sememangnya dia perlukan beberapa pemain pertahanan sisi yang baharu dan lebih muda serta mempunyai kemampuan yang tinggi bagi memberi saingan kepada Juventus pada masa hadapan.

Antonio Cadreva merupakan pemain sayap bertahan yang sudah berusia 33 tahun sementara itu Valentino Lazaro dilihat belum mempunyai masa depan di San Siro.

Pemain ini telah dipinjamkan ke Newcastle United dan Conte hanya mempunyai Victor Moses sebagai pilihan ke-2.

Moses lebih kepada pemain sayap menyerang yang dibangunkan di posisi sayap bertahan.

Faktor umur Candreva menjadi faktor utama Inter perlu mencari pertahanan kanan baru dalam masa terdekat bagi melakukan transisi di posisi itu.

  • Antonio Candreva, 33 tahun
  • Victor Moses, 29 tahun
  • Valentino Lazaro, 24 tahun

Inter Milan juga perlu melakukan transisi di bahagian pertahanan kiri apabila Ashley Young, Kwadwo Asamoah sudah berusia 34 dan 31 tahun.

Kecuali Cristiano Biraghi mampu kembali dengan prestasi terbaiknya dan menepati kemahuan taktikal Conte.

Penilaian urusniaga: Bagus untuk Real Madrid dapat £ 40.5 juta (+ £ 5 juta) untuk pemain yang tiada dalam perancangannya, bagus untuk Inter Milan yang perlukan pemain utama di pertahanan sisi dan bagus untuk Hakimi mendapat pasukan besar dan menjadi pemain utama.

Baca yang lain