Analisis Schmeichel: “Trio Tengah United, Bercelaru Dan Keliru”

Legenda Manchester United, Peter Schmeichel berkongsi pendapatnya mengenai penyingkiran Setan Merah daripada Liga Juara-Juara UEFA selepas kekalahan mereka menentang Bayern Munich pada hari Selasa, 12 Disember.

Pasukan Erik ten Hag perlu menewaskan Bayern dan berharap Copenhagen seri menentang Galatasaray untuk layak ke pusingan kalah mati. Bagaimanapun, mereka gagal menunjukkan aksi lebih baik menentang Bayern di Old Trafford.

Gol pada minit ke-70 Kingsley Coman memastikan Manchester United menamatkan saingan di tangga tercorot kumpulan A, turut gagal ke play off kalah mati UEL.

Erik Ten Hag memuji prestasi Man United sambil menegaskan bahawa mereka bermain sangat baik dan tak patut kalah dalam perlawanan ini. Namun Peter Schmeichel berpendapat sebaliknya. Kerana menurutnya, sejak dari awal dia tidak nampak potensi Man United akan mendapat sesuatu daripada perlawanan ini.

The Red Devils bermula dengan bahagian tengah Bruno Fernandes, Scott McTominay, dan Sofyan Amrabat. Schmeichel telah mengkritik prestasi ketiga-tiga mereka, dengan mendakwa mereka kelihatan bercelaru dan keliru. Dia berkata (menerusi Metro):

“Saya harus jujur, sejak dari awal saya merasakan tidak akan ada gol yang datang, tidak pernah pada bila-bila masa, betulkan saya jika saya salah saya tidak fikir kita ada  mencipta satu peluang pun sepanjang perlawanan.”

“Tak banyak kelajuan, tiada rentak dalam pasukan ini. Anda mempunyai sedikit aksi di sayap kiri, sedikit aksi di depan, tetapi kemudian anda mempunyai bahagian tengah yang nampaknya keliru dengan tugas mereka – ada yang menekan, ada yang tidak menekan , mereka meninggalkan jurang yang besar antara pemain pertahanan dan pemain hadapan, dan ia seperti dua garisan linear.”

“Semuanya kelihatan agak tidak selari.”

Rata rata peminat Man United setuju dengan komen Schmeichel sambil menganggap ianya senario yang sakit namun terpaksa ditonton. Mereka mempersoalkan, apa yang 3 pemain tengah itu berlatih sepanjang minggu ini?

Manchester United mempunyai penguasaan bola sebanyak 40% dalam permainan dan melakukan lima percubaan ke gawang, dengan cuma satu percubaan tepat sasaran – itupun percubaan lemah Luke Shaw yang muda ditepis Neuer.

Sementara itu, Bayern melakukan 10 percubaan, dengan tiga percubaan tepat sasaran dalam aksi yang sebenarnya bukan aksi terbaik Bayern.

The Red Devils datang ke perlawanan menentang Bayern selepas kekalahan 3-0 menentang Bournemouth di Old Trafford dalam Liga Perdana. Bagaimanapun, mereka tidak dapat memberikan reaksi yang besar terhadap Bayern Munich. Mereka tersingkir daripada Liga Juara-Juara, menduduki tangga terbawah kumpulan mereka buat kali pertama sejak musim 2005-06.

Manchester United kini telah tewas 12 daripada 24 perlawanan mereka merentas pertandingan musim ini. Mereka sudah pun tersingkir daripada Piala EFL dan berada di tangga keenam dalam carta Liga Perdana Inggeris dengan 27 mata.

The Red Devils seterusnya akan bertandang ke Anfield untuk menentang Liverpool, yang menduduki tangga teratas liga dengan 37 mata. Perlawanan yang sama musim lalu berakhir dengan kekalahan 7-0 untuk pelawat.

Manchester United juga akan beraksi tanpa kapten Bruno Fernandes, yang digantung tugas selepas menerima lima kad kuning. Sementara itu, Harry Maguire mengalami kecederaan dalam pertembungan menentang Bayern dan ketersediaannya juga akan bergantung kepada imbasan dibuat ke atasnya.